Thursday, November 26, 2009

Jelajah 1Malaysia Seniman


dari kiri Mustapha Maarof, Mohd. Zulkifli Ab. Wahab dan Presiden Persatuan Pengeluar Filem Malaysia, Ahmad Puad Onah pada sidang media baru-baru ini.


SEIRING gagasan yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) mengambil inisiatif tersendiri dalam menyokong usaha murni kerajaan tentang konsep 1 Malaysia.

Menganjurkan sesi jelajah, Kembara Seniman-Jelajah Malaysia ke seluruh semenanjung bermula 30 November hingga 3 Disember ini, apa yang pasti ia penglibatan artis serta para seniman negara untuk sama-sama memupuk semangat cintakan negara di kalangan masyarakat majmuk di nagara ini.

Bermula dari Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, antara tempat-tempat yang menjadi persinggahan lebih 50 peserta yang terdiri daripada barisan artis dan para seniman negara itu termasuklah Tanjung Karang (Selangor), Ipoh ( Perak), Kuantan (Pahang), Muar (Johor), Melaka, Negeri Sembilan dan Putrajaya.

Sebahagian daripada artis-artis yang dijangka terlibat memeriahkan sesi jelajah tersebut termasuklah bintang-bintang Akademi Fantasia iaitu Nas Adila, Aliff, Shidi dan Rini, Zehra Zamri, Imuda, Hail Amir dan Tan Sri Jins Shamsudin.

Turut serta ialah Datin Azizah Mohamad, Aspalela Abdullah, S. Mariam dan Datin Orked Abdullah.

Sepanjang tempoh empat hari tiga malam itu, pelbagai aktiviti direncanakan termasuklah persembahan artis iaitu nyanyian, komedi dan deklamasi sajak, pameran poster filem-filem yang bakal menjengah pawagam, serta mengumpul tandatangan daripada peminat yang hadir sebagai bukti sokongan menyokong konsep 1 Malaysia.

Presiden Seniman, Datuk Mustapha Maarof pada sidang media Kembara Seniman-Jelajah Malaysia yang diadakan di Finas, Hulu Kelang baru-baru ini memberitahu, usaha tersebut dilakukan dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

"Ini sebagai salah satu cara bagi anak-anak seni dalam memainkan peranan untuk sama-sama menyokong konsep 1Malaysia.

"Melihat kepada perkataan seniman itu sendiri bukan hanya merujuk kepada ahli persatuan Seniman sahaja.

"Sebab itu kita mengajak Gafim (Gabungan Persatuan Karyawan Perfileman Malaysia) yang mempunyai 11 persatuan di bawahnya untuk sama-sama menjayakan matlamat 1Malaysia yang kita harapkan.

"Nasihat daripada kementerian, agar sesi jelajah ini tidak pergi membawa terlalu ramai ahli rombongan dan tidak pergi terlalu jauh," katanya.

Rombongan sesi jelajah tersebut bakal menaiki bas dua tingkat yang disewa khas daripada syarikat pengangkutan Transnasional.

Biarpun masa yang diambil untuk sesi tersebut tidak lama, namun kata Mustapha, pasti pelbagai cabaran dan dugaan dilalui mereka dalam menguruskan lebih 50 ahli rombongan.

"Saya percaya tidak semua yang sependapat dengan kita dalam menyokong 1Malaysia. Namun, sebagai anak seni inilah salah satu cara yang boleh kita lakukan dalam mengenang dan membalas jasa kerajaan," kata Mustapha lagi.

Apa yang menggembirakan, kata Mustapha, sokongan yang diberikan oleh pelbagai pihak terutamanya, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dalam menjayakan program tersebut sedikit sebanyak memberi kelancaran kepada perjalanan program yang bakal diadakan itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Finas, Mohd. Zulkifli Ab. Wahab pada majlis yang sama memberitahu, pihaknya sentiasa menyokong dan berharap agar program tersebut dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

"Pada program itu nanti, bukan sahaja program-program dalam mempromosi filem-filem tempatan dilakukan tetapi juga turut menghebahkan kepada umum tentang peranan serta perkhidmatan yang diberikan oleh Finas dalam membantu membangunkan industri perfileman negara," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: