Friday, November 13, 2009

Fiqa ikon gadis Melayu urban


ANTARA babak menyayat hati lakonan Fiqa.


MENGIKUTI jejak langkah Khairul Noor Maaidah Ali, pemenang program realiti Gadis Melayu musim pertama, Siti Nur Syafiqa Amirul Melvin (Fiqa) yang diumumkan sebagai Ikon Gadis Melayu musim kedua secara kebetulan juga merupakan peserta bertudung. Penampilan bertudung itu mungkin satu kebetulan tetapi kemenangan Fiqa tidak sama sekali menimbulkan sebarang persoalan.

Menepati ciri-ciri yang dicari, Fiqa bukan sahaja tampil menawan di atas pentas akhir, Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) malah gadis berusia 20 tahun itu juga kelihatan yakin dan bijak mengambil perhatian juri serta penonton dengan cabaran terakhirnya iaitu lakonan.

Memilih Fauzi Nawawi untuk menjayakan tugasan final, Fiqa menjayakan lakonan berjudul Sebuah Pengorbanan. Mengadunkan masalah penggunaan dadah, emosi kesungguhan Fiqa berjaya membuat para juri serta penonton mengalirkan air mata.

Maka, tidak hairan jika dia membolot markah tertinggi daripada pihak juri (50 peratus) serta penonton di rumah (50 peratus).

"Zaman sekarang isu dadah semakin teruk dan banyak memusnahkan institusi kekeluargaan. Jadi saya memilih tajuk itu kerana ingin menyampaikan mesej bermoral kepada penonton.

"Saya juga amat berterima kasih kepada Fauzi kerana membantu saya dalam menjayakan tugasan akhir itu. Disebabkan saya tidak pandai menari atau menyanyi, jadi saya memilih untuk berlakon dan tidak sangka akan menang. Saya bersyukur kerana penonton dapat merasakan apa yang saya ingin sampaikan," kata Fiqa ketika ditemui selepas pertandingan.

Menggunakan masa seminggu untuk latihan, Fiqa yang berasal dari Perak mengakui dirinya takut pada mulanya kerana terpaksa berdepan dengan audiens. Namun, sokongan yang diterima di auditorium terutama daripada keluarga telah membuatkan dirinya yakin.

Malah dia yang merupakan satu-satunya finalis bertudung tidak menjadikan ia satu batasan untuk melakukan tugasan setiap minggu.

"Bertudung atau tidak, itu bukan isu kerana saya masih gadis Melayu. Kini saya telah membuktikan, sebagai gadis bertudung juga mampu melakukan semua tugasan lasak seperti peserta lain."

Merasakan Putri Noor Nawal Ramlan (Putri), 23, merupakan saingan terdekat, tiga finalis lain yang berjaya ke peringkat akhir yang disiarkan secara langsung menerusi TV9, pukul 8.30 malam pada 5 November lalu ialah Shazfinas Hashim (Finas), 26 tahun, Nadia Adrianna (Nadia), 23 tahun dan Hazlin Hussain (Lin), 26 tahun.

Meminati bidang penyiaran, Fiqa yang merupakan pelajar tahun kedua di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mahu meneruskan pelajarannya buat masa ini. Walaupun dia berkemungkinan besar akan menerima tanggungjawab yang diaturkan oleh TV9, Fiqa tidak akan meninggalkan pelajarannya.

Kemenangan Fiqa membolehkan dia membawa pulang wang tunai bernilai RM10,000 serta piala. Dia juga dinamakan sebagai Gadis SAFI BALQIS menerima wang tunai RM3,000 serta piala. Manakala anugerah Gadis Bijaksana diterima oleh Finas dan dia membawa pulang RM2,000 serta piala.

Mahu melabur serta membantu keluarganya dengan wang kemenangan, Fiqa sudah sedia maklum dengan cabaran dunia seni. Maka, dia telah menyediakan diri untuk berdepan dengan segala kemungkinan yang bakal ditempuhi.

"Saya tahu tanggungjawab sebagai Ikon Gadis Melayu amat berat untuk dipikul. Ramai orang yang menjadikan saya sebagai idola. Tapi sejak saya menghadiri sesi uji bakat lagi saya sudah menyediakan diri terutama dari segi emosi. Saya sedar perjalanannya tidak mudah," tambah anak kacukan Melayu, Serani dan Jepun itu.


FIQA (tengah) diapit oleh finalis Gadis Melayu (dari kiri:) Finas, Nadia,Putri dan Lin ketika diumumkan sebagai pemenang.


Fiqa konsisten

Menurut Ketua Pengurusan Penjenamaan Kumpulan TV9, Rozaina Zainul Abidin, Fiqa memiliki pakej yang ingin dicari. "Fiqa seorang yang yakin dan bijak. Maka, penampilan dia telah berjaya menyentuh jiwa penonton. Malah dia juga antara peserta yang paling konsisten sepanjang pertandingan."

Turut merasakan tudung bukan menjadi ukuran kemenangan, Rozaina menegaskan bahawa pencarian Gadis Melayu amat mementingkan kecantikan dalaman serta luaran.

"Kami mencari individu berbakat yang boleh dijadikan ikon. Maka, kami menyediakan ujian dalaman serta luaran untuk mencari ciri-ciri itu. Saya yakin objektif kami telah dicapai dan Fiqa layak digelar Ikon Gadis Melayu.

"Cara membawa diri itu amat penting. Kalau anda kata bertudung itu penting, ada juga peserta bertudung yang keluar pada awal pertandingan. Fiqa secara kebetulan mempunyai pakej yang dicari."

Belum membuat sebarang perancangan untuk Fiqa, Rozaina memberitahu bahawa kesemua peserta mempunyai peluang bekerja di bawah Media Prima tetapi berdasarkan kekuatan masing-masing.

Enam juri profesional yang menghakimi peringkat akhir ialah pengacara, Nurfarahin Jamsari; pengarang majalah, Izza Safinaz; pengarang hiburan , Adam Salleh; bekas pengacara, Datin Normala Samsudin; penerbit dan pelakon popular, Rosyam Nor dan penyanyi yang juga guru vokal, Syafinaz Selamat.

Majlis turut diceriakan dengan persembahan Tomok serta Black Mentor 3 dan dihoskan oleh Adlin Aman Ramli bersama isteri, Emelda Rosmila.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: