Friday, November 13, 2009

Dituduh tak berdisiplin




TiDAK fokus pada kerja, main-main, alpa dan macam-macam lagi. Tanpa angin tanpa ribut, tiba-tiba sahaja pelakon popular, Abby Abadi, yang selama ini begitu komited dengan kerjanya dikatakan mula buat onar. Keadaan ini sekali gus meletakkan kerjaya seninya di ambang mara bahaya.

Malah khabar angin turut mengatakan ini semua berlaku gara-gara Abby terlalu angau dalam percintaan sehinggakan disiplin kerjanya mula terabai.

Terbaru, Abby gagal memberikan kerjasama untuk menghadiri proses memasukkan suara untuk filem terbarunya, Andartu Terlampau...21 Hari Mencari Suami.

Kerana itu, pengarah filem tersebut, Din CJ terpaksa menggunakan suara pelakon lain iaitu Nik Sayyidah untuk kesemua babak lakonan Abby.

Mahu mendapatkan penjelasan sebenar daripada Abby, pelakon yang semakin jelita ini memberitahu, segala kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan adalah tidak benar. dan menjurus kepada 'menghentam' peribadinya.

Menurut Abby, dia juga runsing apabila dipersalahkan dalam hal ini memandangkan sepanjang tempoh pembikinan filem di bawah terbitan produksi milik Haliza, Big Productions Sdn. Bhd., dia tidak pernah 'buat hal' sehingga menjejaskan produksi itu sendiri.

"Perkara ini bukanlah satu masalah yang besar. Saya pun tak tahu sapa yang patut dipersalahkan. Saya beri kerja sama dari awal sampai habis.

"Sebenarnya saya telah berkomunikasi dengan pengurus produksi (PM) filem ini dan saya telah pun memberi tarikh untuk saya proses masuk suara.

"Bila tibanya tarikh seperti yang dijanjikan, dia SMS saya memberitahu jadual saya dibatalkan kerana Haliza tengah 'angin'. Risaulah juga kenapa Haliza naik angin tiba-tiba. Saya risau kerana bimbang dia akan fikir saya tak bagi komitmen, padahal saya sudah letak tarikh awal-awal.

"Kemudian, orang lain pula menghubungi saya untuk menetapkan tarikh baru dan saya pilih tarikh yang sesuai dengan masa saya. Dan bila tibanya hari yang dijanjikan, orang itu SMS saya memberitahu dibatalkan lagi kerana orang yang menjaga proses itu sedang cuti.

"Kali ketiga, Din CJ SMS saya dan bagi tarikh mana yang sesuai untuk saya. Dia nak saya sahkan tarikh cepat dan ketika dia SMS, saya sibuk menjalani penggambaran dan tak sempat nak tengok jadual saya. Tiba-tiba dia SMS saya semula kata: 'tak apalah, tak payah buat, orang lain dah buatkan.

"Dan akhirnya tiba-tiba pula keluar cerita mengatakan saya tidak beri kerjasama. Saya tak tahu macam mana nak yakinkan orang, yelah saya bukanlah siapa-siapa. Tetapi, sebagai seorang Islam, saya berani bersumpah. Saya tak reka cerita.

"Setakat mahu buat dubbing, ia bukanlah satu isu besar. Lagipun saya cuma lakonkan sembilan babak sahaja dalam filem itu," tuturnya berterus terang.


SEBAGAI ibu tunggal, Abby cukup menjaga reputasi dan nama baiknya sebagai pelakon.


Tambah Abby, sebagai seorang pelakon yang hanya mengharapkan rezeki daripada lakonan, dia begitu menjaga kerjayanya agar tidak tercalar imej dan namanya.

Bila timbul isu sebegini, dia enggan menerima pandangan yang dirinya mula mengambil remeh tentang kerjayanya.

Lebih menyakitkan hatinya bila Abby dikatakan mula tidak berdisiplin ketika di set penggambaran gara-gara terlalu angau bercinta dengan Zulkifli Ariffin.

"Saya sayang karier saya dan hal sebegini tidak patut jadi isu dan dipanjang-panjangkan. Seolah-olah semua kesalahan diletak pada bahu saya, tak eloklah macam itu.

"Dari awal lagi saya tidak ada apa-apa masalah pun dengan produksi mahupun Haliza sendiri. Dia pun ada beritahu tentang rancangannya untuk membuat acara Malam Gala bagi mempromosikan filemnya itu dan saya kata, bila-bila masa sahaja diperlukan, saya akan hadir. Saya beri kerjasama sebaik mungkin.

"Usahlah perlu membandingkan saya dengan artis-artis lain. Kalau boleh saya tak mahu bermasam-masam muka hanya kerana perkara salah faham ini.

"Rasanya, Haliza juga tahu tentang hal sebenar. Saya pelik bila ada akhbar menulis dan menambah yang bukan-bukan tentang kelakuan saya, seperti mahu menjatuhkan diri saya.

"Apa keadaan sekalipun, menipulah kalau saya kata tak pernah lewat ke lokasi. Biasalah kalau sekali dua terlewat, tetapi bukannya selalu. Saya terasa bila mereka cakap macam itu pada saya.

"Mengenai disiplin, seperti yang saya katakan tadi, saya sayangkan karier dan ini sahajalah sumber periuk nasi saya. Saya tak akan buat perkara yang boleh menjatuhkan kerjaya saya.

"Kalau selepas ini ada pihak menidakkan apa yang saya cakap ini, biarlah hal sebenar ini diketahui antara kita dan tuhan," ujar Abby.


HUBUNGAN Abby dan Zul masih berada di landasan sebagai sahabat baik, belum membuat sebarang keputusan untuk berkahwin.


Tak mahu nafi atau mengiakan cinta

Seperti umum tahu, teka teki mengenai perhubungan antara Abby dan Zul sering menjadi persoalan biarpun kebanyakan orang dapat mengagak mereka sememangnya sedang hangat bercinta.

Bagaimanapun, beritahu Abby, dia enggan menceritakan lebih-lebih mengenai hal cintanya. Baginya, biarlah hal itu menjadi rahsia sendiri tanpa diberitahu kepada umum.

"Saya tak seronoklah nak cerita tentang hal ini. Takut timbul pula cerita yang kurang manis. Apa pun, suatu hari nanti akan saya jelaskan juga.

"Apa yang saya boleh katakan, buat masa ini tiada siapa lagi yang boleh menerima saya serta anak-anak.

"Mengenai Zul, saya bukan menafikan atau mengiakan. Saya berkawan dengan sesiapa pun. Biarlah ia menjadi hak peribadi saya. Lebih seronok kalau saya kongsi cerita tentang karier," jelasnya yang sibuk dengan penggambaran drama Marhabah Delaila dan Hikayat Putera Syazlan.


SITUASI bahagia di set penggambaran antara Abby, Haliza (paling kiri) dan pengarah, Din CJ (dua dari kanan) tidak berpanjangan sehingga selesai pembikinan filem.


Sementara itu, di sebalik kesibukannya berlakon, Abby memberitahu, anak-anaknya, Mohd. Danish Hakim, 6, Marisa Dania Hakim, 4, dan Maria Danisha Hakim yang berusia setahun tidak pernah diabaikannya.

Malah, sekali-sekala Abby akan membawa anak-anaknya ke lokasi jika tidak banyak babak yang perlu dilakonkannya.

Biarpun sering membawa anak-anak ke lokasi, tidak bermakna Abby mahu memberikan pendedahan kepada dunia glamor kepada anak-anaknya.


SELEPAS bergelar ibu tunggal, Abby kelihatan semakin jelita dan berseri-seri.


"Biarlah anak-anak saya lebih ke arah bidang akademik. Tetapi apa yang saya nampak, Dania lebih terarah dalam bidang seni. Ada saja yang dilakukannya. Kadang-kala dia suka beraksi depan kamera dan dia juga suka menyanyi dan menari.

"Lain pula dengan Danish, dia lebih suka membuat hal sendiri. Apa-apa pun, biarlah mereka belajar betul-betul kerana dunia sekarang ini sangat mencabar. Siapa yang bagus akan ke depan, dan siapa yang tidak bagus, akan jauh ketinggalan," kata Abby yang turut merancang pelbagai perkara demi jaminan masa depan anak-anaknya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: