KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan satu sindiket culik antarabangsa dengan menahan tujuh lelaki termasuk enam warga Sri Lanka berhubung satu kes culik membabitkan seorang remaja lelaki di Setapak di sini pada 26 Oktober lalu.
Kesemua suspek itu ditahan berasingan kelmarin di Kepong selepas polis menerima maklumat berhubung kejadian tersebut.
Remaja lelaki Sri Lanka berusia 16 tahun dan pemegang kad perlindungan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) itu diculik ketika dia sedang bekerja di Setapak.
Selepas diculik, mangsa kemudian dipercayai dibawa oleh kumpulan suspek itu ke sebuah rumah di kawasan Kepong.
Sindiket itu kemudian telah meminta keluarga mangsa supaya menyerahkan wang tebusan sebanyak AS$50,000 (RM170,000).
Difahamkan, keluarga mangsa bagaimanapun bersetuju untuk membayar sebanyak AS$5,000 (RM17,000) dan bayaran tersebut telah dibuat di luar negara oleh bapa mangsa yang didakwa bekerja sebagai tukang masak di Paris, Perancis.
Satu sumber berkata, selepas bayaran dibuat, mangsa dibebaskan di kawasan Setapak tengah malam kelmarin tanpa dicederakan.
Bertindak atas maklumat itu, polis telah menyerbu sebuah apartmen di Kepong dan menahan lima lelaki Sri Lanka termasuk seorang rakyat tempatan.
Seorang lagi suspek warga Sri Lanka ditahan di kawasan sama pada pukul 6 petang hari sama.
Difahamkan, ekoran penahanan keenam-enam suspek itu, Interpol kemudian menahan seorang lagi suspek warga Sri Lanka di Paris.
Susulan penahanan itu, polis menemui semula wang tebusan tersebut. Kesemua suspek direman seminggu sehingga 7 November depan bagi membantu siasatan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: