Tuesday, November 3, 2009

Dokumentari realiti kehidupan




KEPUASAN jelas terpancar daripada wajah dua wanita yang berbeza kerakyatan selepas mereka menyertai aktiviti kembara di negara ini.

Sarah Moersfelder yang merupakan anak kelahiran Amerika Syarikat (AS) dan Julie Hale dari New Zealand mengakui WHOA (Wildlife, Highlands, Ocean, Air) berjaya merealisasikan percutian impian mereka.

Baru-baru ini, mereka berpeluang menyertai pengembaraan selama lima hari di Sarawak. Aktiviti yang mengujakan itu mendedahkan mereka kepada sebuah dunia baru yang masih terpelihara daripada sebarang pembangunan.

Di Sarawak, mereka dibawa menjejak keunikan alam Gua Mulu dan kelangsungan hidup masyarakat di rumah panjang.

Kedua-dua mereka mengakui kunjungan sulung itu meninggalkan satu kenangan yang menakjubkan. "Lawatan ini mengatasi segala jangkaan kami kerana ia disempurnakan dengan persiapan dan aktiviti yang menepati cita rasa kami.

"Di samping berpeluang menikmati panorama di sekitar gua, hutan dan sungai, peluang mendekati kehidupan penduduk setempat tiada tolok bandingnya. Ia satu pengalaman yang cukup berharga dan berbaloi bagi setiap sen yang dibelanjakan," ujar Moersfelder yang seronok mengunjungi Limbang, Sarawak.

Memetik kenyataan Moersfelder yang ditulis menerusi laman web www.whoa-adventures.com : "Semua impian tercapai kerana WHOA merealisasikan lawatan impian kami seperti yang dipromosikan, diikuti dengan perbincangan terperinci".

Petikan itu adalah satu daripada sejumlah perakuan yang direkodkan oleh para pengguna lain perkhidmatan WHOA. Selain warga Malaysia, mereka yang turut berkongsi pengalaman indah percutian masing-masing adalah pengunjung dari India, Thailand, Singapura, Hong Kong, Taiwan, Brunei, Australia, Jepun, Belanda, Itali, Rusia dan Scotland.

Menariknya, kebanyakan mereka memilih untuk menyelusuri hutan hujan tropika di Taman Negara atau menyelam di dasar laut di pulau-pulau di negara ini. Rata-ratanya terdiri daripada pengunjung dan pengguna khidmat WHOA buat kali pertama.

Jika selama ini, tawaran pakej pelancongan konvensional terlalu statik, WHOA pula menawarkan aktiviti yang digerakkan secara berasingan mengikut bajet, tempoh masa, jumlah peserta dan tahap ketahanan fizikal.

Walaupun WHOA bukan sebuah ejen pelancongan atau percutian, namun popularitinya melonjak melalui pelayaran dunia maya dan promosi dari mulut ke mulut.


JOSEN LIM


Kolaborasi strategik dengan syarikat, persatuan dan penduduk setempat turut menyumbang kepada kejayaan program anjuran WHOA.

Lebih membanggakan, WHOA yang diasaskan empat tahun lalu dikendalikan oleh seorang jejaka kelahiran Kuala Lumpur. Medium itu bertindak sebagai salah sebuah saluran penasihat bagi melengkapkan misi pengembaraan ekstrem bagi aktiviti air, udara mahupun darat.

"Dinaungi oleh Asia Adventures, WHOA merujuk kepada singkatan namaWildlife, Highlands, Ocean, Air," kata pemiliknya, Josen Lim, 36.

Pada pertemuan di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini, Lim memberitahu, dia sentiasa mengemas kini pelbagai sumber maklumat di laman web rasmi WHOA. Antara aktiviti yang menjadi tumpuan Josen adalah meredah arus deras (white water rafting), riadah bersama masyarakat Penan, menyelam di Malaysia dan Borneo.

Selain itu, aktiviti memerhati burung, meneroka gua, hutan, luncur angin, kiteboarding, lumba bot Dragon dan lain-lain turut ditawarkan oleh WHOA.

"Apa yang membezakan risalah pelancongan kami adalah empat tunjang falsafah WHOA. Pertama, kami melakukan sendiri aktiviti dan penerokaan ke destinasi pelancongan atau pengembaraan.

"Kedua, pakar perunding kami yang mesra sentiasa bersedia membantu dan mengutamakan kepentingan anda.

"Ketiga, kami juga menyediakan pakej pelancongan yang menyokong aktiviti pemuliharaan alam semula jadi serta haiwan," jelasnya yang pernah menuntut dalam bidang penyiaran di salah sebuah universiti di Amerika Syarikat (AS).

Akhir sekali katanya, adalah penyediaan informasi berhubung keselesaan dan keselamatan sepanjang percutian.

Memandangkan kebelakangan ini, komuniti Penan mendapat perhatian daripada media massa, ketepatan masa untuk mengadakan kunjungan ke lokasi itu dilihat cukup menggalakkan.

Daripada kira-kira 10,000 etnik Penan yang tinggal di Borneo, dianggarkan hanya kira-kira 200 orang sahaja yang menjalani kehidupan nomad.

Kunjungan selama lima hari ke kawasan pedalaman itu diyakini sudah cukup mendedahkan keunikan tradisi dan kebudayaan yang diamalkan oleh orang Penan.


SARAH Moersfelder (kiri) dan Julie Hale seronok mengikuti percutian yang diatur oleh WHOA.


Umpamanya, mengenali kerja-kerja membuat tanda pemilikan pokok yang diwarisi dari satu generasi ke generasi, mengetahui bahasa Penan, penggunaan sumpit dan sebagainya. Lim yakin bahawa masyarakat luar seharusnya menghayati 'dokumentari hidup' itu sebelum ia pupus secara beransur-ansur.

Lim yang pernah terlibat dalam dunia perfileman termasuk sebagai tenaga produksi dalam pembikinan filem Anna & The King dan Entrapment, meninggalkan bidang tersebut kerana bosan dengan kesibukan dan kerja lebih masa di belakang kamera.

Dari situ, dia memilih untuk merencanakan jalan hidupnya dalam bidang penerokaan alam semula jadi.

Minat itu bagaimanapun tidak jauh menyimpang daripada pendedahan yang diterimanya sejak kecil. Lim banyak menghabiskan zaman kecilnya bersama Persatuan Pencinta Alam Malaysai (MNS).

Pada waktu itu, keluarganya juga terlibat aktif dalam aktiviti MNS. Mereka melancong di dalam negara, sama ada melawat bandar bersejarah, perkampungan lama, hutan belantara, pulau-pulau dan sebagainya.

Sehingga kini, Lim masih lagi menjadi ahli MNS. Tahun lalu, dia terlibat dalam satu projek penting bagi mengukur dan menganalisis rumpai laut di selatan perairan Johor.

Pernah mencuba hampir semua sukan ekstrem, Lim mengimpikan untuk singgah sekali lagi ke Gua Mulu. "Saya seronok menyelusuri lorong-lorong yang tidak pernah atau kurang dilalui manusia. Di situ, tersimpan rahsia yang belum dibongkar dengan pemandangan yang menambat hati."

"Sukar untuk saya melafazkan imej yang terbentuk di minda," katanya sambil memberitahu gua Air Jernih adalah salah satu daripada destinasi yang harus dikunjungi meskipun terpaksa meredah sungai, lumpur dan kegelapan.

Di bawah seleksi WHOA, aktiviti meredah arus deras di Sungai Padas, Sabah dan Sungai Nenggiri, Kelantan disifatkan sebagai antara lokasi yang menantikan cabaran hebat.


BAGI aktiviti meredah arus deras, peserta akan dibawa ke Sungai Padas, Sabah atau Sungai Nenggiri, Kelantan.


Kegiatan berkayak pula biasanya tertumpu di Sungai Selangor, Selangor; Sungai Itik, Sungai Kampar dan Sungai Singor, Perak; Sungai Telom dan Jeram Besu, Pahang; Sungai Loh, Terengganu; Sungai Nenggiri, Kelantan dan Sungai Endau, Johor.

Sukan udara seperti luncur udara dan terjunan statik tandem biasanya dijalankan di Segamat, Johor manakala sukan air seperti luncur angin dan kiteboarding tertumpu di pantai Balok, Pahang pada sekitar bulan Disember hingga Mac.

Satu lagi lokasi pelancongan yang disyorkan oleh Lim adalah lawatan ke perkampungan puak Berawan yang tinggal di sekitar Taman Negara Gunung Mulu, Sarawak. Dalam satu lawatan ke taman negara itu pada bulan Julai 2009, Lim terserempak dengan seorang bekas guru bahasa Inggeris yang kaya dengan pengalaman mengajar di Sarawak lewat tahun 70-an.

Lim mengakui dia terpesona dengan layanan dan penghormatan yang diberikan kepada warga emas berbangsa Inggeris itu oleh penduduk setempat.

"Dia juga mempelawa saya melawat sebuah kuil Buddha yang berusia seabad. Ia diselenggara oleh seorang penjaga yang terselamat setelah hampir dipancung kepalanya oleh tentera Jepun," kata Lim.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: