Tuesday, November 3, 2009

'Demam' sambutan Halloween


BEGINILAH rupa persekitaran ruang legar pusat beli-belah 1 Utama bersempena dengan sambutan Halloween.


MESKIPUN ia bukan sebuah perayaan rasmi negara, namun sambutan Halloween tetap menjadi ikutan ramai. Segelintir anak muda tidak pernah melepaskan peluang untuk turut serta menggayakan kostum berkarakter pada perayaan itu.

Pada masa yang sama, pelajar-pelajar sekolah juga tidak ketinggalan mengadakan persembahan dan aktiviti yang menyeronokan seperti rumah hantu dan memasak manisan serta kek. Pada kebiasaannya, kostum-kostum hantu dengan darah yang meleleh dari mulut, pisau palsu, topi hitam meruncing dan pelbagai topeng muka hantu digayakan oleh kanak-kanak mahupun orang dewasa.

Perayaan itu telah lama popular di Barat. Selain Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, beberapa negara lain juga terlibat secara aktif mengadakan perarakan dan persembahan teater Halloween seperti di Jepun, Australia dan sebagainya.

Di negara kita, demam Halloween dihidupkan lebih awal di pusat beli-belah 1 Utama apabila para pengunjung dapat melihat secara dekat pembinaan sebuah rumah hantu usang daripada kayu.

Persekitarannya juga telah diubahsuai menjadi ngeri dengan penanaman rumput dan lalang kering, sarang labah-labah yang menyelubungi hampir keseluruhan kawasan dan semestinya susunan lampu bercahaya yang diukir dengan bentuk mata dan mulut yang menakutkan.

Bertempat di ruang legar tingkat bawah, dekorasi Halloween itu telah disiapkan untuk tontonan umum sejak 23 Oktober lalu dan kekal sehingga hujung minggu lalu. Seperti sambutan pada tahun-tahun lalu, perayaan yang jatuh pada 31 Oktober lalu menyaksikan sambutannya diraikan dengan alunan lagu-lagu Halloween serta maskot hantu.


ANTARA aksesori tambahan yang digayakan oleh kanak-kanak dan orang dewasa.


Keluarga Halloween yang menanti kehadiran pengunjung ialah Ms. Creepy Clown, Mr. Blood Thirst, Mr. Table Head, The Lost Jester, Aunty Witchy dan Mr. Kinpump.

Bagi pengunjung kecil yang berani, mereka mengetuk pintu rumah Halloween untuk bermain Trick or Treats. Soalnya, sanggupkah mereka mencapai tangan untuk mengambil hadiah misteri yang dihulurkan oleh hantu Halloween. Tinjauan Kosmo! mendapati memang ada yang sanggup mengambil hadiah tersebut.

Dalam pada itu, beberapa buah kios dibuka di sekeliling dekorasi Halloween. Kios-kios itu menjual kostum dan topeng muka, minuman dan makanan ringan, pakaian kanak-kanak dan sebuah ruang melukis karikatur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: