Tuesday, November 10, 2009

Didik cara menjaga kaki

Acara Nike Run For My School Challenge adalah sebahagian daripada usaha Nike untuk memberi pengalaman baru kepada para pelajar sekolah agar menjalani kehidupan yang aktif dan sihat.




SAAT memasuki perkarangan Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Methodist, Jalan Cenderasari, Kuala Lumpur, kedengaran riuh rendah suara para pelajar disulami dengan pengumuman pengacara majlis.

Kelihatan sekumpulan remaja perempuan berusia dalam lingkungan 13 hingga 17 tahun sedang duduk. Mereka lengkap berpakaian sukan berwarna merah jambu dan hitam, tajaan jenama kasut popular Nike.

Pelajar-pelajar tersebut nampaknya sudah tidak sabar-sabar lagi untuk memulakan larian pada pagi itu bagi merebut hadiah utama barangan Nike bernilai RM10,000.

SMK (P) Methodist merupakan sekolah pertama daripada enam buah sekolah sekitar Lembah Klang yang mengambil bahagian dalam Nike Run For My School Challenge.

Selain itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Abdullah, Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria dan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Ibrahim Yaacob.


REKOD larian bagi sekolah terpantas bakal ditabalkan sebagai pemenang.


Turut mengambil bahagian ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Tun Hussien Onn, Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Bandaraya dan Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Jaya.

"Cabaran tersebut adalah sebahagian daripada usaha Nike untuk memberi pengalaman baru kepada para pelajar sekolah agar menjalani kehidupan yang aktif dan sihat," kata Pengurus Pemasaran Jualan Nike Malaysia, Menaha Nadaraja.

Jelasnya, dijangka lebih 1,000 orang pelajar yang menyertai larian tersebut akan dibekalkan dengan kasut sukan Nike+ bersama Sportband yang diselitkan pada kasut untuk merekod dan mengesan jarak larian mereka.

Sportband yang berbentuk seperti pemacu storan (pendrive) itu kemudiannya akan dimuat naik ke laman web www.nikerunning.com.my. Bukti catatan masa larian pelajar bagi setiap sekolah akan dikumpul sehingga cabaran tersebut berakhir pada 30 November ini.

Rekod larian bagi sekolah terpantas bakal ditabalkan sebagai pemenang dalam Nike Run For My School Challenge itu.

Teknologi

Nike+ merupakan kasut terbaru keluaran Nike yang dipatenkan dengan teknologi termaju bagi mengesan kelajuan pelari-pelari. Kasut Nike+ itu juga dapat mengukur jarak dan bilangan kalori semasa pemakainya memulakan larian.

Bagi membakar semangat para peserta, larian turut disertai oleh ramai selebriti terkenal. Antaranya ialah pemain badminton nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei, pemain bola sepak kebangsaan, Zaquan Razak, penyampai radio Hitz FM, Rudy dan penyampai radio ERA FM, Nana dan Adi Fashla.


KEHADIRAN pemain badminton Malaysia, Chong Wei (kiri) membakar semangat pelajar-pelajar SMK (P) Methodist, Jalan Cenderasari, Kuala Lumpur.


Menaha memberitahu, Nike Run For My School Challenge juga memastikan setiap pelajar yang mengambil bahagian memakai kasut yang bersesuaian dengan kaki mereka sebelum memulakan larian.

"Kami sangat komited untuk menggalakkan gaya hidup sihat dalam diri pelajar-pelajar sekolah melalui program unik sebegini.

"Malah, Nike juga akan memastikan program untuk pelajar sekolah tidak akan terhenti dan terus dijalankan untuk tahun-tahun akan datang," katanya.


KESEMUA peserta larian Nike memberi sorakan kuat selepas berjaya menamatkan larian.


Pelajar SMK (P) Methodist, Noraishah Mohd. Hidzir, 16, menyatakan program Nike Run For My School Challenge yang dianjurkan Nike itu merupakan pengalaman pertama buat dirinya.

"Saya sangat suka bersukan. Selepas mendapat tahu mengenainya, terus mendaftarkan diri untuk menyahut cabaran.


SEBELUM sesi laman dijalankan pelajar-pelajar sekolah didedahkan dengan cara penjagaan kaki yang baik.


Selebriti

"Menang atau kalah tidak penting. Asalkan saya memperoleh pengalaman yang menyeronokkan ini bersama kawan-kawan," katanya yang menyertai larian bersama kawan baiknya, Melanie Anne Chendran, 16.

Komen Melanie pula, selain bersemangat menyertai larian, dia juga begitu teruja kerana berpeluang melihat pemain badminton negara, Chong Wei secara dekat.

"Dengan kehadiran selebriti-selebriti yang mengiringi larian, ia membakar semangat kami untuk muncul juara mengalahkan sekolah-sekolah lain," kata remaja yang berasal dari Bangsar, Kuala Lumpur itu.


PELAJAR-PELAJAR SMK (P) Methodist tidak sabar untuk memulakan larian.


Ujarnya, sebelum sesi larian dijalankan, pelajar-pelajar sekolahnya juga didedahkan dengan pendidikan berguna mengenai cara penjagaan kaki yang baik.

"Baru saya sedar bahawa bentuk kaki kita adalah berlainan. Malah pemilihan kasut bersesuaian penting bagi memastikan kaki sentiasa dalam keadaan yang baik.

"Jika salah memilih kasut, mungkin kita akan merasa sakit dan tidak selesa," katanya.

Setiap orang dilahirkan dengan bentuk kaki yang berbeza.


TUJUH buah sekolah mengambil bahagian dalam Nike Run For My School.


Mungkin anda tidak tahu. Tetapi masalah kesihatan seperti sakit tumit, bunion, tumit pecah dan kerosakan saraf boleh disebabkan oleh sepasang kasut.

Kaki memiliki jaringan 26 tulang, 33 sendi, 107 ligamen dan 31 urat selain urat saraf dan saluran darah. Dalam sehari, kaki melangkah puluhan kilometer, justeru, kaki memerlukan kasut yang sesuai.

Bagi Evelyn Sidhu, 16, pula, dia begitu bersemangat menyahut cabaran Nike itu untuk membuktikan pelajar-pelajar sekolahnya bersemangat dan larian yang terbaik berbanding sekolah lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: