Sunday, November 15, 2009

Dhani lewat kenali P. Ramlee




AHMAD DHANI PRASETYO kadangkala sukar dijangka. Ada angin baik, dia jadi ramah mesra. Datang angin ego, suasana jadi tegang dan soalan berbalas soalan. Cuma situasi begitu yang boleh diramal.

Namun, dia masih berdiri dengan segala misteri yang kononnya masih membaluti tubuh 37 tahunnya.

Untuk sebuah promosi album Muhammad Dhani and The Swinger, Dhani menyapa mesra setiap pertanyaan dengan gelak tawa.

Meminjam nama Muhammad Ali, pesona dan tuah nama legenda tinju dunia itu digunakan untuk album projek istimewanya ini. Dhani memang terinspirasi dengan semua mentor dalam hidupnya.

Bagi masalah kehidupan, dia sering merujuk Faiz M, nama yang tidak pernah lekang daripada kulit albumnya.

Faiz M merupakan individu yang kenal benar seorang Dhani. Dia seorang guru dari Malang, Jawa Timur serta individu yang dianggap Dhani alim dalam hal agama.

Soal muzik pula, Dhani sering membawa keterujaan mentor-mentornya dalam hela seninya. Dia adalah peminat likat Queen.

Keterujaan terhadap Frank Sinatra dan Michael Frank dibawakan ke dalam album barunya berjudul The Best Is Yet To Come.

"Sebelum Robbie Williams keluar dengan album swing, saya sudah merangka untuk merakamkan album yang mempunyai lagu-lagu penyanyi yang saya suka," luahnya yang dipanggil genius muzik oleh peminat setianya.

Lagu Madu Tiga mempertemukan Dhani dengan legenda dan karyawan tersohor Malaysia, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Dia ternyata lambat mengenali P. Ramlee.

Madu Tiga

Saat dia membeli-belah di Butik Buntil di Sungei Wang, Kuala Lumpur, jodoh mempertemukan dirinya dengan pemilik suara emas itu.

Dia terdengar nyanyian P. Ramlee di radio lantas terus menanyakan siapakah empunya suara.

Tahun itu adalah 2007 dan baru detik itu dia mendengar nama legenda tersebut sedangkan Dhani sudah menjejakkan kaki ke Malaysia lebih awal lagi. Sebelum ini, dia juga lewat jatuh cinta dengan The Beatles.

Justeru sebagai individu yang diketahui mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang muzik, kenapa Dhani terlewat mengenali P. Ramlee?

"Wajarlah kerana saya kan orang Indonesia," jawabnya ringkas. Namun, harus diakui bahawa lagu inilah sebenarnya yang membawa tuah kepada album terbaru Dhani.


SEBAGAI karyawan serumpun, Dhani terlalu lambat mengenali P. Ramlee.


Sembang Dhani sebelum temu ramah dimulakan, album terbarunya ini kurang laku di negara sendiri.

Cuma lagu Madu Tiga yang diminati penduduk negara pimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono itu.

"Saya masih tidak mendapat sebarang undangan untuk Muhammad Dhani and The Swinger. Tetapi saya tidak putus asa.

"Ini adalah atas nama hobi dan minat terhadap muzik swing," ujarnya yang mengeluarkan duit sendiri sebanyak RM100,000 untuk album yang dirakam di Studio 301, Sydney, Australia.

Sejumlah 20 orang lelaki kulit putih bertugas mengalunkan flute, klarinet, alto, tenor, saksofon, trompet, trombone, piano, bass dan perkusi di bawah pimpinan Tim Gram dari Australia.

"Saya puas di dalam hati," tegasnya.


DHANI masih menafikan hubungan 'suami isteri' dengan Mulan walau di dalam album nama Mulan dicatatkan sebagai wanita luar biasa.


Cerita peribadi

Sewaktu hampir menjadi duda, kemudian menyandang status ini dan kini masih berteka-teki dengan persoalan yang sama, Dhani adalah antara lelaki yang selalu dekat dengan isu kaum Hawa.

Siapa pilihannya selepas ini, apa masalahnya dengan bekas isteri, penyanyi Maia dan segalanya menyentuh kaum adam itu melanggar dirinya.

Malah pemilihan lagu Madu Tiga juga kata Dhani jujur, dekat dengan dirinya. Dia senang bercerita tapi masih dalam irama tersirat dan tersurat. Lalu saya tanyakan lelaki ini interpretasi dirinya tentang wanita.

"Saya tergolong sebagai orang yang ortodoks dan konvensional apabila masuk hal wanita. Saya memandang dari sudut agama. Seperti wanita tidak boleh keluar rumah tanpa izin suami.

"Saya memegang ciri-ciri Islam yang sebegitu dalam hal tersebut. Tetapi dalam hal hubungan, saya boleh menjadi liberal," ujarnya yang banyak tertawa saat disentuh hal peribadinya.

"Jika masuk hal menikah, saya sebenarnya tidak ada peluang untuk bertemu golongan bukan selebriti. Saya sebenarnya suka perempuan yang biasa.

"Dulu waktu saya jumpa Maia, dia bukan siapa-siapa lagi," bicaranya tentang hal berpacaran.


TAMPAK sebagai lelaki berkuasa, Dhani ironi seorang lelaki ortodoks.


Lalu dia membuka cerita bahawa dia menuntut bayaran 500 juta rupiah daripada media Indonesia jika mahukan cerita peribadinya. Kompromi ini dianggap satu perniagaan.

"Media mencari berita dan saya boleh memberikan mereka dengan jumlah itu. Memandang sudut ini, ia adalah soal give and take sebenarnya.

Al, El dan Dul

"Mereka memberi wang dan saya akan tampil dengan segala hal peribadi saya. Tetapi tidak ada yang mahu membayar," telusnya dalam hal ini menunjukkan sisi Ahmad Dhani yang bijak menggunakan media dalam apa sahaja hal propagandanya.

Grup Lucky Laki adalah pertaruhan darah daging Dhani. Dia membawa anak-anaknya, Al Ghazali, El Jalaluddin Rumi dan Abdul Qodir Jaelani dengan nama El, Al dan Dul kepada satu sisi bisnes dan dalam masa yang sama membuktikan bahawa hero-heronya mampu menjadi seperti ayahnya - seorang penghibur.

Membawakan ketiga-tiga putera dalam bahtera hiburan, separuh nyawa dan masa Dhani dihambakan buat pertaruhan seni anak-anaknya.


THE ROCK merupakan salah satu pecahan idea Dhani.


Jelas mereka sangat rapat dengan si ayah. Saat ayah mereka ditemu bual oleh media Malaysia, El menelefon beberapa kali meminta izin untuk membuat perkara keanak-anakan.

Itulah pengorbanan Dhani. "Saya tidak mempunyai masa untuk bersosial. Masa saya hanya untuk anak-anak. Tiada lagi peluang untuk berhibur.

"Malah sebenarnya hal ini terjadi sejak mereka lahir ke dunia lagi. Masa saya sepenuhnya di rumah sahaja.

"Anda juga tidak akan dapat melihat saya berkeliaran di pusat-pusat hiburan," luahnya soal pengorbanan dirinya. Jelas sekali untuk minat anaknya yang tertumpah pada grup metal asal Amerika Syarikat, Avenged Sevenfold, Dhani malah membeli lesen memakai lagu grup tersebut untuk dinyanyikan Al, El dan Dul.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: