Sunday, November 15, 2009

Belum fikir kahwin lagi - Paula

Saya tahu saya sudah berusia 35 tahun dan sepatutnya memikirkan perkara itu




PANGGILAN telefon dari Singapura menyambungkan suara jelas pengacara cantik, Paula Malai Ali Othman yang kini selesa menjalani kehidupan di republik tersebut.

Wanita kelahiran Brunei dan berdarah campuran Melayu-Inggeris ini menuturkan, sudah hampir dua tahun dia menetap di sana.

Singapura dirasakan berbeza daripada Malaysia namun Paula tetap menjenguk ke sini apabila ada sesi penggambaran.

Bicaranya, banyak yang dipelajari sepanjang perpindahannya daripada Channel [V] ke saluran sukan ESPN.

Malah dia semakin jatuh cinta dengan sukan lumba kereta Formula Satu (F1) selain melakukan tugasan sukan yang mencabar.

Namun, jodohnya kembali pada saluran yang mula-mula memperkenalkan dirinya sebagai hos dan deejay - Channel [V].

Kini, dia sibuk menjadi pengacara HB Space, sebuah program realiti yang menyuntik populariti dan masa depan cerah untuk bakat baru Asia.

"Saya sibuk dengan program ini. Ia sebuah program yang membimbing 16 peserta melalui cabaran kreatif yang menguji bakat, energi, kesabaran dan keazaman mereka," ujarnya tentang program yang akan disiarkan di saluran Channel [V] pada setiap hari Selasa pukul tujuh malam itu.

Peserta yang bertuah akan memenangi wang tunai AS$50,000 (RM175,000) dan menerima tawaran berlakon dalam filem aksi, Bubblegum Crisis di Australia.

Bagai sirih pulang ke gagang, dia menunjukkan keterujaanya untuk muncul semula di saluran tersebut.

Namun, walau sudah terbiasa menjadi wajah TV, Paula menyatakan dia tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang penerbit program.




Menurut Paula, biarlah dia meneruskan tugas pengacaraan sehingga stesen televisyen tidak mahu mengambilnya lagi.

"Saya tidak pernah membayangkan diri saya sebagai seorang penerbit. Saya tidak tahu kenapa, tetapi saya lebih selesa untuk menjadi hos dan berdepan dengan kamera.

"Jadi, saya tidak bercita-cita untuk menjadi penerbit bagi sebarang program televisyen.

"Pengacaraan adalah darah daging saya dan ia terus mengalir di dalam tubuh saya," tegasnya yang mengakui menyukai komitmen Dominic sebagai deejay di saluran Channel [V].

Dia juga menyatakan kekaguman serta memuji hebatnya seorang pelumba F1, Kimi Raikkonen.

Sepanjang menjalankan tugasan pengacaraan, Paula menganggap Kimi sebagai figura yang tidak pernah mendatangkan masalah buat media. Tahap kesabaran dan komitmen kerja pelumba kereta tersebut menjadi inspirasi buat Paula sendiri.

Sibuk bercerita perihal pekerjaan, saya tanyakan dia tentang kembarnya, Jenny. Tutur Paula dalam nada gembira, Jenny baru sahaja menimang cahaya mata kedua, dua minggu lalu.

Kini Jenny juga sibuk berkira-kira mahu kembali dengan tugasannya selain menjadi ibu.

Ditanya perancangannya seiring kembarnya itu, mengulit tanggungjawab ibu dan isteri, bekas isteri kepada Tunku Azudinshah Tunku Anuar ini menjawab tenang: "Saya tidak mempunyai sebarang perancangan ke arah itu."

Paula yang kini menumpahkan semua cinta terhadap pekerjaannya menegaskan: "Saya tahu saya sudah berusia 35 tahun dan sepatutnya memikirkan perkara itu. Tetapi saya mahu biarkan ia terjadi sendiri tanpa perlu perancangan apa-apa."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: