KOTA BHARU - Keadaan banjir di Kelantan semakin pulih apabila kebanyakan pusat pemindahan ditutup dan penduduk mula pulang ke rumah masing-masing.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir negeri memberitahu, sehingga pukul 5 petang semalam, hanya tiga pusat pemindahan yang masih dibuka iaitu di jajahan Tumpat yang menempatkan 1,335 mangsa banjir.
Menurutnya, jajahan Pasir Mas yang sebelum ini teruk dilanda banjir kini berada dalam keadaan baik apabila 13 pusat pemindahan yang menempatkan 2,467 mangsa sudah ditutup.
"Pada pukul 1 tengah hari ini (semalam), masih ada enam pusat pemindahan yang dibuka dan sehingga lewat petang, semuanya sudah ditutup.
"Cuaca panas dan hujan yang berkurangan menyebabkan keadaan bertambah baik dan penduduk mula pulang ke rumah masing-masing," katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, jajahan Tumpat bagaimana tidak menunjukkan sebarang perubahan dan mangsa banjir masih ditempatkan di pusat pemindahan.
Jelasnya, air Sungai Golok masih belum surut sepenuhnya menyebabkan beberapa kampung di jajahan itu masih ditenggelami air.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: