Saturday, November 28, 2009

ATV merentasi laluan sukar

Mahukan sesuatu yang berbeza ketika meneroka belantara? Mungkin anda boleh mencuba ATV iaitu kenderaan yang menyerupai motor tetapi lasak.




"Saya yang tinggal di sekitar kawasan berhampiran pun tidak sedar kewujudan ATV Adventure Park," luah seorang rakan sekerja sebaik dimaklumkan tentang ATV Adventure Park di Kampung Kemensah, Bukit Kemensah, Hulu Kelang, Kuala Lumpur.

ATV Adventure Park yang agak terpencil dan jauh dari jalan raya utama antara faktor mengapa tidak ramai yang menyedari kewujudan aktiviti sukan lasak bermotor itu.

Sekiranya anda berada di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRRII) dari arah Kuala Lumpur atau Batu Caves, belok ke simpang yang menghala ke Zoo Negara.

Dari situ, anda cuma perlu memandu kira-kira 4.6 kilometer sebelum sampai ke destinasi.


JORDAAN cuba mengawal ATV ketika menuruni cerun.


Laluan berturap itu akan menyelusuri beberapa unit rumah banglo sebelum masuk ke Kampung Kemensah.

Selepas melintasi sebatang jambatan kecil, jalan berturap itu diteruskan dengan laluan berpasir dan dipenuhi batu kelikir.

Jangan panik jika hanya anda yang melalui laluan tersebut. Teruskan perjalanan dengan mengikut arah papan tanda yang tertera perkataan ATV.


SEBAHAGIAN daripada cabaran yang harus ditempuhi ketika bermain ATV.


ATV Adventure Park yang dimiliki oleh Mas Faizil Khan merupakan sebuah syarikat ekopelancongan adventur. Ia ditubuhkan pada bulan Julai 2006.

"Saya menyertai bisnes ini atas dorongan mahu mendidik orang ramai supaya memulihara alam yang kini semakin banyak dimusnahkan akibat pembangunan pertanian, perhutanan, perumahan dan sebagainya," ujar bekas ketua pramugara Malaysia Airline System (MAS) itu ketika ditemui baru-baru di Kemensah baru-baru ini.

Perintis

Menceritakan pembabitan awalnya dengan perniagaan tersebut, Mus mengakui ramai di kalangan kenalannya yang kurang percaya dengan kemampuannya.

Sebagai perintis, banyak ujian dan cabaran yang perlu ditempuhinya. Antaranya menebang semak samun secara manual untuk membuat laluan ATV.


PENGUNJUNG mengambil kesempatan menikmati keindahan air terjun Khamisah.


"Kita tidak boleh menggunakan mesin sesuka hati kerana kawasan hutan ini telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Warisan Negeri Selangor."

Namun, bapa kepada empat anak itu seorang yang cekal. Ada kisah menarik yang masih segar dalam ingatan Mus.

Kesungguhannya membersihkan hutan bersama isteri, Meliza Zulfizzawaty Hanafi hinggakan dia tidak sedar seluruh tubuhnya dipenuhi dengan pacat.


KAWASAN tanah lapang untuk berehat di tengah hutan.


Namun, dia tidak pernah putus asa. Mus yang berpengalaman luas sebagai Marshall Le Tour de Langkawi selama lapan tahun banyak mengajarnya erti ketabahan.

Selepas tiga tahun perniagaannya beroperasi, perkhidmatan ATV Adventure Park yang ditawarkannya berjaya menarik 3,800 pengguna dari dalam dan luar negara.

Seperti sukan-sukan lasak yang lain, sebelum menyertai aktiviti itu peserta perlu menurunkan tandatangan dalam sekeping borang perakuan.


KEM latihan ATV Adventure Park telah menerima lebih 3,800 orang pengunjung.


Tandatangan itu sebagai persetujuan memahami peraturan keselamatan yang ditetapkan.

"Setakat ini, tidak ada kemalangan yang berlaku tetapi kita perlu mengambil langkah-langkah pencegahan terutamanya pada musim hujan.


SEBAHAGIAN daripada pengunjung yang menunggu giliran untuk menikmati cabaran ATV.


"Ramai yang suka datang pada musim cuti sekolah meskipun mereka terpaksa berdepan dengan cabaran laluan ATV yang berlumpur," kata Mas yang turut dibantu oleh anaknya, Mas Hadzeem Khan, 14.

Menurut Mas, sebelum permainan dimulakan peserta akan dimaklumkan tentang cara-cara mengendalikan ATV, brek, pedal minyak dan kelajuan yang dibenarkan iaitu di antara 30 hingga 40 kilometer sejam (kph) sahaja.

Hujung tahun merupakan waktu kemuncak kerana ATV Adventure Park menerima sambutan yang menggalakkan daripada pelancong dari Australia, Belanda, Itali, Perancis dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pengangkutan alternatif

Sementara itu, pelancong dari Afrika Selatan Tarryn Jordaan, 26, menjelaskan, dia kerap memandu ATV di ladang ternakannya di Eastern Cape.

"Saya pernah terjatuh ketika memandu ATV kerana memandu dengan laju, sejak itu bapa tidak membenarkan saya menyentuh ATV.

"Tetapi keinginan itu meluap-luap apatah lagi ATV ini terletak jauh di dalam hutan,'' ujarnya yang kini sudah setahun menetap di Taman Seputeh, Kuala Lumpur atas urusan kerja.

Jordaan yang datang bersama rakan-rakannya memilih pakej B.




Pemanduan ATV bermula dari kem latihan hingga ke air terjun Khamisah. Perjalanan yang penuh berliku itu mengambil masa selama 30 minit.

"Jangan mengelak batu-bata atau lopak dan jangan tekan brek kecuali jika perlu berhenti," nasihat Mas.

ATV menjadi pengangkutan alternatif untuk meredah hutan yang sukar diakses melalui kenderaan pacuan empat roda.

Kegunaan dan fungsinya juga tidak banyak beza berbanding motosikal kecuali ia mempunyai saiz tempat duduk yang lebih luas. ATV mudah ditunggang oleh sesiapa sahaja yang berusia 16 tahun dan ke atas tanpa mengira saiz tubuh seseorang.

Menurut Mas, apabila melalui jambatan buluh, pengguna dinasihatkan supaya bergerak secara bergilir-gilir.

Sambil memandu, pengunjung juga berpeluang menikmati keindahan hutan Kemensah. Antara cabaran yang harus ditempuhi ketika memandu ATV ialah merentasi laluan dengan halangan pokok-pokok buluh yang tumbang.

Sebuah kawasan lapang turut disediakan untuk pengunjung berehat. Menurut seorang kakitangan ATV, Mohd Saifulazam Aziz Aziz, tempat itu juga digunakan sebagai tempat perkhemahan sekiranya pengunjung ingin bermalam.

Bagimanapun, aktiviti berkhemah ditawarkan pada hari bekerja sahaja.

Menurut Mas, perniagaannya yang bermula dengan lima buah unit ATV, kini telah meningkat kepada 21 buah unit. Setiap satu bernilai RM13,000.

Bagi menjamin perkembangan dan kelangsungan bisnes ATV Adventure Park, Mas sudah merancang beberapa aktiviti. Ini termasuklah kelab ATV, bina lokasi terbang keluang, bola cat, kolam renang dan sebagainya.

ATV Adventure Park juga menerima sokongan daripada Tourism Malaysia sekali gus tersenarai dalam Travel Malaysia 2009.

Setakat ini, perkhidmatan ATV yang terbesar terletak di Tasmania, Australia dengan menawarkan 60 buah unit ATV pada satu-satu masa.

Mas juga menguruskan kedai ATV World di Tesco Ampang, Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment