
ARAU - Rakan kepada Allahyarham Muhammad Taufiq Noorizan, Rashidi Abd. Rahman, 23, mendakwa arwah bertindak di luar kesedaran selepas berhibur di sebuah pusat hiburan di Alor Setar menyebabkan dia dipukul dan menerima ancaman bunuh.
Menurut Rashidi, dia tidak menyangka tindakannya meninggalkan Taufiq ekoran mahu pulang awal kerana ingin bekerja pada pagi tersebut menjadi titik tolak kemarahan arwah sehingga dia mengamuk.
"Sebenarnya, saya dan Taufiq pergi ke Alor Setar malam itu untuk minum bersama tiga lagi rakan yang menunggu di sana. Mereka juga mempunyai kenderaan dan berasal dari Guar Sanji.
"Sebelum saya tinggalkan arwah di Alor Setar, saya telah cuba menghubunginya dua kali tetapi gagal dan meminta rakannya menghantar arwah pulang ke Arau," ujarnya.
Tambahnya, arwah sebenarnya menumpang rakannya yang lain sehingga mereka berjumpa pada pagi berkenaan.
"Ketika berjumpa pukul 5.30 pagi tersebut, saya memberitahunya saya terpaksa pulang awal kerana hendak bekerja.
"Namun dia bagaikan hilang pertimbangan dan terus memukul saya dengan kayu sehingga cedera dan menerima lima jahitan di kepala selain luka serta lebam di tengkuk dan tangan," katanya ketika ditemui semalam.
Menurut Rashidi, selepas dipukul, dia segera menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian itu dan dinasihatkan supaya tidak keluar rumah selepas itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: