
Kini setelah mendirikan rumah tangganya dengan Liza Ilias lebih dua bulan lalu, penyanyi dan komposer disegani itu kini boleh tersenyum bangga dengan kejayaan yang dikecapinya serta kebahagiaan bersama isteri tersayang.
Rezeki melimpah ruah dalam industri hiburan tanah air membolehkan Ajai menambahkan lagi pendapatannya dengan membuka sebuah restoran berkonsepkan kopitiam iaitu Celebrity Kopitiam.
Memilih lokasi The Strand, Kota Damansara, Ajai membuka restoran tersebut bersama dua lagi rakan kongsinya, Erwan Azizi dan Andrew Yong. Konsep kopitiam dipilih kerana konsep relaks dan santai tersebut semakin diterima ramai dan semakin berkembang di sekitar ibu kota.
Namun, mereka cuba memberi kelainan dalam perniagaan tersebut dengan memasukkan elemen hiburan selain menawarkan hidangan yang menepati cita rasa pelanggan dengan harga berpatutan.
“Kami turut menyusun beberapa acara bagi menarik minat pelanggan supaya terus setia bersama Celebrity Kopitiam. Kita akan mengundang selebriti-selebriti tanah tempatan untuk memasak juadah istimewa mereka di samping menjemput peminat artis tersebut untuk beramah mesra dengan mereka.
“Sebelum ini peminat sering dihidangkan dengan bakat nyanyian dan lakonan mereka, tetapi di Celebrity Kopitiam, peminat akan dihidangkan dengan masakan artis pujaan mereka,” katanya ketika ditemu bual pada majlis pelancaran restoran tersebut baru-baru ini.
Restoran yang berdekorasi ala kolonial disulami gaya warisan kontemporari itu cukup elegan dan menjanjikan sebuah persekitaran yang baru dan segar. Antara artis yang hadir pada majlis pelancaran tersbut ialah Mawi, Ekin, Chaq, Wana, Farah, Faradhiya, Misha Omar, Fiq, Norish Karman, Mila, Alif Satar, Aliff Aziz serta ramai lagi.
Ajai berkata, dengan adanya set karaoke di sudut restoran berkenaan, secara tidak langsung ianya menjadi satu platform kepada pelanggan mengetengahkan bakat mereka untuk dinilai secara tidak rasmi olehnya.
Tidak sabar timang cahaya mata
Kegembiraan Ajai kini digandakan lagi dengan perkhabaran baru yang diterima apabila isterinya, Liza disahkan mengandung dua bulan. Walaupun usia kandungan baru mencecah dua bulan, Ajai dikatakan tidak sabar ingin menimang cahaya mata tersebut. Mungkin kerana sudah lama tidak mempunyai anak kecil. Maklumlah Ayu Nazirah, anak hasil perkongsian hidupnya dengan Nurul dahulu sudah pun berusia 11 tahun.
Bagi Liza pula, dia sangat gembira dengan kehamilan pertamanya itu. Baginya, itu rezeki daripada Allah. Berkongsi cerita kehamilannya itu, Liza berkata, dia tidak sangka boleh mengandung dalam masa singkat. “Ajai yang dapat rasa saya mengandung. Suatu malam tu, Ajai balik ke rumah dan beritahu saya yang dia pening semacam dan dia syak mungkin kerana saya telah mengandung. Tapi saya tidak percaya. Seminggu sebelum Hari Raya, saya buat ujian sendiri sebab badan kerap penat dan hasilnya memang positif. Bagaimanapun, kami tidak terus berjumpa doktor, selepas berhari raya di Johor dan Pulau Pinang, baru kami berjumpa dengan doktor,” katanya yang turut mendampingi suaminya itu ketika majlis pelancaran tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: