Thursday, November 19, 2009

AC Luaskan Bisnes Di Luar Negara, Kurangkan Aktiviti Lakonan

PELAKON dan pengacara AC Mizal kini akan bergelar usahawan tidak lama lagi kerana akan membuka rangkaian perniagaan magnetiknya yang diberi nama AC Consortium Shd. Bhd.

Beliau akan membuka tiga kedai secara serentak pada bulan Disember ini iaitu di Oxford Road, London, Sydney, Australia dan satu lagi di Wisma Sentral, Kuala Lumpur.

"Saya akan menjual barangan magnetik seperti rantai, gelang dan baju yang ada unsur magnet berkonsepkan “bling-bling.”

"Harganya juga amat berpatutan mengikut jenis magnet yang dibeli dan sasaran pembeli saya adalah golongan yang berpendapatan sederhana dan mewah," jelas AC lagi.

Rangkaian perniagaannya dibiayai oleh Aras Dua Sendirian Berhad.

"Mereka menawarkan saya RM 200 juta untuk menjalankan perniagaan saya ini.

"Saya juga akan meluaskan perniagaan saya ke Indonesia, Jordan dan Singapura pada tahun hadapan," kata AC selepas rakaman rangcangan AC? kelmarin.

Beliau juga akan bekerjasama dengan Majalah Hidayah di Indonesia untuk memasarkan produknya disana.

Selain itu, AC juga akan meluaskan produknya kepada koleksi pakaian pejabat yang mengandungi unsur magnet dan batu-batu permata.

"Saya masih lagi berbincang dengan pihak yang berkaitan," kata AC yang mula mencipta nama bersama kumpulan rap 4U2C.

AC pernah menjadi duta barangan magnetik, Idymium selama dua tahun tetapi kontraknya dengan syarikat itu tidak dapat diteruskan kerana masalah dalaman yang tidak dapat diselesaikan.

Menurut AC, kontraknya dengan syarikat itu ditamatkan pada bulan Julai tahun lepas.

Pelakon yang baru saja menyiapkan teater 'Cuci The Musical' ini juga akui yang idea untuk membuka perniagaan tercetus apabila dia menjadi duta produk tersebut.

Dari kiri: AC Mizal, Awie, Afdlin Shauki dan Hans Isaac yang membintangi teater muzikal 'Cuci.'

Tambah AC lagi penglibatannya dalam bidang perniagaan tidak akan menjejaskan aktiviti pengacaraannya.

"Saya akan terus aktif dalam bidang pengacaraan walaupun kini sibuk mengembangkan perniagaan.

"Pengacaraan membantu meningkatkan populariti saya.

"Saya mungkin akan kurangkan aktiviti berlakon buat masa ini," kata AC yang juga ayah kepada empat orang anak itu. Apabila ditanya mengenai perselisihan fahamnya dengan Hans Isaac, AC langsung tidak sedar akan hal yang tersebar luas melalui Internet.

"Saya telah pun berbincang dengan Hans mengenai masalah itu dan saya pun tidak tahu bagaimana perbincangan kami secara peribadi boleh tersebar melalui Internet.

"Sepanjang teater Cuci, saya telah memberi komitmen sepenuhnya walaupun tengah sakit gigi dan menghadiri latihan untuk teater tersebut," ujar AC.

"Saya bagaikan 'Michael Jackson on pain killers'(Bagaikan Michael Jackson yang mengambil ubat penahan sakit semasa berlatih)

"Saya juga membatalkan semua rancangan saya pada bulan Julai hanya untuk berlatih untuk teater muzikal Cuci.

"Walaupun latihannya dimulakan pada awal bulan Ogos, saya tetap meluangkan masa untuk berlatih pada sebelah petang," jelas AC.

Tambah AC lagi, walaupun timbul banyak spekulasi mengenai komitmennya terhadap teater Cuci, beliau telah buat yang terbaik.

Lakonan AC yang begitu menonjol dalam 'Cuci The Musical' menyebabkan beliau dapat banyak pujian dan komen positif.

Kelebihan AC yang pandai 'ad lib' membuat ramai peminat teater tidak kering gusi melihat gelagat pelakon versatil ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: