SESUDAH popular dengan lagu Akan Tiba yang ditulis oleh rakan seperjuangan, Amylea dan dijadikan lagu tema drama Rona Roni Makaroni, kini Aliff atau nama sebenarnya Muhammad Alif Satar, 19, bersemangat untuk muncul dengan sebuah album penuh.
Album perdana Alif di bawah label Sony Music ini direncana keluar seawal-awalnya bulan Ogos depan dan mendapat sentuhan komposer seperti Audi Mok, Aidit Alfian dan Zimi Sofaz. Selain itu, Alif juga mendapat rencah luar untuk albumnya apabila menyelitkan sebuah lagu gubahan komposer Indonesia bernama Panji Sakti.
"Saya cuba untuk menulis lagu dan lirik sendiri tetapi setakat ini belum berani untuk keluar dengan material tulisan sendiri," ujarnya yang mahu mengikuti jejak John Mayer yang keluar dengan gaya sendiri.
Peserta pertandingan program realiti One In A Million (OIAM) musim pertama yang juga anak sulung daripada empat beradik ini mula menganggap bidang pengacaraan sebagai semakin dekat dengan dirinya.
Bermula dengan menjadi pengacara rancangan Remaja, bergandingan dengan Juliana Sophie Evans, kini dia selesa mengacarakan program seperti Chopp! dan Idola Bintang Kecil.
"Saya pada mulanya hanya mencuba. Tapi nampaknya rezeki saya ke arah ini menjadi. Syukur," ujarnya yang gemarkan kanak-kanak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: