Sunday, July 12, 2009

Shafek tunggu dilamar penerbit







JIKA kata-kata 'usaha tangga kejayaan' sekadar hipotesis, perjalanan diri Karl Shafek merentasi dunia seni sesuai dijadikan observasi.

Laluan menuju kejayaan tidak semestinya lurus. Permulaan sebagai seorang wartawan penyiaran akhirnya memberi ruang bagi dirinya untuk mengekspresikan kemampuan diri.

Selangkah demi selangkah mendekati cita-cita, dia akhirnya diberi peluang menjadi pengacara bebas bersama TV9.

Selepas itu, dia ditawarkan satu watak dalam telefilem Aku Anak Artis yang baru sahaja ditayangkan di Astro Ria, Mei lalu.

Menurut Shafek, dia selalu merasakan dirinya terlalu kecil untuk berada dalam lapangan hiburan. Namun, hati yang kecil tidak dapat menutup minatnya yang besar.

"Dulu masa kecil-kecil selalulah berangan nak ada watak sendiri. Setiap kali dalam perjalanan menuju ke sekolah, saya suka cakap sorang-sorang macam cerita yang saya tengok dekat televisyen.

"Tapi tak pernah pula terfikir nak jadi pelakon," ujarnya.

Berbekalkan pengalaman sebagai seorang pramugara, Shafek sentiasa mencurahkan sepenuh dedikasinya ke atas setiap pekerjaannya.

"Dulu masa saya jadi pramugara, macam-macam yang saya dah lalui. Semua kerja yang saya buat pun ada nilai dan pengalaman tertentu.

"Pernah juga saya rasa detik kecemasan semasa bertugas. Tetapi saya kuatkan diri dan ingat balik tanggungjawab saya pada semua penumpang. Saya sedar semua pengalaman itu banyak mendewasakan saya," ujar Shafek yang mula menjadi pengacara untuk RTM sejak berumur 24 tahun.

Peluang berlakon bersama pelakon berpengalaman seperti Didie Alias, Dina dan Tam Suhaimi, kata Shafek, memang menyeronokkan.

"Mereka juga banyak memberi tip lakonan kepada saya," ujar anak kelahiran Pahang ini.

Shafek kini sedang menanti peluang untuk dilamar oleh beberapa penerbit lain.

"Saya ingin terus dikenali melalui bakat saya," tuturnya yang berterima kasih kepada Ghaz Abu Bakar, pengarah Anak Aku Artis yang memberinya peluang berlakon.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: