Saturday, May 9, 2009

BDB masih bertenaga


WALAUPUN 32 tahun tidak mengadakan konsert di Malaysia, nyata persembahan kumpulan berasal dari Singapura, Black Dog Bone (BDB) masih bertenaga walaupun anggotanya berusia lebih 50 tahun.

BDB yang dianggotai vokalis dan pemain dram, Tahir Ali, 53, atau Jatt, Izhar Masron, 62, (gitar), Masron Matli, 59, (trumpet), Hamid Ahmad, 59, (bass), James Chai (saksofon) dan Michael Heng, 55, (keyboard) menjadi pilihan Boxoffice (M) Sdn Bhd untuk beraksi di pentas gah di Istana Budaya, Kuala Lumpur sempena Hari Ibu.

Raptai penuh Konsert Black Dog Bone di IB malam kelmarin, cukup menghiburkan. Persembahan mereka dengan lagu popular mereka mengimbau kembali detik kegemilangan kumpulan ini.

Malah pentas IB bertukar menjadi kelab malam dengan tema retro lengkap dengan pancaran lampu dan tarian ala retro. Persembahan BDB juga diiringi pemain gitar jemputan, Malik Halid, komposer terkenal, S Atan serta Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK).

Konsert yang berlangsung selama lebih dua jam itu turut menampilkan persembahan pemain bass dan penyanyi utama Carefree, Jay Jay, selain Rahim Othman sebagai artis undangan.

Jay Jay atau nama sebenarnya, Mohd Fauzi Darus, 52, yang memulakan persembahan pembukaan konsert menyampaikan lagu Dendangan Laguku, Bayangan Tarimu, Cukuplah Sekali dan Belaian Jiwa, lagu popular Carefree dan dirakamkan semual Innuendo. Untuk lagu Kini Baru Kau Sedar, Jay Jay diiringi tiupan flute juara Bakat TV RTM 1972, Rahim Othman.

Jay Jay juga tidak ketinggalan menyampaikan lagu single terbaru, Permaisuriku di samping lagu popularnya, Rindu Bayangan dan Joget Angan Tak Sudah.

Walaupun agak terkilan ketika menjayakan persembahan tanpa anggota kumpulan Carefree yang lain, Jay Jay tetap berpuas hati.

Rahim pula mempamerkan bakat istimewanya menerusi persembahan flute dengan tema Mission Impossible dan lagu Doa yang dipopularkan Rahimah Rahim.

Lebih istimewa, konsert diadakan sempena sambutan Hari Ibu itu menyaksikan gandingan Jay Jay dan Jatt menyampaikan lagu dipopularkan Exists, Untukmu Ibu diiringi Rahim.



BDB yang mula melonjak dengan lagu Hatiku Luka Lagi, turut menyampaikan lagu popular mereka seperti Si Gadis Ayu, Diganggu Kenangan, Geram, Bila Rindu, Joget Bujang Di Rantau, Dulu Dan Sekarang dan Khayalan.



Di samping nyanyian persembahan sketsa secara spontan BDB menyerlahkan identiti kumpulan berkenaan sebagai penghibur sejati.

Kebolehan anggota BDB bermain alat muzik dan menyanyi, meletakkan kumpulan ditubuhkan pada 1973 dengan lapan album, sukar digugat hingga kini. Selepas berpecah pada 1980, semua ahli membawa haluan masing-masing dan ada yang masih bermain muzik di kelab di Singapura.

Pastinya peluang mengadakan persembahan di IB sebagai satu penghargaan besar buat BDB selepas empat dekad memperjuangkan muzik. Ini diakui Jatt ketika ditemui selepas berakhirnya persembahan yang meluahkan rasa terharu dengan kepercayaan Box Office. Mereka akan beraksi selama tiga malam di IB mulai semalam. Tiket berharga RM65, RM85, RM155 dan RM205.

Katanya, sebagai artis dia sentiasa berazam memberi yang terbaik bagi setiap persembahannya. Katanya, dia kagum melihat reaksi penonton walaupun sudah sekian lama tidak menjayakan konsert besar seperti itu.

"Walaupun persembahan malam prebiu, setidak-tidaknya kami cuba memberi 100 peratus yang termampu. Saya gembira melihat sambutan penonton yang terhibur dan memberi respons yang amat baik.

"Hendak diikutkan, semua lagu yang disampaikan cukup sukar dinyanyikan memandang usia setiap anggota kumpulan ini. Begitupun, kami tetap cuba menampilkan persembahan terbaik. Malah kami juga berdoa semoga kesihatan berjalan lancar sepanjang menjayakan konsert ini.

"Memang minat kami dalam dunia seni cukup tinggi. Malah kami sentiasa bertekad untuk melakukan yang terbaik setiap kali menjayakan persembahan sama ada di konsert mahupun kelab malam," katanya.

Bagi Rahim, dia kurang berpuas hati dengan persembahan pada malam itu atas beberapa sebab teknikal. Begitupun, dia berharap persembahannya menggunakan bantuan angin mendapat bantuan daripada jurubunyi pada malam seterusnya.

Sementara itu Pengarah Urusan Boxoffice (M) Sdn Bhd, Ali Bakar selaku penerbit konsert, mengakui puas hati dengan persembahan BDB dan artis undangan pada malam itu sekali gus membuatkan penonton selesa dan terhibur. Sebelum ini Boxoffice berjaya mengadakan Konsert Alam Muzik M Nasir di IB pada 27 Februari lalu.

"Ternyata persembahan mereka cukup menyerlah serta membuatkan penonton selesa dan terhibur. Sebenarnya reaksi pertama saya cukup takut apabila memikirkan sama ada artis yang ditampilkan pada konsert ini dapat menghiburkan penonton.

"Begitupun, sangkaan saya ternyata tidak benar apabila melihat kualiti yang ditonjolkan oleh semua artis yang terbabit dalam persembahan ini. Saya kagum dengan persembahan mereka.

"Ternyata mereka berjaya menghiburkan penonton yang hadir dengan cara tersendiri menerusi persembahan pentas, karakter, emosi dan jenaka spontan selain pemilihan lagu yang mempunyai kekuatan tersendiri," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: