Saturday, May 9, 2009

Hanya Aku drama terbaik


DRAMA Hanya Aku yang memaparkan kisah penagih dadah yang insaf selepas menjalani pemulihan di Rumah Pengasih, dipilih memenangi Anugerah Agensi Dadah Kebangsaan (ADK) Malaysia bagi kategori Terbitan Drama Terbaik.

Drama terbitan JS Pictures Sdn Bhd (JSPSB) dan arahan Azman Yahya (Jinggo), disiarkan pada Aidilfitri lalu di Astro Ria. Ia dipertandingkan mewakili Rumah Pengasih Malaysia (Pengasih) untuk anugerah anjuran Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Penerbit, Sheila Rusly meluahkan perasaan bertuah apabila kali pertama karya JSPSB mendapat perhargaan daripada NGO berbanding penghargaan lain dianjurkan penggiat seni.

Katanya, pihaknya menerima panggilan daripada ADK bagi memberitahu kejayaan diraih kelmarin dan menjelaskan pencalonan Hanya Aku datangnya daripada Pengasih.

"Bagaimanapun anugerah itu hanya akan diserahkan dalam satu majlis khas yang akan dianjurkan dalam waktu terdekat. Saya sendiri tidak tahu pencalonan ini. Selaku penerbit, saya sangat berterima kasih kepada Pengasih atas usaha mereka mempertandingkan drama Hanya Aku.

"Sewaktu dihubungi pihak ADK, khabarnya ada beberapa lagi pencalonan yang dihantar dan semua membabitkan isu penagihan dadah.

"Kemenangan itu juga membolehkan drama Hanya Aku dicalonkan dalam pertandingan sama di peringkat Asia Tenggara, memandangkan Pengasih sendiri mempunyai cawangan di Indonesia dan Thailand," katanya

Sheila berkata, sepanjang menghasilkan Hanya Aku, pihaknya tidak terfikir untuk meraih anugerah selain berasakan drama itu dapat memberikan kelainan kepada penonton.

"Pada saya, anugerah diberikan ADK itu sangat besar pengertiannya kerana sebagai anak seni, saya dapat rasakan sudah memberikan sumbangan kecil kepada masyarakat.

"Ramai orang tidak tahu kehidupan dilalui bekas penagih dan bagaimana penerimaan masyarakat. Itulah yang cuba JSPSB paparkan dalam Hanya Aku.



"Sejak disiarkan Syawal lalu, selain memperoleh jumlah penonton memberangsangkan, saya dimaklumkan Pengasih turut menjadikannya bahan bantuan mengajar.



"Saya turut difahamkan, drama itu dihasilkan dalam versi Indonesia oleh Pengasih di sana dan juga dijadikan bahan bantuan mengajar kerana mesej menerusi visual lebih memberikan kesan mendalam berbanding ceramah.

"Apatah lagi Hanya Aku sebaik cuba memaparkan realiti dilalui kebanyakan mereka yang cuba meninggalkan tabiat menagih," katanya.

Atas kejayaan itu, kata Sheila, pihaknya turut merancang menghasilkan sambungan drama yang turut dibintangi Que Haidar, Hattan dan Nadia Nisa dengan judul Hanya Aku Trilogi.

"Perkara ini masih dalam perbincangan. Ia sudah dinyatakan kepada Astro dan mereka turut berminat menyiarkan sambungan Hanya Aku.

"Bagaimanapun, ia tidak semestinya disiarkan pada hari raya dan mungkin disiarkan pada Hari Raya Haji atau hari biasa. Saya tidak terlalu memikirkan sangat soal hari tayangan, cukup sekadar apabila dimainkan ada ramai orang menontonnya," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: