|
|
MINGGU lepas, program realiti One In A Million 3 (OIAM3) membuat kejutan apabila mengumumkan kemungkinan dua atau tiga orang finalis yang akan berentap di pentas akhir malam ini.
Semua keputusan ini diletakkan kepada rakyat Malaysia, apabila mereka diberikan mandat untuk memilih sama ada ingin melihat dua ataupun tiga orang peserta yang akan beraksi di pentas akhir.
Pengumuman dibuat oleh pengacara OIAM3, Awal Ashaari dan Marion Caunter sebaik sahaja semua peserta top 3 selesai membuat persembahan yang nyata menarik perhatian semua yang menonton rancangan tersebut.
Minggu lepas menyaksikan Tomok, Aweera dan Esther berjaya melayakkan diri untuk merebut hadiah bernilai RM1 juta jika berjaya menjuarai OIAM3 nanti.
Bagi juri tetap, Syafinaz menganggap keputusan daripada pihak produksi ini ada baik dan buruknya.
"Kebaikan, kita dapat melihat ketiga-tiga peserta menunjukkan keistimewaan mereka pada pentas akhir, jika orang ramai mahukan semua mereka beraksi di final.
"Jika sebaliknya, maka salah seorang terpaksa dikeluarkan dan peluang untuk merebut hadiah utama terbuka kepada dua orang sahaja,'' ujarnya ketika ditanya pendapatnya.
Menurut Paul Moss pula, apa pun yang bakal berlaku minggu hadapan, semua peserta top 3 mempunyai kekuatan tersendiri.
"Baik Tomok, Esther dan Aweera, mereka sebenarnya layak untuk bergelar juara dalam OIAM3 ini.
"Bagi saya pemilihan mereka bertiga bertepatan dengan tagline OIAM3, Find Your Own Voice iaitu mereka mempunyai kelainan dan gaya tersendiri,'' kata Paul Moss.
Nine tersingkir
Penyingkiran Nine atau nama sebenarnya Zulqarnain Jaafar, sudah dijangkakan. Apatah lagi vokalis Coco ini sering berada di antara peserta yang mendapat undi terendah.
"Saban minggu saya bersedia secara fizikal dan mental untuk tersingkir daripada pertandingan ini.
"Dan Alhamdulillah saya mampu bertahan di peringkat ini hasil kerja kuat penyokong-penyokong saya," kata Nine.
Dalam pada itu, Nine juga tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa dan sedihnya apabila dia tersingkir.
Ini terbukti apabila dia menyanyikan lagu Aku dan Kamu, jelas kedengaran sebak pada suaranya.
"Saya akui, saya memang kecewa dan sedih. Tetapi itulah yang harus saya terima. Inikan pertandingan. Pasti akan ada yang tersingkir.
"Apa yang penting ilmu dan pengalaman yang saya perolehi sepanjang OIAM ini,'' tambahnya lagi.
'Kelahiran semula' Tomok
Diragui kebolehannya seawal menyertai program OIAM ini, namun semuanya dapat ditepis oleh Shah Indrawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Tomok.
Anak muda ini berjaya keluar daripada identiti New Boyz, apabila berjaya membuat persembahan yang cukup bertenaga, segar dan mampu memukau sesiapa sahaja yang melihatnya.
Malah pada persembahan minggu lepas, Tomok menyanyikan lagu Crazy In Love (pilihan juri) dan Coba (pilihan orang ramai) memang cukup bertenaga.
Namun, kedengaran vokal Tomok agak kurang menyerlah pada minggu tersebut dek masalah kesihatan yang dialaminya.
"Saya tidak sihat minggu lepas. Ini merupakan perkara yang paling saya bimbangkan. Mudah-mudahan final nanti semuanya berjalan lancar,'' katanya ketika ditemui Hits baru-baru ini.
Menurut Tomok, setiap peserta mempunyai kekuatan masing-masing dan genre muzik yang tersendiri.
"Esther lebih kepada lagu yang berentak blues, Aweera pula terkenal dengan lagu rock dan saya serasi dengan pop rock. Jadi peluang untuk menang memang cukup terbuka," katanya lagi.
Namun begitu Tomok sempat menyatakan harapannya untuk membawa pulang hadiah RM1 juta.
"Apa yang boleh saya katakan, saya akan buat yang terbaik pada malam final nanti bagi membolehkan saya menjadi peserta lelaki dan artis pertama yang bergelar juara,'' katanya lagi.
Vokal menawan Esther
Mengalunkan lagu Better In Time (pilihan juri) dan Won't Go Home Without You (pilihan orang ramai) minggu lepas, memang vokal gadis berumur 21 tahun ini mampu menawan hati orang ramai.
Namun, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Esther atau nama sebenarnya Elizabeth Applunius Chin pernah mencuba nasib sebanyak empat kali untuk uji bakat Akademi Fantasia, tetapi tidak berjaya.
"Mungkin rezeki saya di sini (OIAM). Malah saya telah membuat persiapan selama tiga tahun sebelum menyertai OIAM ini.
"Memang satu jangka masa yang lama tetapi saya sedar akan kekurangan pengalaman ketika itu menyebabkan saya mengambil keputusan untuk menyanyi di hotel-hotel sekitar Kota Kinabalu, Sabah.
"Dengan pengalaman itu, saya banyak mempelajari teknik-teknik persembahan dan susunan muzik dan itulah yang saya bawa ketika melakukan persembahan sepanjang berada di OIAM,'' ujarnya dalam loghat Sabah.
Berbekalkan semangat dan pengalaman tersebut, persembahan Esther sering mendapat pujian pengkritik dan orang ramai. Berbaloi rasanya jangka masa tiga tahun untuk mencari pengalaman buat Esther apabila berjaya menjadi calon finalis OIAM3.
Bukan setakat vokal yang mantap, Esther juga mempunyai kelebihan dalam susunan muzik menjadikan setiap persembahannya antara yang terbaik setiap kali OIAM bersiaran.
Aweera pelapis rock
Berumur 18 tahun, anak muda dari Perlis ini dilihat sebagai generasi pelapis penyanyi rock di negara kita.
Seperti juga Tomok dan Esther, Aweera tidak pernah menjangkakan akan sampai ke peringkat ini .
"Terima kasih kepada semua yang memberi peluang dan menaruh kepercayaan kepada bakat saya.
"Walaupun tekanan semakin terasa, saya cuba sedaya-upaya untuk melupakannya dengan bertenang serta memfokuskan kepada latihan saya.
"Selain itu, saya menitikberatkan aspek kesihatan, agar ia tidak mengganggu persembahan saya kelak,'' katanya lagi.
Sementara itu, Aweera tampil menghiburkan dengan lagu Gemilang (pilihan juri) manakala hasil undian orang ramai, Aku Dah Bosan menjadi taruhannya pada minggu lepas.
Nyata aura rock cukup terasa apabila menyaksikan persembahan Aweera. Malah kemampuannya menyanyikan lagu bernada tinggi cukup untuk membuatkan bulu roma mereka yang mendengarnya berdiri tegak.
Berbekalkan rupa dan umur yang muda serta vokal yang tinggi, tidak mustahil, Aweera juga mampu merebut gelaran jutawan untuk kali ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: