Wednesday, May 13, 2009

Terus agenda bantu ahli


SEJAK hampir 16 tahun lalu, kewujudan Persatuan Pekerja Filem Malaysia (PPFM) menjadi platform untuk mereka yang bekerja dengan produksi filem mahupun drama meluahkan pandangan dan keluhan. Biarpun, tanggapan segelintir berpandangan persatuan artis hanya gah pada nama berbanding nasib ahli yang diperjuangkan, sebaliknya PPFM masih meneruskan agenda untuk menyelesaikan masalah yang membabitkan ahli mereka.

Selepas PPFM diterajui presiden baru, Khir Mohd Noor yang menggantikan Syed Mohamed Hassan Benyahyah pada mesyuarat agung tahunan (AGM) yang diadakan pada 11 April lalu, persatuan ini kian aktif dalam menyusun agenda dan aktiviti mereka agar terus mendapat kepercayaan ahli.

Bagi Khir, keinginannya untuk memegang jawatan presiden adalah mahu memberi perubahan pada persatuan tanpa merujuk pada keinginan kelompok ahli tertentu.

Malah, Khir berkata dia bersifat terbuka dalam menerima sebarang cadangan mahupun komen ahli demi kebaikan persatuan dan persada hiburan tempatan secara keseluruhan. Selepas hampir sebulan bekerja dengan tanggungjawab baru, dia terus menjalankan amanah dengan mengadakan sesi berdialog bersama ahli yang diadakan di Perbadanan Kemajuan Finas Nasional (Finas), Kuala Lumpur baru-baru ini. Menariknya, pada majlis itu yang dihadiri hampir 200 ahli, dia mengumumkan nama baru PPFM yang kini dikenali Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima).

Rasional perubahan nama ini dianggap sebagai usaha mengukuhkan peranan persatuan selain mengangkat skop pekerja produksi yang mempunyai profesionalisme. Pada majlis itu, Khir turut mengundang empat penggiat seni lain iaitu Timbalan Presidennya, Khairuddin Othman, ahli Profima, Richard Ung, Presiden Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (Gafim) merangkap Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM), Ahmad Puad Onah dan Presiden Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim atau Mat London.

Sesi dialog yang berlangsung hampir dua jam memberi peluang pada pemimpin wakil persatuan yang ada untuk berbicara lanjut masalah yang dihadapi pekerja produksi. Terdahulu, Ahmad Puad menjawab masalah bayaran yang diterima pekerja produksi tidak setimpal bila terpaksa bekerja lebih masa kerana masa penggambaran sesuatu drama atau filem dilanjutkan.

"Pembayaran biasanya dibuat mengikut kontrak perkhidmatan yang dipersetujui. Jika penggambaran dilanjutkan, kontrak akan dirunding kembali. Bagaimanapun, jika stesen TV bayar tinggi kepada satu produksi, mungkin bayaran itu dikongsi bersama pekerja tetapi bagaimana jika bayarannya sedikit, ia akan memberi kesan pada pekerja.

"Produser bukan hanya menanggung kos gaji pekerja tetapi termasuk sewa peralatan penggambaran. Buat masa ini, saya melihat kita tidak mempunyai skim bayaran seragam dan tiada siapa dalam bidang hiburan mahu melaksana skim ini. Oleh itu, saya berharap agar Profima menyelesaikan masalah ini," katanya.

Bagi Khir, pembelaan nasib pekerja produksi seperti masalah bayaran yang sering berlaku, perlu diatasi dengan segera. Walaupun produksi menggunakan alasan terpaksa menanggung kos yang tinggi bila penggambaran dilanjutkan tetapi pekerja berhak untuk menuntut bayaran lebih.

"Masalah sebegini sering berlaku kerana ada produksi drama yang tidak pakai kontrak untuk pekerja. Menerusi Profima, kami berharap masalah seperti ini dapat diatasi bila kami menubuhkan jawatankuasa khas untuk melakukan pemantauan di lokasi penggambaran.



"Dalam pada itu, kami mahu menggalakkan produksi mengambil insurans untuk pekerja mereka. Jika mahu, mereka boleh mengambil insurans berkelompok yang lebih murah kerana terikat dengan masa penggambaran. Saya berharap pekerja produksi yang menjadi ahli Profima diberi peluang untuk terbabit dengan mana-mana produksi dan kami akan mengeluarkan sijil untuk mereka yang mengiktiraf kerja yang dilakukan adalah layak berdasarkan pengalaman yang ditimba sebelum ini," katanya.



Mat London pula memberi cadangan agar gaji pekerja dibayar terus sebaik penggambaran selesai.

Katanya, ada kes yang membabitkan produksi filem yang mendapat Skim Pinjaman Filem Cereka (SPFC) tidak membayar gaji pekerja. Untuk menyelesaikan masalah itu, perbincangan antara Profima dengan SME Bank yang memberikan pinjaman SPFC perlu mencapai kata sepakat untuk membantu membayar gaji pekerja produksi.

"Saya percaya Profima dapat menyelesaikan masalah yang membabitkan pekerja produksi dengan bijak. Mungkin dengan cara perbincangan seperti ini dapat menyelesaikan masalah gaji pekerja dengan lebih sistematik," katanya.

Pada majlis itu, Khir turut menyampaikan sijil ahli pada sembilan ahli kehormat dan 162 ahli yang hadir. Ahli kehormat yang menerima sijil adalah Ketua Pengarah Finas, Mohd Mahyidin Mustakim, Ketua Pegawai Eksekutif, Sime Darby Insurance Brokers Sdn Bhd, Mohd Yahya Mohd Ibrahim, Presiden UNI-MLC, Mohamed Shafie Bp Mammal, Ahmad Puad Onah, Richard Ung, Baharuddin Omar, Jurey Latiff, Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh dan Pengarang Hiburan Berita Minggu, Akmal Abdullah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: