Wednesday, May 13, 2009

Interaksi: ‘AF popular, masih relevan’


KALI pertama diberi tanggungjawab menerbitkan Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7), Sooraj Nair, 35, tidak gentar kerana dia sudah tahu corak program itu. Program yang dipenuhi dengan pelbagai gimik sehingga adakala muak melihat aksi dan drama yang kurang menjadi tetapi sebenarnya itulah kekuatan AF yang sudahpun berusia tujuh tahun.

AF terus bermain dengan emosi penonton namun begitu tahun ini, elemen sedih dikurangkan. Tanpa dialog hiba oleh pengacara AF7, AC Mizal, sehingga mengalirkan air mata penonton, pengumuman penyingkiran peserta dibuat dengan cepat. Pada AF tahun ini juga, penonton tidak lagi dibekalkan tisu yang diletakkan atas kerusi dalam dewan.

Apabila Datin Seri Tiara Jacquelina dilantik sebagai pengetua AF7, ramai mempertikaikan kewibawaan ‘Puteri Gunung Ledang’ itu. AF selamanya tidak putus dengan kontroversi.

Kala peserta kegemaran tersingkir, ramai kecewa lalu diadakan pula undian AF Masuk dan akhirnya Aril (Khairil Azam Pilus) masuk semula ke AF7. Ramai pula tidak puas hati. Permainan dalam AF tidak akan berakhir dan itulah kekuatan yang ada pada AF.

Pada 16 Mei ini, akan berlabuhlah tirai AF7. Siapakah antara pelajar itu, Yazid (Mohd Yazid Ibrahim), Isma (Ismaliza Ismail, Hafiz (Mohd Hafiz Mohd Suip), Akim (Afiq Akim Ahmad) dan Aril yang akan dijulang sebagai juara, kita tunggu dan lihat.

Untuk berkongsi perasaan, pandangan dan apakah masa depan AF dalam persada seni tanah air, wartawan hiburan Harian Metro, NOR AKMAR SAMUDIN menemu bual Sooraj melalui Interaksi minggu ini.



SOALAN (S): Apakah bentuk transformasi yang cuba diketengahkan dalam AF7?

JAWAPAN (J):
Untuk tahun ini, kami banyak melakukan transformasi kerana pihak produksi dan Tiara mahu semua pelajar menjadi ikon kepada peminat dunia hiburan apabila mereka keluar dari akademi. Setiap pelajar mempunyai latar diri berbeza, jadi kami cuba satukan perbezaan itu untuk menjadikan mereka bintang.

Dari segi kandungan program, kami menggunakan pelbagai pendekatan baru dengan memperkenalkan konsep konsert berbeza pada setiap minggu seperti menyanyikan lagu yang dipopularkan kumpulan muzik popular dan menyanyikan lagu dari teater muzikala. Selama tujuh tahun bersiaran, AF perlu menyuntik pelbagai elemen baru dan lebih segar.



Begitu juga transformasi barisan tenaga pelajar dan pengetua. Yang mana memerlukan pembaharuan, kami ambil tenaga pengajar baru seperti A Aris A Kadir menggantikan tempat Linda Jasmin sebagai guru kareografi. Julung kali juga kami mengambil pengetua wanita.



Oleh kerana kuasa memilih juara AF terletak pada tangan penonton yang mengundi menerusi SMS, produksi sentiasa mempertimbangkan kritikan orang, wartawan dan bloggers. Setiap Isnin selepas berakhirnya konsert mingguan, saya akan membaca blog dan akhbar.

Sama ada baik atau buruk kritikan yang dilemparkan, kami akan mencari jalan untuk memperbaikinya. Kami tidak pernah membiarkan kritikan itu berlalu begitu saja. AF milik masyarakat kerana kuasa mengundi terletak di tangan mereka.

Apapun saya bangga dengan komen media pada konsert minggu lalu di mana rata-rata mereka memuji persembahan pelajar AF7 yang masih berjuang dalam akademi. Memang ada perbezaan ketara pada awal konsert itu diadakan kerana ketika itu ada 14 pelajar. Jumlah pelajar yang ketika itu tiada banyak elemen yang kita boleh masukkan. Apabila jumlah pelajar semakin berkurangan, banyaklah perkara baru dapat diadakan.

Pun begitu penonton AF7 semakin bijak memilih pelajar berbakat sejak konsert mingguan pertama lagi. Saya lihat lima pelajar yang akan beradu nasib pada peringkat akhir AF7 adalah pelajar yang berpontensi sejak awal lagi. Disebabkan itu, jumlah undian yang diterima mereka tidak jauh beza. Masing-masing ada x-factor.



S: Berikutan masalah ekonomi, sejauh mana anda dan kru produksi dapat bekerja dengan peruntukan bajet yang agak kecil?

J:
Sebelum terima tawaran menjadi Penerbit Eksekutif AF7, saya sudah dimaklumkan mengenai bajet untuk produksi. Maknanya, saya terpaksa mengurangkan kos produksi dan untuk mengatasi masalah itu, saya cuba mendapatkan banyak tajaan untuk pakaian pelajar dan sebagainya. Dalam soal ini, Tiara banyak membantu kerana beliau mempunyai ramai kenalan dan ada yang pernah bekerjasama dengannya sebelum ini.

Misalnya Tiara berjaya mendapatkan tajaan klinik gigi terkemuka untuk mencantikkan gigi Claudia (Claudia Fay Geres) dan Aishah (Siti Aishah Bujang). Kos untuk seorang hampir RM30,000. Itulah antara transformasi yang dilakukan terhadap pelajar kerana kecantikan gigi antara ciri penting untuk menjadi artis.

Pelajar tahun ini bertuah kerana Tiara banyak membawa elemen baru dalam AF7, antaranya menukar silibis supaya menjadi lebih mantap. Fokus utama tenaga pengajar kali ini bukan hanya melahirkan seorang juara tetapi kami mahu setiap pelajar mengasah bakat masing-masing dalam bidang lain seperti berlakon, menari, mengacara dan sebagainya. Apabila keluar, mereka boleh mencari peluang kembangkan bakat yang ada.

Atas usaha Tiara juga, AF7 mendapat tajaan buku daripada gedung buku terkenal di ibu kota. Dia juga berjaya mendapat tajaan baju Guess untuk pelajar. Dengan cara mendapatkan banyak tajaan inilah, kami tidak bimbang dengan bajet yang sedikit. Dalam keadaan sekarang, kami pun tak mahu membazirkan wang. Jika dalam konsert minggu AF sebelum ini banyak juga menggunakan letupan bunga api, tetapi tahun ini kita simpan bunga api itu untuk konsert akhir nanti. Dengan kerjasama semua pihak, bajet yang kecil bukanlah halangan untuk kejayaan AF tahun ini.

Mengerti dengan keadaan sekarang, kami tidak pernah komplen, malah kami bekerja dengan cara baru bagi menjimatkan kos.



S: Tahun ini juga anda bekerja dengan kru baru AF dan tidakkah anda bimbang ada pihak membandingkan anda dengan penerbit AF terdahulu?

J:
Tiada bezanya dengan kru baru atau lama, yang penting komitmen. Saya sudah 13 tahun bekerja dengan Astro dan saya terbabit dalam AF sejak musim pertama ia bersiaran tetapi ditugaskan untuk bahagian lain sebagai ‘Supervising Director’. Saya sudah faham rentak AF yang mendapat perhatian luar biasa penonton. Jika terima kritikan negatif, saya cuba pandang dari sudut positif dan perbaiki mana yang kurang. Saya tidak risau mengenai perbandingan kerana prinsip saya, apa juga tugasan yang diberi, saya akan buat sebaik mungkin.



S: Tiada masalah bergandingan dengan Tiara?

J:
Beliau sangat profesional dan komited dengan kerjanya. Kadang-kadang dia telefon saya jam dua atau tiga pagi untuk memberitahu ideanya pada saya dan saya pun tak kisah kerana ilham datang tidak mengira waktu. Saya memang berpesan padanya jangan segan hubungi saya bila-bila masa. Bukan semua idea beliau kita terima dan setiap penolakan itu Tiara terima dengan baik. Kami suka berbincang, jika idea Tiara bagus kita pakai dan jika tidak sesuai, kami cari idea baru.



S: Dengarnya pelajar AF7 yang tersingkir awal bimbang masa depan mereka tidak terjamin syarikat pengurusan kerana Maestro ditutup baru-baru ini?

J:
Mereka tidak perlu risau kerana AESB (Astro Entertainment Sdn Bhd) akan menguruskan kerjaya sebagaimana ada Maestro dulu. Selagi mereka percaya kepada bakat yang ada, mereka boleh berjaya. Walaupun AESB ada untuk membantu mereka tetapi mereka juga perlu membantu diri sendiri dengan bekerja keras.



S: Ada yang musykil mengenai undian AF sehingga dikatakan ada kontroversi tambahan apabila ada AF Masuk?

J:
Tidak perlu sangsi dengan undian AF kerana kami ada juruaudit yang memastikan segalanya berjalan lancar. Sebelum bermulanya konsert, saya akan beritahu ada penyingkiran atau tidak dan berapa orang. Produksi AF akan memastikan mengikut syarat ditetapkan program yang diadaptasi daripada La Academia dari Mexico itu. Sebenarnya banyak lagi elemen asal yang kami tidak ketengahkan dalam AF. Di sana pelajar perlu berada dalam akademi selama enam bulan tetapi kami rasa ia terlalu lama.

Dalam jangkamasa yang pendek ini pun, pelajar dah tension dalam akademi kerana tidak dapat berhubung dengan dunia luar termasuk tidak boleh membaca akhbar dan menonton televisyen. Tumpuannya pada pelajaran dalam akademi. Dek kerana terkurung, mereka tidak tahu yang negara kita sudah berganti Perdana Menteri baru. Yang ini saya kena beri tahu mereka kerana ia perubahan penting dalam negara.



S: Adakah AF7 masih releven berbanding program realiti lain?

J:
Apabila saya mengambil alih tugas menerbitkan AF7, saya sasarkan untuk membawa AF selangkah lagi ke depan. Program ini memang popular dan masih relevan. Bagi saya, apabila ada yang mengkritik bererti mereka menonton program ini. Jadi saya yakin AF akan terus bertahan bagi melahirkan lebih ramai bakat baru dalam persada seni.



S: Gimik untuk peringkat akhir AF7?

J:
Kami akan tonjolkan elemen luar biasa dalam konsert akhir kerana AF perlu mempertahankan reputasinya sebagai program realiti nombor satu negara. Saya mahu meletakkan AF tahun ini lebih baik daripada tahun sebelumnya. Apakah kejutan itu, tunggu dan lihat.



S: Harapan konsert akhir AF7?

J:
Kepada penonton, undilah dengan bijak kerana nasib pelajar terletak pada kebijaksanaan anda semua. Pilihlah pelajar yang selayaknya bergelar juara AF7.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: