Wednesday, May 13, 2009

Formula The Saturdays


LIMA gadis jelita yang menggelarkan diri mereka The Saturdays ini bukan saja bersandarkan paras rupa semata-mata, malah bakat besar sebagai penghibur untuk menawan hati peminat di seluruh dunia.

Selain mempunyai kelebihan dari aspek vokal, lima gadis jelita dari United Kingdom ini juga boleh menari dan berkomunikasi dengan baik di pentas.

The Saturdays menampilkan Una Healy, Rochelle Wiseman, Vanessa White, Mollie King dan Frankie Stadford.

Apa yang memberangsangkan, album sulung mereka yang dilancarkan penghujung tahun lalu di United Kingdom

juga mendapat sambutan hangat peminat.

Empat single hits mereka menduduki carta Top 10 di sana. Antaranya If This Is Love, Issues, Up dan Just Can't Get Enough yang dihasilkan untuk program amal Comic Relief.

Kumpulan yang mempertaruhkan genre muzik pop ini baru saja melancarkan album sulung mereka berjudul Chasing Lights yang diedarkan syarikat rakaman Universal Music di Malaysia, Mac lalu.

Dalam sesi temu bual selama 20 minit yang diatur Universal Music dengan The Saturdays di Sky Bar, Hotel Traders, Kuala Lumpur sempena konsert showcase mereka (12 Mei) di negara ini, Isnin lalu, Rap berpeluang mengenali kumpulan ini dengan lebih dekat lagi dalam tempoh 20 minit yang diberikan.

Menurut Vanessa yang mewakili kumpulan itu, mereka mempunyai kelebihan tersendiri untuk menawan hati peminat di Asia termasuk Malaysia.

"Berbanding penyanyi wanita berkumpulan lain, kami bukanlah model yang tidak boleh menyanyi. Kami berlima boleh menyanyi dan menari dengan baik. Bersandarkan kelebihan itulah kami yakin mampu menawan hati peminat kami di Asia.



"Kami yakin peminat menyukai muzik pop yang kami tampilkan kerana muzik kami bukan saja untuk dewasa malah kanak-kanak. Selain itu, muzik kami juga banyak dipengaruhi kumpulan yang menjadi idola kami sejak dulu iaitu Spice Girls," katanya.



Kata Vanessa lagi, mereka juga berbangga dengan genre muzik pop yang dipelopori sejak dulu.

"Muzik pop kami adalah asli dan kami cukup berbangga dengannya. Saya tidak faham kenapa orang berasa malu dengan muzik pop? Apa yang penting, kami adalah band muzik wanita yang sejati dan kami menyukai apa yang kami perjuangkan.

"Pada masa sama, tidak ada sesiapa pun yang memberitahu untuk melakukan apa yang terbaik dalam hidup kami kerana semua berbeza daripada penyanyi wanita berkumpulan lain. Kami hanya menjadi diri sendiri dan itulah yang sepatutnya berlaku," katanya.

Vanessa berkata, seperti kumpulan baru lain, mereka juga mempunyai strategi tersendiri untuk diterima peminat di Asia.

"Selain konsert jelajah, kami juga menjayakan showcase dan sesi bertemu peminat yang diatur syarikat rakaman untuk mempromosikan album sulung kami ini," katanya.

Secara peribadi, kata Vanessa lagi, penampilan single pertama, If This Is Love juga adalah sesuatu yang menakjubkan bagi kumpulan baru seperti mereka.

"Maklumlah, kami sudah bekerja keras dalam tempoh yang lama untuk memberikan yang terbaik pada album pertama kami. Kini, sampailah masanya, kami menunjukkan kepada semua orang siapakah sebenarnya kami dan apa yang boleh kami lakukan.

"Sebenarnya, kami memang tidak sabar untuk keluar dan menyanyi di hadapan ramai orang. Kami memang sudah bersedia untuk melakukan yang terbaik buat peminat," katanya.

Ditanya sama ada The Saturdays mempunyai persamaan dengan Pussy Cat Doll versi UK, Vanessa menafikannya.

"Memanglah kami mengagumi kumpulan Pussy Cat Doll, tetapi muzik kami pop dan ia berbeza dengan muzik mereka," katanya.

Mengenai keserasian mereka sebagai satu kumpulan, Rochelle berkata, mereka berlima memang mempunyai hubungan yang akrab seperti keluarga yang besar.

"Selain bergabung dalam satu kumpulan, kami juga berkawan baik dan saling memahami antara satu sama lain.

"Justeru, kami tidak pernah berhadapan dengan masalah pergaduhan sesama sendiri kerana kami selesa bekerja dalam satu kumpulan.

"Kami juga sepakat memilih nama The Saturdays kerana Sabtu adalah hari yang paling dinantikan semua orang.

Sabtu juga adalah hari yang terbaik untuk kita berhibur pada hujung minggu," katanya.

Mengenai ketiadaan Una pada sesi temu bual petang itu, Rochelle berkata, dia tidak dapat hadir kerana kurang sihat. "Una tidak sihat bukan kerana cuaca yang panas atau demam sebaliknya kerana dia tidak cukup tidur dan rehat saja. Kami yakin, dia akan kembali pulih seperti biasa selepas berehat.

"Kami juga tidak melihat cuaca panas di di Malaysia sebagai satu masalah yang besar. Sebenarnya, kami lebih suka cuaca yang panas berbanding musim sejuk," katanya.

Sementara itu, kunjungan The Saturdays ke Malaysia untuk menjayakan konsert showcase ini dengan kerjasama Universal Music dan AirAsia selaku penaja. Kumpulan ini diterbangkan dari London ke Kuala Lumpur dengan penerbangan AirAsia X pada 10 Mei lalu.

Selain mini showcase yang berlangsung di Zouk jam 8.30 malam kelmarin, The Saturdays juga akan menjayakan

sesi jelajah dengan kerjasama AirAsia ke Kuala Lumpur, Singapura, Hong Kong, Manila dan Hong Kong pada Julai nanti.

The Saturdays pernah bekerjasama dengan AirAsia sebelum ini iaitu sempena pelancaran pembukaan rasmi penerbangan AirAsia X ke London (Stansted) pada 11 Mac lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: