Assalamualaikum, Terima kasih kerana sudi menjawab soalan saya.
1. Semasa di sekolah adakah kawan-kawan
perasan yang Shila merupakan anak penyanyi ND Lala?
2. Adakah Shila menyertai One In A Million (OIAM) dengan niat hendak popular atau kehendak keluarga ?
3. Bilakah Shila menghasilkan album lagi dan konsep apa yang akan diketengahkan?
4. Siapakah rakan baik Shila dalam bidang seni?
Terima kasih.
* Shuk_Jefrri,
Kluang, Johor.
SHILA
1. Sebenarnya sejak dari dulu lagi memang ramai sudah tahu saya merupakan anak kepada ND Lala. Apabila saya bertukar ke sekolah Melayu dari sekolah Cina, lagi ramai yang mula mengenali saya terutama apabila papa selalu datang ke sekolah menguruskan urusan saya.
2. Kedua-duanya tak benar. Saya masuk OIAM hanyalah kerana saya mahu belajar dengan lebih mendalam lagi. Sebelum ini orang tidak mengetahui saya dengan lebih rapat. Tapi selepas menyertai OIAM barulah orang mula mengenali saya.
3. Album sebenarnya sudah siap dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk dilancarkan sahaja. Buat masa ini album tersebut menggunakan konsep pop dan Shila harap peminat sedia menunggu.
4. Ramai sebenarnya kawan baik saya tapi buat masa ini saya lebih rapat dengan Ayu OIAM.
Mahu popularkan Malaysia ke luar negara
Assalamualaikum Shila. Semoga Sihat di samping keluarga. Saya amat meminati lagu-lagu Shila seperti Memori Tercipta, Bebaskanlah dan Kejar. Di sini saya ada beberapa soalan.
1. Memandangkan Shila telah pergi ke beberapa buah sekolah untuk program Hannah Montana, bagaimana penerimaan peminat terhadap Shila?
2. Apakah kenangan yang tidak akan Shila lupakan di zaman sekolah?
3. Apa matlamat jangka masa panjang Shila?
* Peminat Shila, Selangor.
SHILA
1. Buat masa ini saya selesa apabila dapat bertemu dengan peminat di kebanyakan sekolah. Hampir 90 peratus memberikan respons yang baik apabila saya membuat persembahan. Walaupun jarak umur saya dengan mereka tidak begitu jauh tetapi ia sebenarnya memberikan saya motivasi untuk terus menghargai peminat dengan berjumpa mereka secara terus.
2. Zaman sekolah adalah zaman yang paling menyeronokkan bagi saya. Semua kenangan zaman persekolahan adalah kenangan indah buat saya dan tak mungkin dapat dikecapi lagi pada masa hadapan. Semua memori di alam persekolahan sukar untuk dilupakan.
3. Kalau boleh saya nak lebih berjaya dan berusaha dengan lebih keras pada masa hadapan. Saya juga mahu muzik yang saya perjuangkan diterima oleh orang ramai seterusnya dapat membawa nama saya dan nama negara ke luar negara.
Populariti penting
untuk jadi artis
Hai Shila. Saya harap anda gembira dengan kehidupan anda sebagai
orang popular. Saya ada beberapa soalan dan harap awak sudi menjawabnya.
1. Susah tak bergelar orang
popular? Ye lah, macam-macam perkara yang membataskan anda. Adakah anda
rimas sebagai orang popular?
2. Anda tidak pernah dilanda sebarang gosip yang kurang enak. Bagaimana anda mengawal situasi tersebut?
3. Berkualiti atau populariti? Apa komen anda dalam isu ini. Mana lebih penting?
Terima kasih dan harap anda lebih sukses pada masa hadapan.
* Tajudin Al Habshi, Ipoh, Perak.
SHILA
1. Tidak ada istilah rimas sebenarnya. Kalau nak diikutkan memang saya dah mula dikenali memandangkan saya merupakan anak kepada seorang artis juga. Jadi mungkin sedikit sebanyak saya sudah mengerti situasi dalam bidang seni ini dan apa yang paling penting saya hanya menjaga nama baik diri sendiri, keluarga, syarikat rakaman dan sebagainya.
2. Saya tidak pernah mengawal situasi. Bagi saya perkara yang paling penting ialah jangan sesekali membenarkan perkara yang tidak elok berlaku.
Lagipun saya tidak membawa nama
saya sahaja. Masih banyak lagi insan
lain di belakang saya. Sudah pasti
kena pandai menjaga diri.
3. Kualiti amat penting. Populariti juga penting. Kedua-duanya perlu beriringan untuk menjadi penyanyi yang baik dan dikenali ramai. Kalau ada yang cakap populariti tak penting memang dia bohonglah.
Tumpuan dalam
bidang nyanyian
Assalamualaikum Shila. Saya merupakan peminat anda sejak dahulu lagi dan saya sentiasa mendoakan kesejahteraan anda sampai bila-bila.
1. Apa perancangan anda pada masa akan datang?
2. Ada orang melabelkan anda raja iklan. Apa komen anda?
3. Sampai bila anda mahu terus menyanyi? Tak terfikir nak kembangkan bakat dalam bidang yang lain pula?
Harap anda terus maju jaya.
* Mohd Syahir Halim, Bandar Perda, Peneng.
SHILA
1. Banyak perancangan yang hendak dilaksanakan. Sempena album terbaru yang akan datang ini saya ingin memperluaskan empayar ke Indonesia. Yang lain mungkin saya akan buat bisnes rasanya.
2. Saya bersyukur dengan rezeki yang saya perolehi sekarang. Bukan mudah sebenarnya nak sampai ke tahap begini. Setelah 10 tahun terlibat dalam bidang seni barulah semua ini saya kecapi. Saya tak mahu syok sendiri dan matlamat saya kini untuk bekerja dengan lebih keras lagi.
3. Setakat ini saya lebih suka menumpukan perhatian dalam bidang nyanyian dahulu. Kalau ada masa terluang mungkin saya akan mencuba bidang lain pula selepas ini.
Jangan bandingkan kami
Hai Shila. Apa khabar? Saya harap Shila sentiasa sihat dan terus dimurahkan rezeki. Saya ada beberapa soalan untuk Shila.
1. Shila sudah mempunyai keluarga yang mewah. Kenapa Shila mahu terus menyanyi? Apa yang Shila mahukan sebenarnya?
2. Walaupun mendapat tempat kedua dalam OIAM musim 2, nama Shila lagi popular daripada Ayu. Komen sikit.
3. Sebagai seorang ikon remaja, apa peranan Shila untuk mendidik remaja yang lain ke arah kebaikan?
Sekian.
* Zulhakimi Osman, Hutan Melintang, Perak.
SHILA
1. Keluarga saya bukan mewah sangat seperti orang lain. Saya terlibat dalam bidang nyanyian pun sebab minat yang mendalam terhadap dunia seni. Saya nyanyi bukan untuk menyara keluarga tetapi dah menjadi tanggungjawab seorang anak untuk membantu keluarga.
2. Janganlah nak membandingkan kami berdua. Saya dah lama terlibat dalam bidang ini. Manakala Ayu pula masih lagi baru dalam bidang nyanyian. Ini semua bergantung kepada rezeki masing-masing. Saya juga harap agar kami sama-sama boleh mengecapi apa yang kami idamkan pada masa hadapan.
3. Amat berat untuk saya terima title ikon remaja sebenarnya. Saya masih lagi dalam proses pembelajaran dan title itu memang berat untuk saya terima. Tapi remaja di luar sana boleh mengikut apa sahaja sikap positif saya. Yang tak elok jangan pula diikut ye.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: