ISU selesema babi yang ditakuti oleh semua orang sekarang membuatkan ada yang berbelah bahagi untuk ke luar negara. Bagi yang gemar melancong, mungkin berasa ada sesuatu yang tak lengkap dalam diri mereka.
Tapi ada cara untuk melepaskan gian melancong. Pilih percutian dalam negara antara alternatif yang boleh dilakukan. Itulah saranan anak muda yang bangga dengan negeri kelahirannya, Pahang, Norzamri Mohd. Ghazali.
Penghias ruangan Kacak Bergaya ini juga seorang yang gemar melancong dalam negara kerana memikirkan banyak lagi tempat yang belum dilawati di negara ini.
"Kalau ke Temerloh, Pahang, banyak tempat menarik yang boleh anda lawati, khususnya kepada peminat alam semulajadi. Di Temerloh sendiri ada banyak kedai makanan cara kampung dengan lauk tradisi khususnya ikan patin masak tempoyak.
"Sungai Pahang juga boleh disusuri bagi yang meminati aktiviti lasak berkayak. Bagi yang sukakan gunung, boleh ke Gunung Senyum. Di situ ada Gua Angin, Gua Bulan dan lain-lain pemandangan menarik.
"Bagi yang sukakan hidupan liar boleh ke Deerland di Lanchang. Di situ ada banyak gajah dan rusa. Anda juga boleh memandikan gajah.
"Itu baru sekitar Temerloh, negeri Pahang ini negeri terluas di Semenanjung Malaysia, jadi pastilah banyak tempat menarik untuk dikunjungi," kata Zamri kepada Pancaindera.
Zamri baru tamat belajar peringkat sijil di Politeknik Sultan Azlan Shah (Polisas), Pahang dan akan menyambung ke peringkat diploma pula. Beliau mengambil jurusan kejuruteraan elektronik.
Zamri juga seorang yang pentingkan kesihatan dan sentiasa menggunakan cara betul untuk memastikan tubuhnya sihat dan cergas.
"Saya kerap ke gimnasium. Saya ni kurang minat bersukan, jadi gimnasiumlah tempat saya mengeluarkan peluh. Saya juga suka berenang.
"Saya juga menjaga pemakanan dan memastikan sentiasa makan makanan yang sihat. Saya juga mengawal nafsu dan memastikan tidak makan selepas pukul 8 malam.
"Saya akui nafsu makan memang ada, tapi saya akan melawan nafsu agar tidak tergoda apabila melihat makanan enak di depan mata," jelas Zamri.
Jejaka ini juga menolak amalan diet berlebihan yang menyeksa diri sendiri. Kalau orang yang takut gemuk boleh amalkan makan banyak sayuran dan buah-buahan serta kurangkan makanan berlemak.
Zamri juga meminati dunia peragaan dan berharap dapat menceburi bidang itu suatu hari nanti. Itulah antara sebab beliau sedia menyerikan kolum Kacak Bergaya kali ini.
"Saya harap dapat peluang untuk memperaga suatu hari nanti," katanya.
Zamri juga seorang yang kreatif dan boleh menjahit sendiri jaket untuk digayakan. Beliau tidak mengambil kursus menjahit sebaliknya belajar sendiri dan mewarisi bakat ibunya, seorang tukang jahit di kampung.
"Saya ni kalau nak bagi hadiah kepada sesiapa, saya gubah sendiri bungkusan hadiah agar nampak cantik dan lain daripada kotak hadiah orang lain.
"Seronok apabila kita menghasilkan sendiri sebenarnya. Saya juga selesa apabila memakai jaket yang dijahit sendiri, semestinya fesyen itu tidak ada di mana-mana," jelasnya lagi.
Zamri juga mengikuti perkembangan yang berlaku di sekeliling dan mengakui tersentak apabila membaca kes kematian wanita yang menjadi mangsa ragut oleh mat rempit.
"Saya setuju sangat kalau hukuman ke atas mat rempit yang melakukan kesalahan diberatkan kerana banyak sangat kes membabitkan mereka.
"Saya sendiri menunggang motosikal dan saya sentiasa mematuhi undang-undang untuk keselamatan diri sendiri dan orang lain," katanya.
Dia berharap apabila ada undang-undang yang lebih berat gejala tersebut akan dapat dikurangkan, kalaupun sukar untuk dibendung sepenuhnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: