![]() AIE (tengah) bersama anggota kumpulannya mahu memastikan kumpulan Ghazala dapat memeriahkan industri muzik tempatan. |
Kumpulan Ghazala pertahan irama ghazal
KALAU mahu dibentangkan satu persatu, memang terlalu banyak dugaan dan rintangan berliku yang harus dilalui demi memastikan perjuangan mereka. Itu belum lagi dengan perihal kerenah beberapa buah syarikat rakaman yang memandang sebelah mata usaha kumpulan berasal dari Muar, Johor ini.
Demikian sedikit pengenalan kumpulan Ghazala yang dianggotai lima jejaka yang berumur dari 19 hingga 31 tahun itu. Ditubuhkan sejak pertengahan 2004, semangat dan azam kumpulan yang dianggotai Mohd Nazri Omar, Ishak Baharan, Mohd Fiqry Abdul Rahim, Mohamad Shahzerin Ahmad Subry dan Irman Baharan ini patut dipuji.
Berbakat bermain alat muzik tradisional antara seperti tabla, biola, harmonium dan gambus, setakat ini setiap anggota itu mempunyai kerja sampingan. Namun, apa terjadi keutamaan masih diberikan kepada kumpulan itu. Tawaran yang kunjung tiba daripada syarikat rakaman Warner Music menjadi sinar untuk mereka terus bernafas.
Menurut jurucakap kumpulan ini iaitu Mohd Nazri Omar atau Aie, 31, dengan bantuan dan inisiatif Khairul Anuar Ismail atau lebih dikenali sebagai Anuar Botak, mereka diberi kepercayaan untuk berkongsi bakat yang ada. Anuar Ismail pernah menerbitkan album kumpulan Spoon sekitar 1999 menerusi album Rindu Serindu Rindunya dan Memori Sekuntum Rindu. Malah, Anuar turut menerbitkan album untuk kumpulan orang Asli, Jelmol.
“Kami cukup terhutang budi dengan dia (Anuar Botak). Tanpa bantuan dan kerjasama dia, tak mungkin kami akan berada di tempat sekarang. Album sulung kami berjudul Ghazala Ghazal menjadi pertaruhan dan sudah pun berada di pasaran sejak 19 Februari lalu.
![]() |
| Khairul Anuar atau lebih dikenali sebagai Anuar Botak antara orang penting yang membantu kerjaya Ghazala. |
“Biarpun sudah agak lama di pasaran, album itu hanya dapat dipromosikan pada masa sekarang. Kami harus akur kerana Warner Music mempunyai ramai artis yang harus diberi perhatian. Lagi pun kami turut mengalami masalah pertukaran anggota. Sekejap bertiga, sekejap berlima dan pada akhirnya kami kekal berlima. Keadaan pasaran muzik kita pun tidak menentu.
“Kami mengikat kontrak selama tiga tahun dan setahun lagi sebagai pilihan bersama Warner Music. Kami sudah bersedia untuk memeriahkan industri muzik. Kami yakin dengan kelainan muzik yang diketengahkan. Dengan adunan muzik lama dan moden, konsepnya lebih ringan,” kata Aie sambil memberitahu konsep ghazal moden pilihan mereka jarang dipraktikkan di negara kita.
Hingga ke saat ini, akui mereka peluang disunting Warner Music bagaikan mimpi yang tak pernah berkesudahan. Menyedari begitu susah untuk mereka berada di peringkat sekarang, lalu masih tersimpan perasaan sedar diri di mana bumi dipijak.
Kalau ada yang menganggap mereka hanya ‘budak kampung’ atau pun melabelkan muzik mereka sebagai kampung, akui Aie, terpulang kepada tafsiran sesiapa pun kerana pada akhirnya ia tetap tidak menjadi kudis kepada mereka.
Mereka cuma memohon diberi ruang dan peluang untuk membuktikan keupayaan yang ada. Kata Aie lagi, kalau bukan kita sebagai rakyat Malaysia yang ingin memartabatkan muzik tradisional, siapa lagi yang harus bertindak.
“Semoga muzik yang kami alunkan ini tidak akan mewujudkan sebarang diskriminasi tertentu kepada mana-mana pihak. Muzik tidak pernah ada sempadan atau sebarang kuota, ia bersifat universal. Tapi kalau selepas ini, masih ada stesen radio yang tidak mahu putarkan lagu kami kerana menganggap ia muzik kampung, apa daya kami lagi.
“Sebelum terikat dengan Warner Music, kami pernah berputus asa kerana mahu meyakinkan syarikat rakaman mengenai genre muzik kami. Tapi semua itu tinggal kenangan dan kalau ada modal sendiri memang kami tak akan bergantung harap memohon simpati dan menjaja bakat kami kepada syarikat rakaman,” kata Aie mewakili rakannya yang lain.
Info Ghazala
* Sebelum album ini diedarkan dan terikat dengan Warner Music, Ghazala pernah mempromosi jenama kumpulan mereka di dalam program Selamat Pagi Malaysia dan Malaysia Hari Ini.
* Pernah menjadi tetamu undangan membuat persembahan dalam program Muzik Muzik Separuh Akhir Etnik Kreatif mendendangkan lagu Relaku Pujuk (nyanyian asal Spider) tahun lalu.
* Antara pencapaian membanggakan Ghazala termasuklah Juara Ghazal Remaja di Muar, Johor, Juara Ghazal Remaja Negeri Johor, Naib Juara World Malay Music Festival di Pasir Gudang, Johor, Naib Juara Pertandingan Ghazal di Johor malah pernah mewakili Malaysia ke Uzbekistan for World Cultural Music Festival.
* Single pertama mereka berjudul Fikirkan dan bakal menyusul lagu Pintaku.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: