![]() Stacy |
TEMAN sepejabat Cik Normah baru-baru ini ada bertemu dengan juara Akademi Fantasia musim keenam, Stacy di Balai Berita. Kebetulan dia ada fotografi yang perlu dilakukan, lalu teman Cik Normah pun sempat menegurnya. Lagi pun, dia antara peminat Stacy dan akan terpaku apabila menonton persembahan energetik penyanyi kelahiran Sabah itu.
Mereka sempat berbual bertanyakan perkembangan terbarunya yang sedang diuruskan Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB) berbaki dua tahun lagi. Cik Normah cuma harap pihak AESB akan betul-betul memastikan haluan kerjaya seninya terus berjalan.
Bukan apa, kalau tak diberi perhatian, negara kita akan kehilangan bakat yang betul-betul bagus sepertinya. Cik Normah harap AESB takkan mempersiakan Stacy dan bintang kelahiran program Akademi Fantasia. Iyalah, tak semua bintang yang lahir daripada program itu mampu terus menyerlah dan ada yang terus dilupakan begitu saja.
Baiklah, Cik Normah pun malas nak cakap hal itu. Kawan Cik Normah beritahu, terlanjur dia bertemu Stacy, dia sempat bertanyakan mengenai AF7 yang baru saja berakhir. Seperti Cik Normah, Stacy pun bersetuju mengatakan pemenang tempat ketiga, Akim paling menampakkan transformasi.
Rupa-rupanya Stacy ada kisah yang ingin dikongsi mengenai jejaka yang sedang berada di Indonesia itu kerana terbabit dengan sebuah produksi. Menurut kawan Cik Normah, Stacy yang dijemput membuat persembahan pada malam final AF7, turut hadir ketika sesi raptai. Kata Stacy, dia cukup suka mendengar suara jantan Akim.
Akim yang menyanyikan lagu terbaru Faizal Tahir, Bencinta cukup membuai perasaan ketika sesi raptai. Sampai naik dan kembang bulu roma Stacy. Namun, menjelang ke konsert final, Stacy berkata Akim rupa-rupanya mempunyai masalah suara sehingga menjejaskan sedikit prestasi persembahannya pada konsert akhir Sabtu lalu.
Tak apalah, Cik Normah masih terhibur dengan persembahan Akim dan yakin ramai yang bersetuju kalau Cik Normah katakan Akim boleh pergi jauh seperti apa yang sedang dilalui Stacy kalau kena gayanya. Jangan lupa diri dan berangan sudahlah!

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: