Rombongan pemenang Anugerah Skrin 2008 timba ilmu di Hollywood
BARANGKALI jumlah penyertaan lebih kecil berbanding tahun terdahulu, namun keterujaan menimba pengalaman serta pengetahuan untuk mempertingkatkan mutu industri hiburan tempatan menjadi agenda utama rombongan pemenang Anugerah Skrin 2008 ke Hollywood.
Perancangan awal pemergian ke pusat industri hiburan dunia yang direncanakan akhir Januari lalu tetapi terpaksa ditangguhkan hingga Mei atas beberapa sebab ternyata tidak merubah semangat yang ada dalam diri hampir 30 ahli rombongan.
Biarpun dibelenggu kebimbangan berikutan penularan virus N1H1, namun ia tidak merencatkan hasrat yang tertunda itu selepas mendapatkan nasihat pakar perubatan.
Diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan, rombongan berlepas dari Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, jam 9.40 pagi semalam menuju ke destinasi impian setiap anak seni itu sehingga 29 Mei nanti.
Ia adalah kali kelima berturut-turut stesen televisyen nombor satu negara, TV3 membawa semua pemenang Anugerah Skrin ke luar negara, satu hadiah yang disifatkan artis tempatan sebagai penghargaan bermakna atas kesungguhan mereka mengangkat martabat dunia seni.
Rombongan itu juga disertai pengarah, penulis skrip, wakil media, beberapa kru penerbitan serta kakitangan TV3 yang banyak memainkan peranan penting ketika penganjuran Anugerah Skrin 2008 lalu.
Farid berkata, pemergian ke Hollywood bukan sebuah percutian kosong sebaliknya memberi pendedahan serta motivasi kepada penggiat industri tempatan untuk memacu karya mereka ke persada antarabangsa.
Peluang menimba pengetahuan itu kata Farid, boleh diisi menerusi siri lawatan keempat studio utama yang menjadi tunjang kepada kemantapan industri perfileman dan televisyen Hollywood.
Sembilan hari di sana, rombongan dibawa melawat studio seperti Warner Brothers, Sony Pictures dan Universal Pictures untuk mendalami pelbagai aspek penting yang memberi manfaat kepada penerbitan tempatan.
Seperkara yang menarik mengenai lawatan terbaru ini, rombongan juga dibawa menyaksikan rakaman program bual bicara popular, The Tonight Show With Joe Leno.
Rancangan itu melakar sejarah dalam industri televisyen Amerika Syarikat sebagai program hiburan ketiga paling lama bersiaran dan Joe Leno mengendalikannya sejak 1992.
“Ahli rombongan juga dibawa meneroka pelbagai lokasi menarik lain di sekitar Hollywood seperti Rodeo Drive, Beverly Hills yang terkenal dengan himpunan jenama fesyen terkenal dunia,” katanya.”
Rodeo Drive juga menjadi lokasi penggambaran filem Pretty Woman yang melonjakkan nama Julia Roberts dalam produksi yang menggandingkannya dengan aktor, Richard Gere pada 1990.
Rombongan turut dibawa melawat Kodak Theatre di Hollywood and Highland yang menempatkan kompleks perniagaan, makanan dan hiburan yang dibuka secara rasmi sejak 9 November 2001.
Kodak Theatre menjadi lokasi rasmi penganjuran acara tahunan, Anugerah Academy (Oscar) yang pertama kali diadakan di situ pada Mac 2002, selain program realiti popular, American Idol.
Ia juga menjadi pilihan untuk penganjuran acara kesenian seperti konsert dan persembahan pentas. Antara artis yang pernah mengadakan persembahan di Kodak Theatre ialah Christina Aguilera, Celine Dion, Dixie Chicks, Mariah Carey, Barry Manilow dan Prince.
Antara barisan artis yang menyertai rombongan ini ialah Normah Damanhuri, Aznil Nawawi dan Mr Os serta kru penerbitan TV3 dan rangkaian lain di bawah naungan Media Prima Berhad yang bakal membuat liputan menarik pelbagai aktiviti di sana.
“Biarpun jumlah penyertaan tahun ini lebih kecil kerana sebahagian besar pemenang terikat dengan komitmen lain yang sudah dipersetujui sepanjang tarikh lawatan, namun TV3 mengharapkan ia akan memberi manfaat kepada semua untuk membangunkan lagi industri hiburan kita,” kata Eksekutif Penjenamaan TV3, Shaffique Ahmad Zehnun.
Shaffique berkata, tidak lengkap kunjungan jika tidak mengunjungi lokasi hebat seperti Camarillo Premium Outlets yang menawarkan pelbagai pilihan barangan berjenama pada harga berpatutan.
Menempatkan lebih 160 ruang perniagaan, Camarillo menawarkan pilihan seperti pakaian, kasut, barangan kulit, aksesori dan perhiasan kediaman pada harga berpatutan.
“Ia antara lokasi yang menjadi kemestian untuk dikunjungi setiap kali ke Los Angeles,” katanya membangkitkan keterujaan kepada ahli rombongan terutama mereka yang pertama kali menjejakkan kaki di situ.
Juga dilawati kata Shaffique, The Grove iaitu kompleks perniagaan dan hiburan yang menjadi sebahagian daripada kawasan bersejarah Farmer’s Market yang dibangunkan dengan sentuhan moden.
The Grove dan Farmer’s Market dihubungkan oleh sistem transit yang dijana menggunakan kuasa elektrik turut menempatkan kompleks beli belah terkenal, Nordstrom dilengkapi jenama popular seperti Banana Republic, Michael Kors, The Gap, J Crew, Nike, Abercrombie & Fitch dan Pacific Sunwear.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: