Wednesday, May 20, 2009

Superhero dalam Bio-Nik


SELEPAS berkarya menerusi muzik dan menghasilkan filem sendiri, trio adik-beradik KRU, Norman Abdul Halim, Yusry dan Edry kembali bergabung tenaga menghasilkan produk baru untuk pasaran hiburan tempatan.

Kini mereka mampu berbangga apabila muncul dengan drama bersiri terbaru sebanyak 26 episod, Bio-Nik yang akan mula disiarkan di TV3 setiap Isnin, jam jam 9 malam menerusi slot Aksi sejak 18 Mei lalu.

Sebagaimana kehebatan superhero Cicakman yang ditampilkan menerusi filem, KRU juga mahu mengetengahkan superhero baru untuk drama sulung mereka kali ini.

Namun, idea KRU tetap berbeza dengan superhero ciptaan sebelumnya apabila drama ini mengisahkan lelaki iaitu Nik yang koma selepas terbabit dengan kemalangan jalan raya, 'dihidupkan' kembali menggunakan mesin sokongan.

Berbeza dengan pesakit lain, Nik menjadi bahan uji bapanya sendiri menerusi satu program komputer yang kemudian memberi kuasa luar biasa padanya seperti mampu berlari laju dan melompat tinggi. Drama ini dijayakan Kamal Adli di samping Intan Ladyana, Fizzo Omar, Shaz Jazle, Tam dan Amanda.

Penerbit Eksekutif drama ini, Norman berkata superhero drama ini tidak dapat lari daripada persamaan superhero lain yang pernah ditonton di TV seperti Six Million Dollar Man, Bionik Woman dan Robocop.

Bagaimanapun, katanya, persoalan yang ingin dikupas untuk superhero kali ini pertembungan antara kecanggihan teknologi dengan hukum agama.

"Penggambaran drama ini dijalankan selama empat bulan dan dikendalikan dua pengarah, Azhari Zain dan Aidil Fitri Mohd Yunus. Bagi menambah tarikan pada superhero, drama ini juga menggunakan teknik imejan komputer (CGI).

"Idea asal drama ini sebenarnya adalah Badang tetapi kisah itu dijadikan novel sebelum ini. Hingga perbincangan dilakukan bersama TV3, kami mendapat idea baru menghasilkan Bio-Nik. Jika diikutkan, karyawan Barat juga mencedok idea orang lain untuk menghasilkan filem mahupun drama mereka.

"Kami sendiri berusaha menjadikan superhero seperti Bio-Nik berkonsepkan tempatan. Drama ini bukan hanya memberi tarikan pada watak utama, tetapi perkembangan sub plot antara watak lain. Tujuan kami menggunakan dua pengarah adalah mahu kerja menyiapkan drama ini menjimatkan masa.



"Apabila seorang pengarah berada di lokasi penggambaran, pengarah kedua boleh terus melakukan kerja suntingan untuk adegan yang sudah dirakam.



"Dari aspek teknikal, kedua-dua pengarah ini memberikan cara berbeza daripada hasil kerja mereka. Namun, ia bukan masalah sebaliknya penonton akan senang faham mengikut plot cerita drama ini," katanya.

Penggunaan CGI pula membabitkan beberapa adegan seperti kemalangan jalan raya dan kuasa Nik selain turut menampilkan pelakon aksi lagak ngeri. Drama diterbitkan produksi KRU Studios ini disiarkan untuk dua musim iaitu 13 episod untuk satu musim.

Mengenai pemilihan pelakon, Norman berkata, KRU berhasrat menampilkan bakat baru seperti Kamal sebagai tarikan pada drama mereka. Ia bertujuan agar persepsi penonton tidak terikat dengan lakonan pelakon sedia ada dan mahu mempelbagaikan bakat baru mewarnai bidang lakonan.

"Mungkin untuk drama atau filem akan datang, kami ingin menggunakan pelakon baru yang boleh diketengahkan. Walaupun ia memberi risiko pada sambutan penonton, kami yakin jika pelakon baru itu berbakat tidak mustahil untuk meyakinkan penonton.

"Buat masa ini, kami akan lihat sambutan drama ini dulu. Kami mensasarkan drama ini mampu mencapai jumlah penonton 3.2 juta seperti yang pernah dicatatkan menerusi drama untuk slot Aksi sebelum ini. Jika drama ini berjaya, mungkin kami akan tampilkan versi filem untuk projek seterusnya," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: