Wednesday, May 20, 2009

Interaksi: Cetus minat jadi polis


BERMULA sebagai pelakon menerusi filem Jiwa Remaja arahan Datuk Jamil Sulong pada 1975, kini Datuk Yusof Haslam mencipta nama sebagai pengarah dan produser filem serta drama melalui syarikat produksinya, Skop Productions Sdn Bhd.

Hingga kini, beliau sudah membintangi lebih 20 filem antaranya Detik 12 Malam (1979), Ribut Barat dan Jejak Bertapak (1981), Penentuan dan Bukit Kepong (1982), Di Ambang Kasih (1984), Permintaan Terakhir dan Wira Angkasa (1987) dan Bayangan Maut (1990).

Atas lakonan yang berkesan kepada penonton, beliau pernah meraih anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia Keempat (1983) menerusi filem Mekanik. Untuk filem arahannya, Sembilu (1994) yang dijayakan Awie dan Erra Fazira sebagai pelakon utama berjaya mencatat kutipan box office RM6 juta.

Di sebalik kejayaan filem, beliau juga menunjukkan kehebatan menerusi penerbitan drama TV. Antaranya Remang-Remang Kotaraya pada 1985 diikuti Roda-Roda Kotaraya, Gerak Khas, Sembilu, Janji Diana dan Fara Syakira.

Gerak Khas juga meraih kejayaan besar apabila menerima anugerah sijil pengiktirafan dari The Malaysia Book Of Records (MBR) sebagai drama kepolisan terpanjang yang pernah disiarkan di televisyen. Anugerah itu diterima pada satu majlis sambutan sempena 10 tahun Gerak Khas di Padang Semarak, Angkasapuri Kuala Lumpur pada 15 Mei lalu.

Drama itu juga sebenarnya banyak memberi cabaran kepada Yusof terutama apabila ada pelakon drama itu terbabit dalam perkara yang turut mencemarkan imej mengenai kecekapan polis membanteras jenayah.

Yusof yang dilahirkan pada 24 April 1954, kini banyak memberi tumpuan pada kerja belakang tabir. Yusof juga sedia berkongsi kejayaan drama Gerak Khas dengan wartawan Harian Metro, ELRAFAEI SAPI (ahmadelrafaei@hmetro.com.my) menemu bual beliau di pejabatnya baru-baru ini.



SOALAN (S): Bagaimana idea penerbitan drama ini bermula?

JAWAPAN (J): Pada 1985, saya mula menerbitkan drama Remang-Remang Kotaraya dikuti Roda-Roda Kotaraya (1998) yang turut mengisahkan tugas polis terhadap masyarakat. Selepas itu, RTM memberi idea untuk menghasilkan drama baru yang masih bercorak kepolisan menggantikan drama sebelum ini. Hingga idea drama Gerak Khas diwujudkan, RTM memaklumkan konsep drama baru ini lebih luas pada skop penceritaan.



Siaran pertamanya pada 5 April 1999. Dalam tempoh 10 tahun usia drama ini, 530 episod sudah diterbitkan. Bersama kejayaan drama ini yang mencatat episod paling panjang yang pernah disiarkan di TV, drama ini juga pernah meraih anugerah Drama Bersiri Terbaik pada Anugerah Seri Angkasa (2001).


S: Apa komen anda dengan kejayaan drama Gerak Khas bertahan sejak 10 tahun lalu?


J: Saya sendiri sebenarnya tidak menyangka drama ini mampu bertahan hingga 10 tahun. Lebih bermakna, kejayaan drama ini dapat dilihat pada tahun pertama hingga 2001 apabila menduduki carta nombor satu antara drama terbaik daripada semua stesen TV ketika itu.

Pernah suatu ketika, drama saya yang lain seperti Sembilu menyaingi Gerak Khas dan antara dua drama ini saling menduduki kedudukan pertama dan kedua. Pada saya, kejayaan drama ini disimpulkan dari satu perjalanan yang panjang. Sejak mula diterbitkan, pelbagai cabaran ditempuh apatah lagi saya sendiri perlu menyiapkan episod baru untuk disiarkan setiap minggu. Boleh dikatakan, setiap hari saya dan kru produksi drama ini bersengkang mata siang dan malam bekerja, cuma bercuti pada Aidilfitri.

Untuk mengisi slot drama ini pada setiap minggu bukan perkara mudah. Semua skrip dan video terlebih dulu perlu dihantar ke Bukit Aman. Pihak PDRM sendiri memberi garis panduan untuk penerbitan drama ini. Bagaimanapun, itu tidak mengekang kreativiti saya dalam menjadikan drama ini menarik ditonton. Hingga kini, drama ini mendapat respons positif daripada penonton termasuk pegawai polis yang menyatakan drama ini adalah realiti kehidupan yang berlaku.



S: Selain aspek hiburan, apakah yang ingin disampaikan dalam drama ini?

J: Drama ini diterjemahkan sebagai satu pendedahan kepada masyarakat mengenai peranan dan kehebatan polis dalam membanteras jenayah. Apa yang ingin dikongsi, polis berkemampuan untuk bertindak menyelesaikan apa jua kes jenayah yang berlaku sama ada kes kecil hingga besar.

Berdasarkan kes yang pernah dikendalikan polis, ia dipaparkan semula menerusi drama ini. Sepanjang 10 tahun, pelbagai kes pernah dijadikan plot penceritaan termasuk pengganas bawah tanah dan kes tidak bermoral seperti gay. Ada ketika idea untuk setiap episod hadir secara spontan berdasarkan situasi semasa mahupun berita jenayah di akhbar dan maklumat daripada pegawai polis.

Meskipun kisah sosial remaja kerap ditampilkan sebagai plot penceritaan, ia turut menarik perhatian penonton. Pernah episod mengenai remaja punk meraih rating 2 juta penonton. Secara keseluruhan, drama ini mencatat rating antara 1.5 hingga 2 juta.



S: Apakah cabaran yang ditempuh sepanjang penggambaran drama ini?

J: Tidak dinafikan proses penggambaran drama ini menempuh pelbagai cabaran dan mengundang risiko tinggi. Pemilihan plot penceritaan yang sesuai perlu difikirkan pada peringkat awal selain saya juga berdepan masalah membabitkan pelakon. Untuk konsep drama TV, jika ada cerita menarik untuk disampaikan kepada penonton, tetapi pelakon tidak bagus, ia turut menjejaskan sambutan.

Ketika drama ini ditayangkan, kemunculan drama lain khusus dari stesen swasta memberi saingan yang kuat. Dalam memberi tarikan pada penonton, drama ini menampilkan pelakon baru seperti Rozita Che Wan dan Dynas. Terus terang saya katakan, isteri saya (Datin Fatimah Ismail) adalah pengkritik nombor satu drama saya. Pelbagai pandangan diberikan termasuk menyumbang idea untuk pembaharuan drama ini.



S: Bagaimana pula dengan masalah yang dihadapi?

J: Dari aspek produksi, masalah membabitkan pelakon tidak dapat dielakkan. Apabila ada pelakon yang sakit, saya perlu fikirkan jalan penyelesaian dengan cepat. Mungkin pelakon jemputan ditampilkan, tetapi jika pelakon utama yang sakit, ia memberikan masalah besar kepada produksi hingga menjejaskan penggambaran.

Buat masa ini, drama ini diarahkan beberapa pengarah antaranya anak saya, Faizal, Majid Salleh dan C Kumaresan. Dulu, Yusof Kelana dan A Galak juga pernah mengarah drama ini. Saya pula lebih fokus pada penulisan skrip dan hanya sesekali turun ke lokasi penggambaran.

Memberikan cabaran, tidak semua episod dianggap 'kuat' pada penonton kerana untuk mendapatkan cerita menarik setiap minggu, ia bukan mudah. Namun, ada peristiwa membabitkan pelakon terjadi ketika penggambaran drama ini. Contohnya pelakon Abby Abadi dengan Norman Hakim pernah bergaduh di tepi jalan ketika penggambaran berlangsung. Abby juga pernah merajuk untuk tarik diri daripada drama ini. Walaupun dia merajuk, saya tetap terima dia untuk kembali berlakon.

Apapun, drama ini masih berbangga dengan kekuatan pelakon utama yang menjadi tunjang kejayaan drama ini seperti Abby, Norman, A Galak, AC Mizal, Farid Amirul, Zulkifli Ismail dan Zambri. Pada awal penerbitan drama ini, A Galak pernah menyatakan kepada saya, dia yakin drama ini mampu bertahan hingga 10 tahun dan kini ia terbukti.

Sepanjang pengalaman saya bersama drama ini, ada segelintir pihak tidak senang dengan cerita yang dipaparkan seperti golongan pondan yang marah kepada saya bila memaparkan kisah kehidupan mereka. Sebenarnya, saya bukan memburukkan mereka, tetapi setiap apa yang dipaparkan adalah realiti dan mempunyai pengajaran di sebaliknya.

Begitu juga dengan kisah sosial remaja seperti Mat Rempit. Niat saya bukan mahu mengeksploitasi mereka, tetapi mahu menunjukkan gejala itu amat serius dan perlu diberi perhatian serta mencari jalan penyelesaian.

Setiap episod yang ditayangkan di TV mendapat kelulusan daripada PDRM. Saya pernah selitkan dalam dialog, tidak kira sesiapa mahupun berpangkat Datuk, polis tetap akan ambil tindakan jika individu itu didapati bersalah. Dalam kehidupan peribadi, anak saya iaitu Syamsul pernah ditangkap polis suatu ketika dulu di satu kelab malam. Namun, saya biarkan perkara itu disiasat polis dan jika bersalah, dia juga boleh dikenakan tindakan undang-undang.



S: Sampai bila Gerak Khas akan disiarkan?

J: Saya tidak tahu bila drama ini akan berakhir. Sebagai produser, saya akan terus menghasilkan sambungan drama ini jika ada sambutan daripada penonton dan diterima RTM. Seperti yang saya katakan, walaupun usaha mengisi cerita untuk setiap episod bukan mudah, tetapi saya berusaha menampilkan cerita baru yang lebih menarik untuk disajikan kepada penonton.

Cerita sebegini tidak semesti menggambarkan polis keluar pistol untuk menembak penjenayah, tetapi bagaimana mereka memainkan peranan dalam masyarakat. Turut memberi tarikan, konflik yang berlaku antara watak sama ada watak anggota polis atau watak berkaitan dengannya.

Dari awal tayangan hingga kini, drama ini mendapat sambutan positif penonton. Menariknya, ada penonton yang menyatakan minat untuk menyertai polis khusus pasukan Gerak Khas. Impak drama ini turut mengubah persepsi masyarakat terhadap polis yang sebelum ini menganggap tindakan polis terlalu 'keras' sebaliknya mereka sering mendekatkan diri dengan masyarakat untuk menghulurkan bantuan.

Menerusi drama ini, tiga filem pernah dihasilkan iaitu Gerak Khas The Movie yang berjaya meraih kutipan RM4.5 juta diikuti sekuel kedua dan ketiga sebanyak RM3 juta. Untuk menghasilkan filem baru, saya berpandangan ia kurang relevan kerana drama ini sudah 10 tahun. Namun, saya ada berbincang dengan Syamsul dan dia menyatakan minat untuk menghasilkan filem bercorak polis.

Saya tidak menghalang hasratnya itu, tetapi saya katakan, ceritanya perlu berbeza daripada drama Gerak Khas. Mungkin jika filem baru itu berjaya, ia boleh dijadikan drama bersiri TV yang baru.



S: Apakah perubahan yang ingin ditampilkan dalam episod baru akan datang?

J: Dalam banyak watak yang muncul dalam drama ini, watak Sarjan Hashim yang digelar Sarjan Misai lakonan A Galak akan dipencenkan. Sebelum ini, watak ini memegang pangkat sarjan mejar (SM) kemudian dikembangkan apabila dinaikkan pangkat sebagai sub inspektor (SI).

Biarpun watak ini akan pencen, saya tidak matikan watak. Sejak awal drama ini, saya melihat watak itu mempunyai ramai peminat. Apa yang ingin saya sampaikan, selepas watak ini pencen, akan muncul watak baru iaitu anaknya yang baru pulang dari belajar di luar negara berminat menyertai pasukan polis.

Untuk A Galak pula, dia akan menyambung kerja sebagai pemandu teksi. Sebenarnya, idea watak pemandu teksi ini memainkan peranan penting kepada plot penceritaan kerana pelbagai kes boleh dikaitkan berlaku membabitkan pemandu teksi. Bagi saya, kemunculan A Galak dalam drama ini masih penting.

Jika dikenang kembali, persahabatan antara kami terjalin sekian lama. Sejak drama Remang-Remang Kotaraya dulu, ketika itu saya memainkan watak inspektor manakala dia menjadi sarjan. Begitu juga Gerak Khas, dia masih sesuai dengan pangkat sarjan.

Untuk episod akan datang, saya berusaha tingkatkan mutu persembahan dari aspek skrip dengan cerita baru dan menampilkan pelakon baru untuk menggantikan watak pelakon lama. Apapun, saya ingin merakam penghargaan pada PDRM dan RTM atas kerjasama untuk menerbitkan drama ini selama 10 tahun. Saya berharap drama ini terus meraih sambutan positif penonton.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: