Tuesday, May 19, 2009

Soseh Soseh: Perlekeh karya orang lain


SEJAK kebelakangan ini, SS lihat pawagam kita kembali meriah apabila filem Melayu mendapat sambutan penonton. Antara 10 filem tempatan yang ditayangkan tahun ini, kutipan tertinggi dicatatkan menerusi filem Geng: Pengembaraan Bermula dengan kutipan RM6.18 juta.

Tidak kurang hebatnya, Bohsia...Jangan Pilih Jalan Hitam di tempat kedua dengan kutipan RM3.85 juta manakala filem lain mencatat angka kurang memberangsangkan.

SS tumpang bangga dengan pencapaian dua filem ini apatah lagi kemunculan dua pengarah baru ini memberikan sentuhan berbeza pada konsep filem tempatan yang pernah kita tonton sebelum ini.

Sebut mengenai pengarah baru, SS tertarik berkongsi satu cerita pengarah baru yang makin aktif berkarya. Maksud SS, semangatnya tidak luntur biarpun filem pertamanya mencatat kutipan sangat rendah.

SS berkesempatan bertemu pengarah ini yang tampil dengan filem keduanya baru-baru ini. Mulanya, SS tidak meletakkan sebarang tanggapan negatif kepadanya, tetapi selepas menonton filem barunya itu, baru SS kenal perangai sebenar pengarah ini.

Dia bukanlah pengarah yang jujur berkarya sebaliknya mempunyai perangai busuk hati dengan kejayaan pengarah lain. SS katakan begitu kerana ketika sidang media, pengarah ini cuba memanipulasi fikiran penonton apabila berkata, dia mahu menyatukan kaum dalam filemnya.

SS tidak mempunyai masalah soal itu jika benar apa yang dilakukannya menuju ke arah kebaikan, tetapi apabila ucapannya mula menyentuh filem lain yang berjaya di pasaran dikatakan tidak bagus, itu sudah melampau.

Katanya, beberapa filem tempatan yang cenderung mengikut filem Barat perlu dihentikan. Walaupun sebenarnya filem itu membawa mesej pengajaran sebaliknya pengarah itu tidak boleh terima kenyataan itu.

Malah, dengan sifat bongkak dalam diri, pengarah itu turut memperkecilkan kemenangan pengarah baru di Festival Filem Malaysia. Bukan sekadar memperkecil, pengarah itu sempat berkata filem dia lebih bagus dan dia layak menang anugerah itu.

Terkejut juga SS mendengar kenyataan pengarah itu. Namun, apabila dikaitkan dengan mutu filem keduanya kali ini, memang tidak dinafikan pengarah ini terlebih syok sendiri. Dari mula hingga akhir, banyak kelemahan yang SS lihat sama ada plot cerita, skrip mahupun lakonan.



Biarpun SS tidak mempunyai pengalaman mengarah, tetapi sebagai penonton, SS juga tahu menilai filem itu menarik atau tidak untuk ditonton. SS bukan bersikap berat sebelah, tetapi beberapa penonton yang berada di situ juga menyatakan pandangan sama.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: