| FILEM Bohsia terus rancak menggegarkan pawagam pada minggu kedua tayangannya. SS difahamkan, filem ini mempunyai garapan cerita menarik dan cukup dekat dengan jiwa penonton Malaysia. |
Malah mereka yang terbabit dalam perlumbaan haram seperti Mat Rempit dan Minah Rempit menyukai filem arahan pengarah muda, Shamsul Yusuf ini. Tidak hairanlah mengapa kutipan filem ini berjaya mencecah RM3 juta dalam tempoh lebih seminggu ditayangkan.
Namun, dalam pada ramai yang memuji filem ini, tidak kurang juga meluahkan rasa kurang senang mereka selepas menyaksikan filem itu. SS difahamkan, kalangan penonton berpendidikan tinggi melabel filem ini sebagai karya mencemarkan maruah bangsa Melayu.
Mereka meluahkan rasa kurang senang itu kepada pengurus panggung di beberapa lokasi di ibu kota. Kata mereka, filem Bohsia memaparkan kelemahan dalam institusi masyarakat Melayu dengan jelas apabila kebanyakan babak menunjukkan pergaulan bebas remaja yang bertentangan agama dan budaya.
Bahkan, mereka sangat tidak setuju dengan babak 'anak bunuh bapa' yang menjadi penutup cerita Bohsia. Walaupun, pembunuhan itu tidak disengajakan dan tujuan melindungi dirogol bapa sendiri, namun mereka berpendapat babak itu keterlaluan dan penyelesaiannya perlu ditonjolkan dengan cara lebih bijak.
Golongan ini berpendapat, apabila sesuatu perkara negatif yang tidak pernah berlaku dipaparkan dalam panggung atau TV ia boleh mempengaruhi penonton untuk melakukan perkara sama.
Kata mereka, bangsa Melayu terkenal dengan sifat sopan santun, berbudi bahasa dan menghormati golongan tua. Sebaliknya, dalam Bohsia menurut pandangan mereka orang Melayu serba-serbi tidak baik. Lebih dikesalkan kerana filem ini tidak paparkan pengajaran kepada penonton atas salah laku mereka itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: