Thursday, May 7, 2009

Pilih Kasih tak takut saingan


SELAKU pencetus idea dan pelopor kepada program realiti TV terbaru, Pilih Kasih, sudah pasti Pengarah Urusan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd yang juga pelakon terkenal, Rosyam Nor bekerja keras untuk memastikan projek sulungnya itu menjadi kenyataan.

Malah, kata Rosyam, 42, yang sudah dua dekad berkecimpung sebagai anak seni, dia juga sudah bersedia berhadapan dengan apa saja cabaran untuk merealisasikan Pilih Kasih seperti diimpikannya.

"Saya tampil dengan idea untuk menghasilkan program realiti mencari pelakon ini awal tahun lalu kerana melihat industri muzik tanah air yang semakin parah dan ramai penyanyi beralih arah menjadi pelakon.

"Pada masa sama, objektif program ini untuk mencari pelapis pelakon berkaliber pada masa depan. Justeru, kami tetap meneruskan perancangan menerbitkan program realiti ini kerana ia dirancang sebelum krisis ekonomi global.

"Laluan kami menghasilkan program ini menjadi mudah apabila mendapat sokongan padu daripada penaja Telekom Malaysia (TM) dan kerjasama daripada RTM sendiri," katanya.

Rosyam juga menafikan tanggapan segelintir pihak mengenai Pilih Kasih seolah-olah cuba 'membunuh' program realiti TV Anak Wayang terbitan Astro yang bakal bersiaran tidak lama lagi.

Katanya, tidak timbul Pilih Kasih meniru Anak Wayang kerana pihaknya tampil dengan idea buat program realiti itu terlebih dulu sebelum Astro tampil dengan programnya.

"Sebenarnya, Pilih Kasih dan Anak Wayang juga mempunyai konsep berbeza kerana Anak Wayang adalah projek drama dan mencari pelakon sedangkan Pilih Kasih adalah akademi yang melatih mereka menjadi pelakon bagus," katanya.

Pada masa sama, Rosyam juga tidak bimbang dengan persaingan yang akan dihadapi Pilih Kasih dengan Anak Wayang apabila dua program itu bersiaran nanti.

"Bagi saya, persaingan sesuatu yang sihat kerana tanpa persaingan bagaimana industri seni boleh melahirkan program lebih berkualiti pada masa depan?



"Saya juga mempunyai strategi tersendiri untuk memastikan kejayaan program itu. Tidak dinafikan program ini membabitkan bajet besar mencecah jutaan ringgit, tetapi ia berjaya direalisasikan dengan sokongan penaja TM dan kerjasama RTM sendiri.



"Jika nak dibandingkan dengan Astro, memang kami syarikat kecil, tetapi ia bukan penghalang untuk memastikan kejayaan program ini nanti. Kami juga akan meningkatkan aspek promosi termasuk kerjasama daripada 34 stesen radio RTM," katanya.

Pilih Kasih bersandarkan nama besar seperti pengarah Bade Azmi, Erma Fatima, Along Kamaruddin, Amy Maziah, Rohani Yusoff dan bekas penerbit program Akademi Fantasia musim pertama hingga empat dan Raja Lawak musim pertama, Adi Shamsul sebagai tenaga pengajar akademi Pilih Kasih.

"Saya juga dibantu Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah sebagai panel pengkritik. Lebih memberansangkan, sambutan hangat orang ramai di lokasi uji bakat di serata tanah air membabitkan lokasi di Johor Bahru, Seremban, Kota Bharu, Kuantan, Kota Kinabalu, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur sejak 11 April lalu," katanya.

Bagaimanapun, kata Rosyam, pihaknya terpaksa membatalkan sesi uji bakat di Kuching, Sarawak yang dijaduakan pada 9 dan 10 Mei ini atas sebab tidak dapat dielakkan.

"Bukannya, saya bersikap pilih kasih kerana tidak dapat mengadakan uji bakat di sana sebaliknya ada perkara yang tidak dapat dielakkan pada saat akhir. Saya juga meminta maaf atas apa yang berlaku.

"Apapun, kami mengadakan semula uji bakat di Plaza Alam Sentral, Shah Alam berdasarkan sambutan 2,000 pengunjung yang membanjiri lokasi berkenaan pada 3 Mei lalu.

"Kami juga hanya sempat mengadakan uji bakat membabitkan 300 peserta saja ketika itu. Seramai 1,200 peserta sudah berdaftar sebelum ini diminta datang semula ke uji bakat yang akan diadakan pada 9 dan 10 Mei ini di lokasi sama bermula jam 10 pagi. Pendaftaran uji bakat juga dibuka kepada orang ramai yang berminat untuk menjayakan uji bakat itu," katanya.

Program realiti Pilih Kasih membabitkan 12 episod ini akan disiarkan secara langsung menerusi TV2, bermula 6 Jun ini, jam 8.30 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: