| KEGEMBIRAAN berganda buat penyandang juara pertandingan Pengacara Jemputan Nona, Wan Faheda Wan Hazmanor atau Faheda apabila bakal mengakhiri zaman daranya pertengahan tahun ini. |
Berita ini disampaikan orang kampung Faheda sendiri kepada SS sebaik saja dia memenangi pertandingan itu Ahad lalu.
Begitulah kalau sudah jadi orang popular dan dikenali, segala perkara berkaitan hal peribadi pasti menjadi bahan bualan masyarakat dan kadang-kadang ia pergi jauh lagi apabila ada yang mahu berkongsi cerita di media.
Kata sumber itu, gadis manis berusia 25 tahun itu akan bernikah dengan kekasih hatinya yang sudah dikenali sewaktu sama-sama menuntut di Australia dulu pertengahan tahun ini.
Seperti diketahui umum, Faheda adalah graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal Universiti Of Sydney, Australia dan kini bertugas di bahagian pengurusan di tanah kelahirannya, Terengganu Equestrian Resort, Kuala Terengganu, Terengganu.
Khabarnya segala persiapan sudah dilakukan termasuk menempah baju pengantin. Kata sumber lagi, Faheda memilih untuk mengadakan majlis bertemakan persandingan dalam taman.
SS sendiri tumpang gembira dengan berita disampaikan orang kampung Faheda dan pastinya nanti mereka akan berpesta sakan. Kemenangan Faheda tempoh hari rasanya juga atas rezeki hendak membina masjid.
Cuma apa yang menjadi persoalan SS sekarang, adakah selepas ini Faheda akan menerima tawaran bergelar pengacara. Jika ya bermakna bakal suami Faheda kenalah bersiap sedia untuk berhadapan dengan dunia glamor dan populariti.
Selalunya orang yang tidak biasa dengan dunia selebriti ini akan berasa canggung dan terkena kejutan budaya. Cuma nasihat SS, selepas mendirikan rumah tangga nanti dan andai Faheda memilih untuk bergelar personaliti televisyen, dia perlu kuat dalam mengimbangi dunia glamor dan alam rumah tangga.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: