| PENONTON seronok dan terhibur melihat pelbagai aksi berbahaya dalam filem dan drama yang ditonjolkan pelakon. Namun, bukan semua lagak bahaya itu dilakukan mereka kerana untuk melakukannya ia memerlukan kemahiran dan latihan bertahun-tahun. |
Justeru untuk menjayakan semua aksi berbahaya itu, kehadiran stuntman (pelagak ngeri) amat diperlukan. Mohamad Razib Salimin, 50, antara stuntman yang sangat berpengalaman. Bekas anggota polis itu sudah 17 tahun terbabit dalam bidang ini.
Pada mulanya dia hanya melakukan aksi lagak ngeri itu secara sambilan, tetapi sejak 1997 dia berundur daripada dari perkhidmatan polis dan menumpukan masa dan perhatiannya kepada bidang yang amat dicintainya itu. Pernah mengalami kecederaan teruk, tetapi itu tidak pernah melunturkan semangatnya.
Kini selain aktif memenuhi undangan pengarah filem, Razib juga membuka kelas stuntman yang turut melatih dua anaknya yang mungkin bakal menggantikan tempatnya suatu hari nanti.
Menurut Razib, tanggungjawabnya dalam filem Kapoww agak besar kerana aksi lagak ngeri ini juga mempunyai beberapa tahap mengikut keperluan sesebuah filem itu.
"Oleh kerana Kapoww adalah filem superhero, aksi yang perlu ditonjolkan mesti yang melampau dan melebihi keupayaan orang biasa. Jika orang biasa menendang perginya tak jauh, tetapi apabila superhero membuat tendangan ia boleh menjangkau sehingga dua kilometer.
"Cabaran untuk membuat aksi dalam filem ini sangat besar dan memerlukan banyak peralatan terutama kabel kerana superhero juga akan terbang dan terjun dari tempat tinggi.
"Persiapan untuk menjayakan filem ini dilakukan tiga empat bulan sebelum penggambaran bermula. Sebelum penggambaran, saya tengok berapa kerja stunt yang hendak dilakukan yang biasanya saya bahagikan kepada tiga bahagian iaitu piroteknik (menggunakan bahan letupan), menggunakan wayar dan kreografi membabitkan gerak tubuh ketika berlawan.
"Mereka yang berkecimpung dalam dunia stuntman ini perlu melalui pelbagai peringkat daripada senang kepada yang lebih sukar. Bukan sesuka buat kerana ia hanya akan mengundang bahaya. Saya sekarang sudah sampai peringkat melakukan aksi yang ekstrem.
"Untuk menjadi stuntman yang berjaya, mesti berdisiplin dan mempunyai ketahanan mental serta fizikal yang tinggi. Selain itu, saya juka akan membuat penilaian daripada sudut adakah orang itu boleh menjadi stuntman. Ada juga yang bermula dengan menjadi kru kepada stuntman kemudian menjadi stuntman selepas ada sedikit pengalaman.
"Sekarang saya melatih anak kedua dan ketiga (Mohd Ariff dan Mohd Hafidz) menjadi stuntman kerana mereka berminat," katanya.
| |
| |
Sepanjang menjadi stuntman, Radzi ada petua tertentu. Jelasnya, sebelum keluar rumah jika terasa lelangitnya kebas dia tidak akan melakukan sebarang aksi pada hari itu.
"Mengikut pengalaman jika saya buat juga, pasti sesuatu akan berlaku termasuk mengalami kecederaan. Begitu juga apabila sejak pagi jika rasa tidak sedap hati, saya bercuti hari itu. Kalau saya berdegil juga untuk melakukannya, nahaslah jawabnya kerana kerja bahaya seperti ini memerlukan konsentrasi yang cukup tinggi," katanya.
Sebelum ini Razib pernah melakukan aksi ngeri dalam filem Cicak Man 1, Dia Datang, Jangan Tegur, Sepi, Maut, Kala Malam Bulan Mengambang dan Stem.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: