Saturday, May 23, 2009

Serba boleh




Ciara mengikut jejak Beyonce hasil tiga album solo

HANYA kerana pernah menonton persembahan kumpulan trio Destiny's Child ketika cuti daripada jadual persekolahan, bintang jelita berkulit hitam, Ciara mula menyimpan niat untuk mengejar cita-cita dalam kerjayanya kini.

Semuanya kini sudah menjadi kenyataan dan bukan sekadar mimpi kosong yang berakhir selepas terjaga daripada tidur.

Pernah cuba untuk tampil secara berkumpulan seperti kumpulan yang turut dianggotai Beyonce Knowles itu, Ciara sebenarnya pernah menyertai sebuah kumpulan dipanggil Hearsay termasuk menulis lagu.

Namun mengharap ia berpanjangan, semuanya berkubur apabila mula ada percanggahan minda.

Nak dijadikan cerita, selepas meninggalkan kumpulan itu, langkahnya dirahmati apabila bertemu seorang penerbit bernama Jazze Pha. Melalui bantuan penerbit itu dan selepas tamat pengajian di Georgia pada 2003, bermulalah perjalanan seni Ciara apabila menandatangani kontrak bersama label LaFace Records di Los Angeles.

CIARA semakin mendapat perhatian selepas berkolaborasi dengan Justin Timberlake menerusi lagu Love Sex Magic yang dimuatkan di dalam album ketiganya.

Hingga kini sudah ada tiga album studio dimilikinya bermula daripada album Goodies (2004), Ciara: The Evolution (2006) dan terbaru, Fantasy Ride (2009). Pertaruhan ketiganya itu menjadikan lagu Never Ever sebagai single pertama dan seterusnya kolaborasinya bersama Justin Timberlake menerusi single kedua, Love Sex Magic. Malah ada gosip mula menular mengatakan wujud hubungan intim antara Ciara dan Justin.

"Tak saya nafikan memang kami begitu serasi di set penggambaran klip video lagu itu. Demi menaikkan mood lagu itu, memang kami harus terbuka dalam soal bermesra. Apa yang kami lakukan hanya sekadar suka-suka dan main-main, untuk memberi variasi kepada klip video terbabit.

"Semestinya kalau dalam sesebuah penggambaran pasti akan ada babak yang diulang kalau ia tidak memenuhi kehendak pengarah. Demikian apa yang terjadi kepada saya dan dia hingga perlu melakukannya berulang kali. Sekarang saya sudah mula rasa janggal apabila ada suara sinis bertanya bagaimana rasanya menjilat kulitnya," kata Ciara.

Mahu berduet dengan Janet Jackson


ALBUMNYA yang terdahulu sudah terjual dengan begitu berjaya, memanjat carta lagu terkemuka dan terus diiktiraf penggemar muzik yang cukup mengagumi bakatnya menerusi beberapa deretan anugerah. Berbakat dan cantik, semua sudah cukup lengkap dalam memastikan hayat dan warisannya terus berkembang.

Bukan saja bergelar penyanyi, penulis lagu dan penari, malah gadis berasal dari Atlanta, Georgia, Amerika Syarikat ini sudah mengukuhkan statusnya sebagai peragawati, pengarah muzik video, pelakon dan tidak lama lagi bakal bergelar pereka fesyen. Hasrat memiliki label fesyen sendiri itu sekali gus mengikuti jejak penyanyi Beyonce Knowles, Jennifer Lopez dan Jessica Simpson.

"Besar kemungkinan gaya fesyen yang bermain di fikiran saya itu nanti lebih seksi dan melucukan. Malah ada gayanya itu sudah pernah gayakan sebelum ini menerusi album terdahulu. Dalam gambaran saya konsep pakaian itu seperti karakter comel kanak-kanak yang memakai seluar dalam.

"Ia pasti ditertawakan dan saya mungkin akan menamakannya dengan label Fly Girl," kata Ciara yang mengikat kontrak dengan agensi modeling Wilhemina Models.

Begitu memuja idolanya, Janet Jackson, bintang berbakat besar bernama penuh Ciara Princess Harris ini begitu berharap semoga impiannya untuk berduet dengan adik kepada Michael Jackson itu akan tercapai suatu hari nanti. Kata Ciara, sedari dulu lagi, dia membesar dengan alunan muzik penyanyi kegemarannya itu.

"Itulah impian saya yang masih terpendam selama ini. Janet memang penyanyi yang sangat hebat dan apa terjadi, kita pasti tak akan melupakan sumbangannya terhadap aliran muzik Amerika.

"Dia memang ikon sejati. Dialah penyanyi yang saya tak pernah jemu mendengar suaranya di sisi abang tersayang ketika kanak-kanak," katanya yang bakal menyambut hari lahir yang ke-24 pada 25 Oktober nanti.

Profil Ciara

Nama sebenar: Ciara Princess Harris

Umur: 23

Tarikh lahir: 25 Oktober 1985

Asal: Atlanta, Georgia, Amerika Syarikat

Genre muzik: R&B, Pop, Hip Hop, Dance

Pekerjaan: Penyanyi, penulis lagu, penerbit rakaman, penari, pelakon, model dan pengarah muzik video.

Laman sesawang: www.ciaraworld.com



Info

  • Pernah berada di bawah naungan label syarikat LaFace, Zomba dan kini Sony BMG Music

  • Sepatutnya album terbarunya Fantasy Ride turut memuatkan kolaborasi penyanyi Chris Brown, namun atas alasan ingin mengekalkan konsep muzik sebuah lagu berjudul Turntables yang sedia ada, penyanyi itu menolak untuk berduet dengan penyanyi itu.

  • Pernah berdating dengan rapper, Bow Wow pada 2005, namun hubungan itu sudah berakhir pada April 2006
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: