Saturday, May 23, 2009

Nasib baik ada watak baru



BEN STILLER bergandingan dengan Amy Adams dalam pengembaraan terbaru di kompleks muzium.

Night at the Museum 2 kali ini lebih mendatar

BAGI peminat yang pernah digeletek dengan hebatnya oleh Night at the Museum kira-kira tiga tahun lalu, sudah tentu mereka tidak sabar untuk berseronok sekali lagi bersama watak Lawrence "Larry" Daley lakonan aktor komedi terkenal, Ben Stiller, apabila filem kedua, Night at the Museum 2: Battle of the Smithsonian, menjengah pawagam.

Di Malaysia, filem yang dilakonkan Stiller bersama Amy Adams, Owen Wilson, Hank Azaria, Christopher Guest, Alain Chabat, Robin Williams dan ramai lagi pelakon lain itu mula diputarkan di pawagam mulai 21 Mei lalu. Diarahkan oleh Shawn Levy, filem ini diterbitkannya bersama-sama Chris Columbus dan Michael Barnathan.

Masih mengekalkan muzium sebagai lokasi utama, filem kedua ini mengetengahkan kisah nasib bahan pameran di Muzium Sejarah Semula Jadi, New York, yang akan ditutup untuk kerja menaik taraf dan ubah suai. Bahan pameran yang sudah pun menjadi rakan baik kepada Larry kini dipindahkan ke tempat simpanan kerajaan persekutuan di kompleks Muzium Washington yang terkenal itu.

Di Institusi Smithsonian itu, si koboi Jedediah Smith tiba-tiba menghubungi Larry untuk memaklumkan bahaya yang kini dihadapinya bersama rakan-rakan lain. Bimbang dengan keadaan mereka di Washington, Larry bergegas ke kompleks muzium terbesar dunia yang menyimpan lebih 136 juta bahan pameran dalam koleksinya itu.

Setelah berjaya memasuki kawasan simpanan bahan pameran, Larry mendapati dirinya kini berdepan dengan Firaun jahat, Kahmunrah, yang mahu menguasai dunia dengan menghidupkan bala tenteranya menggunakan artifak ajaib dari Mesir, Baru Bersurat Akmenrah. Dalam usahanya itu, Kahmunrah dibantu oleh Al Capone, Ivan the Terrible dan Napoleon Bonaparte.

Larry pula mendapatkan pertolongan juruterbang wanita pertama yang berjaya menyeberangi Laut Atlantik secara solo, Amelia Earhart, serta rakan lamanya seperti Jedediah, Octavius, Sacagawea dan Attila the Hun, untuk memastikan Kahmunrah gagal dalam misi jahat berkenaan.

Menghasilkan filem kedua selepas filem asal mendapat sambutan hebat, selalunya hadir dengan risiko tersendiri. Sama ada ia berjaya meneruskan minat penonton untuk mengikuti kisah dipaparkan (seperti yang dilakukan siri filem X-Men dan Spider-Man), atau edisi kedua itu tenggelam dek skrip, pembikinan serta lakonan yang kurang berkesan, seterusnya gagal mencetuskan keghairahan sebagaimana filem pertama (siri filem Speed).

Night at the Museum 2 pula bagi saya, berada di tengah-tengah. Pada ketika kewujudan watak baru seperti Kahmunrah, Amelia, Napoleon, Ivan dan Al Capone menghadirkan gelak ketawa (begitu juga dengan sotong kurita gergasi), cerita yang dipersembahkan bagai tidak membawa sebarang pembaharuan.

Jika tidak kerana wujudnya watak baru itu, sukar sekali rasanya untuk filem ini terus menghiburkan peminat. Ada saatnya penonton akan terkial-kial mencari jawapan apabila tiba-tiba suasana menjadi begitu suram dan agak membosankan.

Terima kasih kepada Hank Azaria yang menghidupkan watak Firaun jahat. Lakonannya memang memecahkan perut. Dalam kebengisan wajahnya, tiba-tiba terkeluar dialog kelakar. Detik itulah banyak membantu mengekalkan minat penonton terus mengikuti perjalanan cerita.

Begitu juga dengan Amy Adams yang membawakan watak Amelia Earhart. Selain mewujudkan sedikit elemen cinta antara dirinya dengan Larry, watak Amelia sungguh memikat dengan gelagatnya yang manja tetapi tegas. Amy memberikan lakonan terpuji sebagai wanita era 20-an dan 30-an yang pernah mencipta sejarah terbang menyeberangi lautan secara bersendirian.

Oh ya, jika menonton filem ini nanti, jangan lupa saksikan kemunculan Jonas bersaudara sebagai tiga patung bidadari kanak-kanak yang sungguh comel.

Carta pecah panggung:

1 - Angels & Demons

2 - Star Trek

3 - X-Men Origins: Wolverine

4 - Push

5 - Sarvam

6 - I Love You, Man

7 - Power Kids

8 - Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam

9 - Fireball

10 - Sell Out

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: