
KORINNA MOON BLOODGOOD sering beraksi dalam filem genre aksi. Pemilik tubuh seumpama atlet yang memiliki suara serak itu mengakui sifat fizikal dirinya itu telah mengehadkan dirinya terbabit dalam genre lain. Namun, aktres berusia 34 tahun itu sendiri sebenarnya menyukai cabaran dalam filem aksi.
Terlibat dalam filem Terminator Salvation telah membuatkan dirinya menemui cabaran ekstrem. Turut beraksi dalam filem Street Fighter: The Legend of Chun-Li, Bloodgood yang berdarah kacukan Ireland, Belanda dan Korea dipilih untuk karakter Blair Williams dalam siri keempat francais Terminator itu.
Diarahkan oleh McG, Terminator Salvation, menampilkan Christian Bale sebagai John Connor dan Sam Worthington sebagai Marcus Wright. Filem itu juga memperkenalkan versi muda hero dalam filem pertamanya, Kyle Reese yang dilakonkan oleh Anton Yelchin.
Menjadi filem prekuel dan sekali gus sekuel kepada ketiga-tiga filem Terminator sebelum ini, Terminator Salvation berlatar belakangkan tahun 2018 dan memberi fokus kepada peperangan antara manusia dan Skynet.
Menariknya, filem itu membuang format sebelum dan hanya berkembang di kalangan Terminator dan pelbagai watak lain yang mengembara merentasi masa untuk membunuh atau melindungi John Connor sebelum Hari Penilaian (Judgement Day) tiba.

Ini kerana hanya John Connor sahaja yang mampu melihat kedatangan Hari Penilaian itu yang mampu mengubah nasib manusia di muka bumi.
Bagi mendalami filem yang menelan bajet AS$200 juta (RM640 juta), ikuti petikan temu bual bersama Bloodgood yang disediakan oleh pihak Buena Vista Columbia TriStar Films (M) mengenai filem yang bakal ditayangkan di pawagam tempatan pada 28 Mei ini.
Apakah perasaan anda bergandingan dengan Christian Bale?
BLOODGOOD: Sangat menyeronokkan. Dia seorang yang luar biasa. Apabila anda memikirkan watak John Connor, tiada sesiapa yang boleh menjayakan peranan itu selain daripada dia. Christian seorang kelakar, sopan dan mengambil berat terhadap orang lain. Saya amat menghormati dia. Apa yang menjadikan dia begitu hebat adalah kebolehan dia menyeimbangkan sifat kelelakiannya.
Dia boleh menjadi hero maskulin tetapi pada masa yang sama sensitif, rendah hati tanpa perasaan angkuh dan bertanggungjawab. Itu yang saya suka mengenai Christian Bale.
Bagaimana pula dengan Sam Worthington?
Dia seorang aktor mengagumkan dan komited. Menawan dan maskulin. Dia percaya bahawa seorang lelaki boleh menyelamatkan dunia tetapi dia sebenarnya mudah dilukai dan jujur. Saya tidak rasa dia seperti berlakon dalam watak lakonannya itu. Karakter itu seperti dicipta untuknya. Tidak dilupakan juga dia seorang yang kacak dan seksi. Semua wanita ingin mendampinginya.
Adakah filem ini mempunyai tema? Bagaimana anda menggambarkan filem ini?
Ia adalah mengenai survival manusia. Ketika keadaan dunia menjadi teruk, apa yang utama adalah tempat perlindungan dan makanan. Filem ini menunjukkan reaksi manusia apabila berada dalam keadaan terdesak, sama ada akan menjadi pihak jahat atau baik.
Adakah anda akan memilih kebaikan daripada kejahatan? Bolehkan anda mengorbankan keperluan diri untuk membantu yang lain? Watak lakonan Sam telah melakukan banyak perkara jahat tetapi dia adalah lelaki baik. Cuma dia tidak tahu bahawa dia adalah insan baik.
![]() |
| KORINNA merealisasikan karakter wanita yang teguh atas kesungguhan untuk terus hidup dalam Terminator Salvation. |
Dia percaya bahawa dia sepatutnya mati. Dia percaya dia telah melakukan perkara jahat. Dia percaya dia tidak boleh diselamatkan. Maka, saya rasa filem ini adalah mengenai kehendak manusia. Apabila keadaan menjadi teruk, apa peranan anda? Adakah anda akan membantu atau hanya mempertahankan diri sendiri?
Watak Blair Williams yang dilakonkan anda pastinya satu karakter yang hebat bagi wanita. Anda pastinya seronok menjayakan watak wanita berkuasa yang menggunakan senapang?
Menyeronokkan tetapi ada kalanya orang ramai mempunyai tanggapan bahawa watak aksi hanya mempunyai satu dimensi dan itu adalah tidak benar. Saya tidak tahu mengapa saya tidak boleh menjadi wanita 'gagah' dalam sebuah filem dan pada masa yang sama sensitif. Jika anda merupakan wanita kuat, anda juga boleh mempunyai perasaan.
Blair seorang yang teguh kerana kesungguhan dia untuk terus hidup. Dia merupakan seseorang yang mempunyai hati mulia tetapi tetap menonjolkan perasaan pada sesetengah masa. Dia menunjukkan bahawa untuk menjadi berani bukannya bermaksud anda perlu menjadi seorang yang pentingkan diri.
![]() |
| TERMINATOR SALVATION menampilkan fenomena manusia yang dalam keadaan tertekan dan di persimpangan dilema antara menjadi baik atau jahat. |
Bagaimana pula dengan diri anda sendiri? Dari mana datangnya kekuatan diri?
Kombinasi daripada pelbagai benda dan rasanya banyak datang daripada zaman kanak-kanak saya. Keluarga saya tidak kaya semasa saya kecil dulu. Ketika itu, kami menetap di Orange Country, California, satu kawasan perumahan orang kaya. Dalam keadaan yang miskin, saya belajar untuk 'berlawan'. Saya perlu belajar untuk mempertahankan diri.
Saya rasa saya sebenarnya seorang yang kuat kerana memiliki personaliti 'garang'. Ibu, ayah dan kakak saya juga memiliki perwatakan sama. Rasanya saya mempunyai banyak elemen maskulin dalam DNA saya. Maka, saya tidak mempunyai masalah untuk bersifat kelelakian. Saya sukakan wanita yang maskulin dan pada masa yang sama bersifat kewanitaan.
Saat-saat yang tidak dapat dilupakan semasa penggambaran atau babak yang istimewa bagi anda?
Rasanya babak Christian dan Sam bertarung. Apabila anda melihat dua lelaki berkuasa bersua muka, anda tidak tahu Sam berpihak kepada pihak mana. Babak itu memberikan tekanan dan penonton akan berasa teruja.
Bolehkah anda bercerita secara spesifik mengenai satu babak aksi yang mencabar dalam filem ini?
Pengalaman menjalani penggambaran beberapa sepanjang minggu pertama amat menakjubkan. Kami berlari, melompat, jatuh dan menembak. Ada satu babak semasa saya ditembak dan Sam perlu memegang saya sebelum kereta meletup. Saya pernah melakukan banyak aksi sebelum ini tetapi kali ini, ia amat menakutkan. Ada masanya saya dan Sam perlu melompat tetapi kami tidak dapat melihat kerana asap tebal.
Saya juga berasa tidak begitu selesa pada beberapa babak. Ada satu babak saya telah diikat dengan wayar dan diangkat setinggi seratus kaki. Ketika itu, saya merakamkan babak melompat dari kapal terbang dan kemudian payung terjun saya tergantung pada wayar sambil memegang tangan Sam. Jari saya terluka tetapi saya perlu memastikan semuanya berjalan seperti dirancang.
![]() |
| |
Saya juga tidak boleh kelihatan seperti berada dalam kesakitan dan ia amat mencabar terutama dalam keadaan cuaca panas. Ia amat menakutkan untuk berlari dengan dikelilingi bom walaupun itu adalah bom palsu. Namun, itu satu pengalaman menggembirakan untuk melakukan aksi fizikal mencabar.
Karier anda kini berada pada tahap memberangsangkan. Apakah perancangan masa depan anda?
Secara jujur, saya lebih tertarik dengan filem aksi dan juga menyukai sains fiksyen. Lagipun saya memiliki suara serak dan wajah 'statik'. Jadi saya tidak boleh berpura-pura menjadi Kate Winslet. Namun, saya tidak mahu karier saya menjadi klise atau stereotaip.
Impian saya secara peribadi dan profesional adalah menjadi pelakon lebih baik dan kalau boleh berlakon dalam filem komedi. Saya juga teringin untuk berlakon dalam filem romantik komedi. Saya mengagumi Seth Rogen, Adam Sandler dan Ricky Gervais.
Selain daripada itu, saya juga sukakan filem seram dan fenomena ghaib. The Exorcist adalah salah satu kegemaran saya termasuk produk arahan Woody Allen. Saya juga ingin melakukan watak-watak dramatik bersama Johnny Depp. Saya mahu mencuba pelbagai genre tanpa dikawal oleh industri Hollywood serta memiliki karier yang bertahan lama.



No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: