Friday, May 8, 2009

Sepah seronok masuk konti

Ke udara setiap Sabtu dan Ahad bermula jam 8 pagi di radio Era

TANGGAL 6 Mac lalu, bermula satu lagi episod di dalam lipatan sejarah tiga pemuda kampung ini apabila berjaya menambat hati masyarakat apabila dinobatkan sebagai Raja Lawak musim ketiga.

Sejak itu, perubahan mula dirasai tiga sahabat ini yang menggelarkan diri mereka sebagai Sepah. Mereka yang dianggotai Shahmira Muhamad atau Shuib, 24, Mohd Nadzri Zainal Abidin (Jed) 23, dan Mohd Noor Murad (Mamat) 23 tidak lagi membuang masa dengan melepak sesama mereka di kampung kerana jadual mereka kini padat diisi dengan pelbagai aktiviti seni yang berfaedah.

Daripada artis pelawak yang banyak mendapat jemputan ke majlis tertentu, Sepah kini bergelar pelakon selepas terbabit dalam beberapa produksi drama oleh pengarah terkenal.

Menurut Jed, tawaran dalam bidang lakonan diterima sebaik berakhirnya program Raja Lawak Mac lalu.

“Sebaik diumumkan Juara Raja Lawak lagi kami mendapat tawaran beberapa produksi drama. Alhamdulillah ini adalah rezeki yang sama-sama kami usahakan. Semua yang berlaku tidak pernah kami angan-angankan selama ini. Daripada suka-suka akhirnya kami memiliki kerjaya sendiri,” katanya yang akan memulakan dua lagi penggambaran telemovie sempena hari raya tahun ini iaitu Alahai Si Bujang Sepah dan Lemang Sepah.

Mereka yang baru saja selesai menjalani penggambaran drama komedi berjudul Tok Ketua Kampung Batang Berjuntai yang akan disiarkan menerusi Astro Ria sebanyak 26 episod turut saja selesai menjalani program Kisah Sepah yang disiarkan menerusi Astro Ria sebanyak lapan episod.

Menurut Mamat, tidak pernah selama ini dirinya termimpi untuk bergelar pelawak lebih lagi menjadi pelakon.

“Semuanya sudah tertulis buat kami dan saya bersyukur dengan segalanya yang kami terima. Buat masa ini banyak lagi yang kami harus belajar kerana kami memasuki dalam bidang seni ini tanpa asas dan ilmu yang cukup.

“Bagaimanapun kami bersyukur kerana ramai sahabat dalam bidang lakonan ini tidak lokek mengajar kami apa yang harus kami lakukan dan sebagai orang baru kami harus menunjukkan komitmen yang tinggi untuk membantu industri seni kita,” katanya.

Berlawak sudah berlakon pun sudah, kini satu lagi pengalaman seni yang baru diceburi mereka apabila stesen radio Era FM meyakini kebolehan mereka untuk diserap menjadi penyampai radio stesen itu.

Bermula 2 Mac lalu, mereka kini akhirnya bergelar penyampai radio. Sudah tentu gelagat lawak spontan mereka di pentas akan dibawa sama ke dalam konti.

Menurut Shuib, untuk berlawak di pentas tidak sama dengan berlawak di konti radio namun mereka harus meyakinkan pihak stesen yang mereka mampu untuk melaksanakan tugas yang diberikan.

“Kami sangat bersyukur dengan pemberian rezeki yang diturunkan dari Yang Maha Esa, kami akan membuktikan yang kami mampu melakukan dengan yang terbaik.

“Pihak pengurusan mempercayai bakat kami dan mereka tidak membataskan kreativiti kami dengan memberi kebebasan untuk kami melakukan apa saja sebagai penyampai radio.

“Walaupun kami hanya diberi ke udara setiap Sabtu dan Ahad bermula jam 8 pagi namun itu cukup memadai untuk kami mempelajari sesuatu bidang baru buat kami. Selain itu juga, kami juga diberi kepercayaan untuk mengambil segmen Aznil dan Din Beramboi sekiranya mereka bercuti.

“Alangkah besarnya penghargaan mereka kerana tempat otai dalam bidang pengacara radio bakal kami ambil sekiranya mereka bercuti,” katanya yang mengharapkan sokongan pendengar untuk membantu kerjaya baru mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: