Wan Faheda berkongsi detik mencabar apabila Chef Wan tukar resipi pada saat akhir
SETIAP dugaan yang ditempuhi dengan penuh kesabaran akan dibayar dengan kesenangan. Mungkin itulah yang diterima Wan Faheda Wan Hazmanor (Faheda), 25, apabila dinobatkan sebagai pemenang program Pesona Nona musim ketiga baru-baru ini.
Menurutnya, jika dikenang kembali situasi yang terpaksa dihadapi beberapa jam sebelum pertandingan akhir yang disiarkan secara langsung dari Hotel Palace Of The Golden Horses, Faheda tidak sama sekali menyangka akan menjadi juara program yang disiarkan TV3 itu.
“Ini semuanya sudah tertulis dan ditakdirkan rezeki itu menjadi milik saya. Apa pun yang berlaku sebelum itu menjadi kenangan indah buat saya dan bersyukur kerana dugaan itu saya dapat hadapi dengan tenang walaupun pada mulanya ada sedikit rasa seperti mahu menarik diri.
“Situasinya berlaku apabila setiap peserta diminta melakukan tugasan sebagai pengacara dengan tajuk yang bebas. Saya memilih untuk menemuramah Chef Wan dengan resipi kambing kuzi.
“Segala persiapan dari mendapatkan bahan mengenai khasiat kambing kuzi, membuat skrip dan menghafal sudah saya aturkan sejak awal, maklumlah orang yang ingin saya temu ramah itu bukannya calang orang dan saya tahu kredibiliti Chef Wan serta tidak mahu saya nampak bodoh ketika menemuramahnya.
“Jam sudah menunjukkan jam 9.45 malam dan saya sudah bersiap untuk masuk tidur, hanya beberapa jam saja lagi siaran langsung program itu akan bermula. Sebelum masuk tidur saya diberitahu Chef Wan terpaksa menukar resipi kambing kuzi itu kepada ayam Morroco,” katanya.
“Hanya Tuhan saja yang mengetahuinya bagaimana paniknya saya ketika itu. Saya terpaksa batalkan niat saya untuk tidur awal dan gagahkan juga untuk mendapatkan internet untuk mencari bahan ayam Morroco.
“Saya terus turun ke lobi hotel untuk menggunakan internet dan mendapatkan bahan yang dirasakan perlu. Saya terpaksa menghafal semua bahan itu sehingga jam dua pagi sebelum masuk tidur kerana kepenatan,” katanya.
Kejayaan graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal Universiti Of Sydney, Australia, yang bertugas di bahagian pengurusan Terengganu Equestrian Resort, itu sekali gus menewaskan empat calon hebat lain.
Mereka adalah, Herleena Rizalpahlavy, 23, yang menduduki tempat kedua dan Nurul Anida Ahmad Fadzil, 23, (ketiga) termasuk Nur Shaznida Hassan, 23 dan Rini Mohd Arshad, 24.
Dengan kemenangan itu, Faheda membawa pulang set barangan kemas tajaan Rafflesia bernilai RM50,000, baucar fabrik Jakel (RM10,000), wang tunai sumbangan TV3 (RM5,000), piala sumbangan Langkawiicrystaal dan hamper barangan Safi.
Selain itu Faheda turut diumumkan sebagai pemenang anugerah khas Pesona Anggun yang menggayakan pakaian gaun polos warna biru lembut dan hitam rekaan Hazwani Othman.
Manakala, pemenang tempat kedua pula menerima set barangan kemas RM30,000, baucar fabrik Jakel (RM7,000), wang tunai sumbangan TV3 (RM3,000), piala sumbangan Langkawiicrystaal serta hamper barangan Safi.
Sementara, Anida membawa pulang set barangan kemas RM20,000, baucar fabrik Jakel (RM5,000), wang tunai sumbangan TV3 (RM1,000), piala sumbangan Langkawiicrystaal serta hamper barangan Safi.
Penerbitnya, Syarida Shariff berkata, Pesona Nona yang diadakan dua tahun sekali bertujuan mencungkil bakat wanita yang lengkap dengan pakej diperlukan.
“Pencarian Pesona Nona diadakan dua tahun sekali bertujuan mencungkil bakat pengacaraan untuk diserapkan kepada program khusus untuk wanita.
“Bukan senang untuk mencari pakej wanita yang diperlukan seperti bijak pandai, cantik, aktif, periang, dan memiliki sifat kewanitaan yang sejati, sebab itu kita jalankan dua tahun sekali.
“Pemilihan Faheda seperti sudah diramalkan memandangkan sepanjang empat bulan program ini berlangsungnya, Faheda sudah dinilai daripada semua produksi sebanyak 50 peratus bagi setiap cabaran yang harus dilalui sebelum ini dan 50 peratus lagi dinilai secara langsung oleh tenaga pengajar seperti Datuk Yusof Haslam, Nurul Syukor, Winnie Quah, Zainal Abidin Ismail, Nurulfarahin Jamsari dan Mazidul Akmal Sidek,” katanya yang masih belum menentukan sama ada Fahena bakal mengacara program itu selepas ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: