
Ketika ditemui di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur baru-baru ini, Ramlah berkongsi perasaan gembira kerana masih mampu bertahan dalam bidang seni tanah air meskipun penyanyi baru silih berganti. Apabila ditanya rahsia, dia tidak lokek berkongsi. Menurut Ramlah, untuk terus memikat dia memastikan lagu dan imej yang dipersembahkan mampu diterima generasi hari ini. Hasilnya, biarpun nama hanya sesekali terpapar di dada media tetapi tawaran persembahan untuknya boleh dikatakan tidak putus-putus.
“Saya bersyukur kerana masih diingati biarpun kali terakhir mengeluarkan album (Sekeping Cinta, Sehampar Janji) kira-kira 10 tahun lalu. Jika dipanggil menyanyi saya biasanya diminta membawa dua lagu wajib iaitu Ketentuan dan Kau Kunci Cintaku,” ungkap juara Bintang RTM 1985 ini.
Dengan penuh bangga, dia turut berkongsi cerita bahawa album terbarunya dijangka keluar awal Jun nanti. Album yang memuatkan ciptaan komposer terkenal seperti Azlan Abu Hasan, Aidit Alfian, Fauzi Marzuki, Sharon Paul, M Nasir dan ramai lagi mempertaruhkan irama pop tradisional yang sesuai dengan vokalnya.
Berganding dengan Nabil
Pada 16 Mei ini, Ramlah ditemani Nabil (Raja Lawak 2) terpilih untuk membuat persembahan sempena Sambutan Hari Ibu dan Bapa anjuran Restoran Seri Melayu. Pemilihan mereka dianggap sesuai dengan majlis yang diadakan bagi meraikan ibu bapa pengunjung restoran ini. Jika Ramlah mampu menghiburkan pengunjung dengan suara merdunya, Nabil pula menjadi hos yang bakal menggamatkan suasana dengan lawak spontan.
“Tidak dapat dinafikan kolaborasi antara orang lama dengan pendatang baru yang sedang popular juga salah satu cara bijak untuk memikat hati peminat. Tapi tak tahulah macam mana agaknya (majlis) itu nanti. Sewaktu sidang media pun saya dah tak mampu nak menahan diri daripada tergelak dengan telatahnya,” ujar Ramlah yang sering mengekek apabila disakat oleh Nabil.
Seolah-olah mengerti perasaan serba salah pihak media, Ramlah tersenyum sambil menjawab secara bersahaja saat ditanya berkaitan cahaya mata. Ujarnya, dia belum terfikir untuk mengambil anak angkat buat masa ini kerana mahu menunggu cahaya mata sendiri.
“Sudah tentulah setiap pasangan yang berkahwin mengimpikan zuriat. Tapi saya tidak pernah terkilan kerana belum diberi rezeki hingga ke hari ini. Terus terang, saya bersyukur kerana berasa begitu. Kalau sebaliknya, tentu saya terasa hati setiap kali ditanya. Apa yang menjadi pegangan saya, kalau pun kita sudah bersedia tapi tetap tak dianugerahkan anak tentu ada hikmahnya. Hanya tuhan sahaja yang tahu apa terbaik untuk kita,” bicaranya sambil tersenyum.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: