SHAH ALAM – Kewujudan laman web 'Komuniti Gay Melayu' yang boleh diakses dengan begitu mudah melalui capaian Internet mencerminkan keruntuhan akhlak di kalangan pemuda Melayu.
Laman web yang tidak bermoral ini menyediakan interaksi sosial untuk komuniti gay khusus bagi pemuda Melayu yang mengamalkan gaya hidup seks sejenis.
'Komuniti Gay Melayu' yang baru sahaja dilancarkan tahun ini disertai seramai 6,184 ahli yang majoritinya terdiri daripada bangsa Melayu.
Malah, laman ini juga menubuhkan beberapa kumpulan atau kelab untuk mewujudkan komuniti gay di setiap negeri seperti Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.
Laman ini cuba menambat perhatian pelayar dengan mengutarakan topik-topik hangat pada forum dan perbincangan mereka seperti pengalaman sebagai seorang gay, panduan untuk mencari teman lelaki serta bermacam-macam lagi topik menjijikkan yang terarah kepada hubungan seks sejenis ini.
Tidak cukup dengan itu, laman web ini turut menyediakan pautan video serta gambar-gambar aksi tidak senonoh.
Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Dr Fatimah Daud berkata, pihak yang bertanggungjawab menubuhkan laman web ini sememangnya tidak bermoral dan tidak mempunyai nilai sensitiviti terhadap masyarakat Melayu.
“Mereka tidak sepatutnya membuat pendedahan tentang status diri mereka sebagai gay secara terbuka sehingga dengan bangganya mewujudkan pula satu komuniti gay di Internet.
“Tidakkah mereka berasa malu kepada masyarakat Melayu yang selama ini mendukung adat ketimuran yang menjaga tata tertib dan susilanya,” katanya.
Fatimah berkata, pihak-pihak yang menyertai komuniti ini seharusnya mempunyai etika dan menyedari kesalahan mereka melakukan hubungan sejenis tersebut dan bukannya menubuhkan satu komuniti gay di Internet untuk menambah kenalan.
“Mereka sepatutnya tahu menjaga maruah diri dan sedar akan perbuatan mereka yang haram di sisi Islam,” katanya.
Fatimah berkata, masyarakat seharusnya tidak meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada pihak kerajaan untuk memantau kewujudan laman web seperti ini tetapi masyarakat juga perlu bersikap rasional dan memainkan peranan agar masalah ini dapat diatasi.
“Masyarakat perlu rasional dan menggunakan kemudahan teknologi dengan penuh tanggungjawab serta tidak menyalahgunakannya untuk melakukan perbuatan yang boleh memesongkan akidah seperti ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: