Wednesday, May 27, 2009

Pengaruh 'suara' selebriti

Sejauh manakah golongan selebriti dapat membantu mengubah persepsi negatif orang ramai terhadap HIV/AIDS?




MUNGKIN tumpuan penonton berbeza apabila seorang artis muncul di kaca televisyen berbicara mengenai AIDS, berbanding ketika doktor atau pakar bercakap mengenai isu yang sama.

Justeru, apabila penyanyi Faizal Tahir bercakap mengenai AIDS, stigma dan peranan masyarakat dalam mendekati isu itu sempena Hari Memperingati AIDS Sedunia yang disambut baru-baru ini turut berubah. Hasilnya, sebuah keluarga di Gombak, Kuala Lumpur yang sibuk berbual, terdiam sejenak untuk mencuri pandang slot komersial yang dipaparkan.

"Sudah bertahun-tahun sukarelawan seperti kami, doktor dan pakar-pakar menekankan isu HIV/AIDS. Masyarakat sudah biasa melihat serta mendengar suara kami, maka kemunculan wajah segar selebriti popular, diharap dapat membawa kesan yang berbeza," kata ahli Eksekutif Jawatankuasa Majlis AIDS Malaysia (MAC) Dr. Soraya Azmi.

Seramai 12 artis dan personaliti televisyen serta radio dipilih menyertai Program Selebriti Sokongan Reben Merah 2009/2010 yang dilancarkan di Kuala Lumpur. Peranan mereka adalah menjalin kerjasama dengan MAC dan Yayasan Aids Malaysia (MAF) bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan rakyat Malaysia mengenai HIV/AIDS.

Datuk Siti Nurhaliza, Fish Leong, Faizal Tahir, Dayang Nurfaizah, Ayu, Umie Aida, Fahrin Ahmad, Owen Yap, Zainal Alam Kadir, Aanantha, Uthayaa dan Shah Shamsiri diharap dapat membantu meningkatkan mutu kehidupan rakyat Malaysia yang hidup dengan HIV sekali gus merangsang sokongan dan penglibatan orang ramai dalam menangani isu ini.

"Adakalanya orang terlepas pandang bahawa kami mempunyai pengaruh untuk menarik orang ramai menyertai usaha sebegini," kata Faizal Tahir mengenai peranannya dalam kempen itu.

Pelan strategik MAC selebriti

Inisiatif menggabungkan selebriti ini selari dengan Pelan Strategik MAC bagi tahun 2008-2010 untuk mewujudkan sokongan persekitaran terutama berkaitan isu stigma dan diskriminasi terhadap pesakit AIDS dan mereka yang hidup dengan HIV.


MISI pertama selebriti yang terlibat dalam program ini adalah mengurangkan stigma dan diskriminasi terhadap mereka yang dijangkiti atau terlibat dengan HIV/AIDS.



DAYANG NURFAIZAH



FAIZAL TAHIR


Kemunculan selebriti ini pada majlis-majlis tertentu, melawat rumah perlindungan dan menjadi jurucakap bagi pihak MAC/MAF diharap dapat membantu menyebarkan kempen membantu orang yang hidup dengan HIV/AIDS, secara lebih berkesan.

Misi pertama selebriti terlibat adalah mengurangkan stigma dan diskriminasi terhadap mereka yang dijangkiti atau terlibat dengan HIV/AIDS dan keluarga mereka.

Menurut Dr. Soraya, tiga daripada empat rakyat Malaysia mengatakan mereka berasa malu sekiranya mereka dijangkiti virus HIV, manakala satu daripada dua rakyat Malaysia pula berasa malu sekiranya salah seorang daripada kalangan anggota keluarga mereka penghidap HIV positif.

Kenyataan itu diperoleh daripada hasil kajian tajaan Synovate (M) Sdn. Bhd., pada tahun 2008.

"Kajian ini jelas menunjukkan stigma dan diskriminasi wujud dalam kalangan rakyat Malaysia yang hidup dengan HIV. Prejudis dan diskriminasi terhadap mereka dan kumpulan serta komuniti yang terlibat dengan mereka akan mengakibatkan mereka disisih dan didiskriminasi masyarakat," kata Dr. Soraya.

Stigma dan diskriminasi

Dianggarkan kira-kira 85,000 orang di Malaysia dikenal pasti HIV positif dan setiap hari dianggarkan, antara 10 hingga 15 orang dijangkiti virus ini di Malaysia.

Seharusnya, stigma dan diskriminasi terhadap kumpulan yang semakin ramai itu dihapuskan.

Apa yang dimaksudkan dengan stigma dan diskriminasi itu, kata Dr. Soraya adalah kebanyakan masyarakat tahu mengenai HIV sebagai sejenis virus.

"Kaedah biasa ia merebak melalui perkongsian jarum menyuntik dadah, hubungan seks tidak selamat dan daripada ibu penghidap HIV kepada bayinya telah diketahui. Tetapi pengetahuan asas itu sebenarnya tidak cukup.

"Untuk menghentikan stigma dan diskriminasi itu, kita harus benar-benar tahu bahawa HIV tidak merebak melalui hubungan sosial, bersalaman, makan bersama, bekerja bersama, kanak-kanak bermain bersama atau berkongsi makanan, malah makan makanan yang disediakan seseorang yang HIV positif juga tidak akan menjangkiti kita.

"Tetapi salah faham dan imaginasi kita yang keterlaluan membuatkan kita percaya bahawa HIV boleh merebak semudah jangkitan selesema, pada hal ini tidak benar sama sekali," katanya.

Justeru, MAC berharap dengan menjadikan selebriti rakan kempen, mereka boleh memberitahu masyarakat melalui kata-kata dan contoh terbaik yang mereka tunjukkan bahawa bergaul dengan seorang yang HIV positif tidak membawa kepada jangkitan virus itu.

Punca stigma

"Kami mahu selebriti pelbagai bangsa yang terlibat dalam kempen ini membantu menyebarkan mesej itu kepada semua warga Malaysia, tidak kira muda atau tua, yang tinggal di bandar atau desa," kata Dr. Soraya lagi.

Menurutnya, stigma HIV/AIDS itu terhasil daripada perasaan takut, penafian, kejahilan dan kurang maklumat serta pendidikan.

Dr. Soraya turut menyentuh beberapa perkara lain mengenai stigma dan diskriminasi terhadap pesakit AIDS dan orang yang hidup dengan HIV iaitu:

*** Sikap menyalahkan mereka yang hidup dengan HIV/AIDS bahawa mereka dijangkiti kerana perbuatan mereka sendiri adalah satu sikap yang tidak membantu. Semua agama menggalakkan penganutnya memahami, mengasihani dan membantu mereka yang dalam kesusahan, dan mereka yang hidup dengan HIV sepatutnya tidak terkecuali.


MASYARAKAT mungkin lebih suka mendengar perkara yang sama diperkatakan oleh personaliti pujaan mereka.


*** Terlalu menekankan kepada kumpulan berisiko seperti pekerja seks, lelaki homoseksual, penagih dadah dan lain-lain, sedangkan kini ramai yang didiagnos adalah wanita yang berkahwin (heteroseksual monogamous), maknanya satu-satunya pasangan seks mereka adalah suami.

Menurut Dr. Soraya, trend ini sedang berlaku di Malaysia dan ia berpunca daripada kelemahan biologikal, ketidaksaksamaan gender dan kuasa dalam hubungan seks yang tidak seimbang.

*** Sukar mendapatkan rawatan kesihatan dan bantuan sosial bagi mereka yang dijangkiti, pelanggaran privasi dan kehilangan pekerjaan. Mereka sepatutnya mudah mendapatkan ubat-ubatan yang diperlukan, dan terus diberi peluang menyara kehidupan dan keluarga mereka.

Keperluan perubatan memang penting, tetapi turut sama penting adalah seseorang itu memerlukan sokongan rakan-rakan dan keluarga serta persekitaran yang bebas daripada stigma dan diskriminasi.

"Jika semua ini ada, seseorang yang HIV positif boleh hidup normal dan menjalani kehidupan seharian yang produktif," katanya.

Katanya, kesedaran dan pengetahuan masyarakat mengenai HIV/AIDS masih rendah dan Fahrin mengakui, artis sepertinya tidak terkecuali, sebelum menyertai program ini.

Kini, beliau didedahkan dengan seminar mengenainya dan jika selama ini mungkin beliau tidak menyedari orang yang hampir seperti jiran atau rakan memerlukan bantuan dalam masalah HIV/AIDS, Fahrin kini berazam untuk mendekati mereka dan memberikan sokongan moral.

"Daripada perbincangan dan apa yang didedahkan kepada saya, saya sedar sekarang bahawa stigma dan diskriminasi teruk terhadap orang yang hidup dengan HIV/AIDS berlaku hanya kerana cetek pengetahuan masyarakat, sedangkan mereka layak hidup macam orang lain.

"Mereka berhak menikmati kehidupan positif, di samping anggota masyarakat lain digalak mengamalkan gaya hidup sihat. Saya akan membantu MAC menjelaskan kekeliruan masyarakat mengenai penyakit ini," kata Fahrin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: