Mereka bukan sahaja dipinggirkan oleh ahli keluarga, malah masyarakat juga takut mendekati mereka.
LELAKI ini mengakui dia seorang yang kuat merokok sejak empat dekad lalu. Hanya mahu dikenali sebagai Ramlee, dia yang mempunyai dua isteri dan empat orang anak enggan mendedahkan bagaimana dirinya dijangkiti HIV.
"Suatu hari, saya diserang sakit jantung dan rebah dekat stesen LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur. Saya tak tahu apa yang berlaku ketika itu. Selepas 10 hari terlantar di Hospital Kuala Lumpur (HKL), saya diberitahu menghidap tibi dan mempunyai kuman dalam perut. Selepas keluar hospital, saya kembali ke kampung halaman sebelum dihantar ke sini dan disahkan menghidap AIDS," kata Ramlee merujuk kepada Rumah Perlindungan AIDS, Komuniti Bantuan AIDS Pulau Pinang (CASP) di Bukit Dumbar, Pulau Pinang.
Adakah dia tahu tentang penyakit ini semasa menerima rawatan di HKL? Dengan penuh emosi, dia menjawab berulang kali: "Tak tahu, tak tahulah. Pak cik pun tak tahu."
Walaupun keadaannya sangat lemah, tidak boleh berjalan dan menghidap tibi yang serius, tetapi penjagaan di CASP kini membolehkan Ramlee boleh berjalan dan akan kembali bekerja tidak lama lagi.
Dengan bantuan perubatan, motivasi dan sokongan daripada penjaga-penjaga CASP, keadaan Ramlee kembali normal. Bagaimanapun, dia kesal dengan sikap ahli keluarganya.
"Mereka takut. Mereka tak mahu datang," katanya yang baru sahaja mendendangkan sebuah lagu 60-an sewaktu dia dan rakan-rakannya dikunjungi penyanyi, Dayang Nurfaizah dan pelakon, Umie Aida yang melawat rumah tersebut dalam menjayakan misi Majlis AIDS Malaysia (MAC).
Ramlee adalah antara sembilan pesakit AIDS/HIV yang menerima kunjungan artis tempatan seperti Umie Aida dan Dayang Nurfaizah. Kedua-duanya mempunyai komitmen dalam membantu misi MAC. Selain mereka, kumpulan tersebut turut disertai oleh seorang lagi artis berbangsa Cina, Owen Yap.
Menurut Yap, ini adalah kali pertama dia menyertai kempen tersebut.
Ketika ditemui di rumah CASP, Dayang mahupun Umie langsung tidak kekok beramah mesra dengan Ramlee dan rakan-rakannya.
"Mereka juga manusia seperti kita. Ini adalah sumbangan kami sebagai artis kepada masyarakat," kata Umie.
Umie turut meluahkan hasratnya untuk terlibat dalam lebih banyak aktiviti kesedaran HIV/AIDS kerana dia percaya masih kurang maklumat mengenai mereka dipaparkan kepada orang ramai.
"Saya juga pernah bersikap tabu, tetapi selepas dididik dan menghadiri seminar, saya faham bahawa mereka harus diberikan peluang untuk hidup," katanya.
Dayang pula berkata, dia membayangkan untuk mencipta sebuah lagu khas untuk didedikasikan kepada pesakit AIDS yang dipinggirkan masyarakat.
"Saya tidak pasti bila, cuma baru terfikir. Mungkin secara solo atau bergabung dengan artis-artis lain dalam MAC," katanya yang turut meluahkan hasrat melahirkan album khas untuk pesakit AIDS.
Pada hari yang sama, kesemua enam pesakit turut dihiburkan dengan lagu Sayangkan Mu oleh Dayang Nurfaizah dan sesi ramah bersama kedua-dua artis itu.
Dalam sesi kedua program tersebut, kosmetik MAC menyerahkan cek sumbangan kepada MAC yang akan disalurkan ke rumah perlindungan HIV/AIDS di Pulau Pinang sebagai tanggungjawab kebajikan mereka kepada MAC.
Sementara kesemua pesakit lelaki dihiburkan, seorang pesakit wanita yang diberitahu 'menunggu masa' hanya berehat di bilik tidur.
"Namanya Amarathi, berusia 48 tahun. Dia tidak banyak bercakap," jelas Pentadbir CASP, Elizabeth Thomas kepada wartawan.
Enggan bercakap banyak dan seolah-olah mentalnya terganggu, Amarathi dipercayai mungkin mendapat jangkitan tersebut akibat dirogol. Amarathi yang hanya fasih berbahasa Tamil memberitahu, dia sihat dan hanya mahu berehat.
"Dia kini dijaga dengan bantuan ihsan daripada majikannya. Sebelum didiagnosis dengan penyakit ini, dia bekerja sebagai pembantu rumah," ceritanya.
Bekas majikannya membayar RM150 setiap bulan untuk menanggung belanja penjagaannya di CASP secara sukarela.
"Dia (Amarathi) walaupun buta huruf tetapi sebenarnya tahu berbahasa Inggeris dan Cina," kata Elizabeth.
Tambah Elizabeth, Amarathi sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan tetapi oleh kerana kehilangan kerja, dia dihalau oleh keluarganya.
"Dia mungkin dirogol ketika merayau-rayau di jalanan. Selepas itu, dia ditemui oleh seorang wanita Cina dan mengambilnya sebagai pembantu rumah untuk menjaga ibunya yang sakit akibat kanser," katanya memberitahu Amarathi tinggal di rumah itu sejak Julai lalu.
Sementara itu, wakil Persatuan Perkembangan Kesihatan Keluarga Pulau Pinang, Dr. Ilias Yee yang turut menyertai program Lawatan Selebriti Ke RumahPerlindungan HIV/AIDS di Pulau Pinang dan Seberang Perai itu mempunyai pandangan tersendiri.
Selaku pendidik kesihatan reproduktif (seksual) sukarela bagi MAC di utara, beliau melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan pesakit AIDS melalui hubungan seks.
"Dahulu 90 peratus adalah penagih dadah tetapi kini bilangan pesakit yang dijangkiti HIV/AIDS akibat hubungan seks bebas meningkat terutamanya dalam kalangan wanita," kata beliau.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: