Monday, May 11, 2009

Anak setinggan mengempar dunia

Rubina Ali, nama yang tidak pernah dikenali sebelum ini. Dia membesar di kawasan setinggan Garib Nagar, Mumbai yang penuh sesak. Dia juga mungkin tidak pernah menyangka kehidupannya bakal berubah satu hari nanti.

Kemunculan anak setinggan itu menerusi sebuah filem berbajet rendah, Slumdog Millionaire mengubah episod hidupnya setelah filem itu menggondol lapan Anugerah Academy termasuk Anugerah Filem Terbaik dan Anugerah Pengarah Terbaik daripada 10 pencalonan yang diterima.

Sejak itu, Rubina, 9, mula menempa nama. Daripada seorang anak gelandangan, dia bersama seorang lagi pelakon cilik filem tersebut, Azharuddin Mohammed Ismail, 10, mula dikenali di seluruh dunia.

Ternyata, pertaruhan pengarah filem itu, Danny Boyle yang ‘mengangkat’ dua kanak-kanak berkenaan daripada kawasan setinggan miskin berhasil biarpun pada mulanya beliau berdepan kritikan hebat dari seluruh dunia kerana ‘menggunakan’ elemen kemiskinan di India dalam filemnya.

Dibarisi pelakon Bollywood seperti Dev Patel, Madhur Mittal, Freida Pinto, Irrfan Khan dan Anil Kapoor, Slumdog Millionaire yang diadaptasi daripada novel Q & A karya penulis India, Vikas Swarup mengisahkan tentang seorang kanak-kanak lelaki, Jamal Malik yang menyertai pertandingan Who Want's To Be A Millionaire? di India.

Walaupun tidak tahu membaca dan menulis, Jamal akhirnya menjangkaui pemikiran ramai apabila berjaya memenangi pertandingan itu, sekali gus menjadikan dia seorang jutawan muda.

Kemenangan itu segera melonjakkan nama Rubina dan Azharuddin. Dua pelakon cilik itu yang masing-masing memegang watak Latika serta Salim semasa kecil, mula mendapat tempat dalam industri perfileman India apabila mereka ditawarkan berlakon dalam filem Bollywood, Kal Kisne Dekha bersama-sama aktor Shah Rukh Khan, Rishi Kapoor dan Juhi Chawla.

Perjalanan kisah Rubina untuk terus bergelar bintang bagaimanapun tidak mudah. Malahan, tidak keterlaluan jika dikatakan, Anugerah Slumdog Millionaire Februari lalu, hanya memporak-perandakan hidupnya serta keluarga.

Selepas meraih populariti ekoran peranannya dalam filem itu, hidupnya tidak banyak berubah. Rubina masih tinggal di kawasan setinggan Garib Nagar bersama bapanya, Rafiq Qureshi, 36, ibu tirinya, Munni Qureshi yang sedang mengandung, kakaknya, Sana, 13, dan Abbass, 6 tahun.

Di rumah satu biliknya yang menempatkan keseluruhan ahli keluarga, gadis kecil itu masih berdepan cabaran apabila dia terpaksa mencedok air kumbahan yang membanjiri rumahnya.

Dia pernah merasai glamor Oscar, namun kegemilangan filem itu yang mengutip AS$326 juta (RM1.14 bilion) di seluruh dunia, memberi ganjaran terlalu sedikit buat dirinya.

Boyle sebelum ini menegaskan akan membantu dua pelakon ciliknya melalui penubuhan satu dana, Jai Ho yang diambil sempena nama satu lagu hit dalam filem tersebut, bagi memberikan mereka kehidupan lebih selesa termasuk rumah, pendidikan serta wang simpanan.

Penerbit Slumdog Millionaire, Christian Colson menyifatkan dana itu sebagai penting, namun beliau tidak menyatakan jumlah wang terlibat. Buat masa ini, Rubina telah menamatkan penggal pertama di sebuah sekolah berbahasa Inggeris setelah didaftarkan oleh Boyle dan Calson. Dia bakal menyambung pelajarannya apabila sesi persekolahan bermula Jun depan.

Menurut keluarga Rubina, Sekolah Antarabangsa D.Y. Patil yang menawarkan program ijazah sarjana muda antarabangsa, bersedia menyediakan bantuan biasiswa kepada pelakon itu, namun pihak sekolah enggan mengulas lanjut.

Selain kehidupan yang tidak banyak berubah, gadis kecil itu juga berdepan cabaran peribadi yang menjadi tumpuan dunia. Kisah keluarganya kini bukan lagi privasi. Bapanya, Rafiq baru-baru ini dilaporkan cuba ‘menjual’ anaknya itu sebagai anak angkat bagi membebaskan kanak-kanak tersebut daripada kehidupan sesak di Mumbai.

Menurut laporan sebuah akhbar tabloid News of the World, Rafiq yang ditemani abang iparnya, Rajan More telah pergi ke sebuah hotel mewah di Mumbai bagi menjalankan urus janji mengenai perkara tersebut dengan sebuah keluarga kaya yang berasal dari Dubai.

Dalam urus janji itu, Rafiq dikatakan meminta wang pampasan sebanyak AS$400,000 (RM1.4 juta) sebagai tukaran kepada Rubina. Namun plot penjualan kanak-kanak itu sebenarnya didalangi sekumpulan wartawan akhbar News of the World yang menyamar sebagai keluarga dari Asia Barat itu.

Laporan oleh akhbar itu segera mendapat perhatian dunia kerana ia seolah-olah memperlihatkan bapa pelakon itu mengambil kesempatan di atas populariti yang dikecapi Rubina.

Namun, sehari kemudian, Rafiq menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu dengan mengatakan dia telah diperangkap pihak tertentu.

Perkara tersebut turut disiasat pihak polis. Rafiq dan Rubina telah dibawa ke sebuah balai polis di Mumbai untuk disoal siasat. Sehari kemudian, polis India mengumumkan mereka tidak akan mendakwa bapa kepada aktres kanak-kanak itu atas alasan tiada jenayah dilakukan dan tiada wang bertukar tangan.

Rafiq dalam pada itu mendakwa, komplot yang memerangkapnya itu mungkin dilakukan ibu kandung Rubina, Khurshid Monish Dewade dalam mendapatkan semula hak penjagaan ke atas Rubina.

Khurshid yang tinggal berasingan bersama gadis kecil itu sejak tujuh tahun lalu hanya muncul semula selepas filem Slumdog Millionaire meraih Anugerah Oscar. Malah ibu kandung pelakon itu juga turut membuat laporan polis selepas mendapat tahu Rafiq ingin ‘menjual’ Rubina.

Drama keluarga itu tidak berakhir di situ. Lebih memalukan, Khurshid dan ibu tiri Rubina, Munni telah bergelut dalam satu pergaduhan fizikal di kawasan setinggan tersebut. Rakaman video pergaduhan itu turut tersebar luas dalam Internet melalui laman web Youtube. Khurshid menuduh Rafiq dan Munni menggunakan Rubina bagi mendapatkan wang.

Kakak Rubina Sana, turut menerima tempias malang selepas adiknya meraih glamor. Sana memberitahu sebuah akhbar India, kejayaan filem tersebut telah menghancurkan kehidupan keluarganya.

Dia mendakwa telah dihalau daripada rumah oleh bapanya dengan alasan dia tidak dikehendaki dan Rubina lebih berharga.

Sana juga memberitahu, dia tahu tentang rancangan untuk menjadikan Rubina sebagai anak angkat kerana dia penah mendengar ayahnya bertanya kepada Rubina adakah dia ingin tinggal di luar negara.

Dalam hal ini, Rubina menjadi mangsa. Tidak keterlaluan jika dikatakan, disebabkan kemiskinan hidup, pelakon kecil itu menjadi ‘alat’ kepada keluarganya yang ingin keluar dari kepompong kesusahan.

Menurut sebuah badan amal, Save the Children yang beroperasi membantu kanak-kanak di Delhi, Calcutta dan Hyderabad, penganiayaan dan penyalahgunaan kanak-kanak merupakan satu isu besar di India.

Jelas badan itu, kemiskinan membuatkan ibu bapa serta penjaga merasakan mereka tidak perlu menanggung beban dalam membesarkan anak mereka, sebaliknya bergantung kepada mereka sebagai satu alat untuk keluar dari keadaan terdesak.

Kanak-kanak di India sering dipaksa keluar bekerja bagi menyara keluarga dan mencari makanan termasuk bekerja di kilang batu bata. Ada di antara mereka turut dijual kepada sindiket perhambaan.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNICEF) menganggarkan kira-kira 12.6 juta kanak-kanak di India terlibat dengan kerja-kerja berbahaya, sekali gus menyebabkannya muncul sebagai sebuah negara paling ramai memiliki pekerja kanak-kanak di bawah umur 14 tahun.

India juga merupakan destinasi kepada pusat perdagangan manusia, di mana kebanyakan daripada kanak-kanak akan dibawa keluar ke sempadan Nepal, Pakistan dan Bangladesh.

Walau apa pun, nasib Rubina masih tidak tentu. Buat masa ini, dia mungkin terselamat daripada sindiket perdagangan manusia. Namun, dakwaan yang mengatakan dia ingin ‘dijual’ bapanya, juga merupakan salah satu bentuk perdagangan manusia. Sekiranya karier gadis kecil ini gagal berkembang, dia akan terus menjadi salah seorang penghuni kawasan setinggan Garib Nagar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: