Wednesday, May 13, 2009

Panggilan Agenda 21

Sempena pemilihan Pulau Langkawi sebagai tuan rumah Konvensyen Perubahan Iklim 2010, kempen kesedaran pelestarian alam sekitar sudah pun diuar-uarkan lebih awal.


SELAIN mahu dikenali sebagai pulau yang paling hijau di dunia, Langkawi juga berhasrat untuk menghasilkan tanaman padi organik.






BANYAK amalan hijau di The Frangipani Langkawi boleh dijadikan model ikutan bagi operasi pengusaha resort lain.


APABILA timbul azam untuk menjadikan Langkawi sebagai pulau paling hijau di dunia, ia sebenarnya menuntut pemahaman dan pengorbanan yang sangat besar.

Sambil berlumba dengan arus waktu dan ancaman modenisasi, kita perlu sedar bahawa usaha pemuliharaan alam sekitar sepatutnya telah bermula sejak lama.

Hijau membawa dua makna. Maksud pertama mudah dirujuk kepada warna khazanah semula jadi yang diciptakan Tuhan untuk manusia. Kedua, perlaksanaan polisi dan amalan demi memastikan kelangsungan alam sekitar, seterusnya saling memanfaat keseluruhan sistem yang dikandungnya.

Maka, manusia yang berkongsi ruang dengan diversiti hidupan lain perlu berpegang pada sebuah komitmen. Apa yang dimaksudkan adalah tata cara untuk mengekalkan persekitaran dalam keadaan yang paling minimum kerosakan atau ancaman terhadapnya.

"Bumi memerlukan perhatian kita. Bagaimana nasib manusia pada masa akan datang bergantung kepada usaha kita menguruskan sumber air, tenaga, sisa buangan dan sebagainya.

"Pada masa yang sama, ekosistem perlu dibiarkan berfungsi dalam keadaan semula jadi," ujar Pengarah Urusan, Kumpulan Asia Overland Services (AOS), Anthony Wong.

Pada majlis prapelancaran Konvensyen Perubahan Iklim 2009 yang bakal berlangsung di Langkawi pada 23 hingga 25 Oktober ini, Anthony bangga menguar-uarkan tentang rasa cinta dan tanggungjawab untuk melestari perhubungan manusia dan alam sekitar.

"Antara lain, usul bernas yang dibentangkan di peringkat tempatan itu nanti akan dibawa ke sidang seterusnya iaitu konvensyen peringkat Asia Pasifik.

"Ia diadakan pada Jun 2010, sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia yang jatuh pada tarikh 5 Jun," ujar beliau yang memperoleh idea itu selepas menghadiri Mesyuarat Kompak Global di Bangkok, Thailand, pada awal tahun ini.

Gugusan pulau legenda kebanggaan Malaysia ini bakal menjadi platform interaktif bagi setiap peserta dan perwakilan negara dunia berhimpun dan mempelajari cara memerangi perubahan iklim.

"Ia bukan acara untuk mengaut sebarang keuntungan, memandangkan setiap sumbangan akan disalurkan ke Yayasan Save Our Earth yang diwakili kumpulan organisasi bukan kerajaan dan universiti. Dana tersebut akan dilaburkan untuk menggerakkan projek-projek penggalakan perlindungan alam sekitar," terang Anthony.

Objektif utama konvensyen tersebut adalah untuk memperinci langkah-langkah mengurangkan perbelanjaan, meningkatkan kesedaran dan kuasa pendidikan, serta berkongsi ilmu baru berkaitan pemuliharaan alam.

Semua itu turut dirangkum dalam Agenda 21, iaitu penyenaraian langkah pembangunan mapan global yang teliti dan komprehensif untuk dijadikan garis panduan seterusnya diguna pakai peserta dan perwakilan konvensyen itu nanti.

"Selepas Deklarasi Langkawi pada tahun 1989, kita bimbang ramai yang sudah lupa tentang tanggungjawab menjaga dan melindungi alam sekitar. Tujuan dana juga dilupakan.

"Inilah masanya untuk kita kembali menjejak usaha yang kita tinggalkan," kata Pengerusi AOS Conventions & Events Sdn. Bhd., Datuk Ahmad Bakri Shabdin.

Menurut beliau, penstrukturan semula usaha membangunkan agenda hijau memerlukan sokongan semua pihak, baik pihak pemerintah, sektor swasta, badan-badan bukan kerajaan dan juga komuniti setempat.

Semua itu terarah kepada pencarian penyelesaian dan impak positif bagi menangani isu perubahan iklim dan cabaran ekonomi. Harapan yang tinggi menggunung ketika ini adalah untuk berkongsi amalan hijau untuk dijadikan model unggul kepada seluruh rakyat Malaysia dan dunia.

Anthony yang juga pemilik The Frangipani Langkawi Resort & Spa (FLRS) tidak mahu bercakap tidak serupa bikin. Lantaran iltizamnya itu, FLRS menerajui dunia hospitaliti negara apabila menjadi hotel pertama yang benar-benar mempraktikkan konsep dan polisi hijau.

"Kami beroperasi berlandaskan prinsip 4R iaitu Reduce (Mengurangkan), Reuse (Penggunaan Semula), Recycle (Kitar Semula) dan Rethink (Fikir Semula). Kami mahu aktif menjalankan tanggungjawab melindungi dan memulihara serta meminimumkan impak operasi terhadap alam sekitar," ujar Anthony.

Antara lebih 100 amalan hijau di resort itu termasuklah mengitar semula material buangan untuk bahan binaan sekitar resort, mengguna semula air takungan hujan, menghasilkan sendiri baja kompos untuk landskap, dan melibatkan penyertaan staf jabatan resort dalam mengusahakan tanaman organik.

"Kata-kata tidak membawa sebarang makna. Tindakan kita sebenarnya yang menentukan segalanya," pesan Anthony

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: