Wednesday, May 13, 2009

Kerjaya profesional bukan penghalang

‘Komuniti bebas sampah-sarap’ bukan lagi satu omongan kosong. Shyam dan rakan-rakannya yang menyandang jawatan kolar putih, merealisasikan impian yang terbentuk daripada satu idea kecil kepada satu projek besar-besaran.





ELLYNITA LAMIN (kiri) dan Jason Ng Ming Xian.


Kali pertama saya membaca tentang wanita muda ini di sebuah akhbar berbahasa Inggeris, ia mengungkap impian sulung Sivapriah Marimuthu untuk membawa pembaharuan dalam menjaga kebersihan persekitaran di sekeliling komuniti. Artikelnya cukup ringkas dan tidak begitu menjelaskan aspirasi di sebalik aktiviti yang dimulakan pada tahun lalu.

Sivapriah atau lebih mesra disapa sebagai Shyam dalam kalangan rakan seperjuangannya telah meluahkan segala apa yang terbuku di hati ketika ditemui Kosmo! di sebuah kafe di Kuala Lumpur baru-baru ini. Sambil menguntum senyuman manis, Shyam meluahkan keluhan terhadap sikap masyarakat Malaysia, yang rata-ratanya masih tidak peduli dalam memelihara alam sekitar.

Harus diingat bahawa beliau bukan seorang aktivis alam sekitar yang menanam beratus-ratus pokok atau berpiket untuk melarang penderaan ke atas haiwan. Hendak melancarkan mogok lapar, pun tidak. Namun, wanita berusia 34 tahun yang bekerja sebagai seorang pengurus langganan di sebuah syarikat akhbar tempatan itu mempunyai misi dan strategi tersendiri bagi menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.

"Apabila menyentuh tentang soal penjagaan alam sekitar, ia melibatkan banyak perkara dan aspek kehidupan seharian. Perbuatan membuang sampah yang tidak berhemah secara tidak langsung menggambarkan tahap kebijaksanaan penduduk negara," ujarnya dengan kata-kata yang menjelaskan keseriusannya terhadap permasalahan ini.


DUA sukarelawan membantu meringankan beban pekerja Alam Flora di Kuil Maha Vihara Buddha, Brickfields, Kuala Lumpur.


Walaupun program kitar semula dan kempen menanam pokok hangat diperkatakan dari semasa ke semasa sama ada melibatkan individu perseorangan atau organisasi gergasi, namun tidak ramai daripada kita sanggup untuk mengutip sampah yang menimbun sebaik sahaja selesai sesebuah acara atau perayaan.

'Itu bukan sampah saya atau …kan sudah ada pihak lain yang diupah untuk membersihkan sampah! Ini adalah antara alasan biasa yang disuarakan oleh mereka yang lebih suka menuding jari ke arah orang lain untuk mengelak daripada memikul tanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran.

"Apa akan terjadi kepada Bumi jika semua orang berkata begitu? Menutup sebelah mata dan mendiamkan diri adalah satu tindakan pasif yang tidak membina," ujarnya yang membesar dalam persekitaran keluarga yang menggalakkan tabiat berkebun dan membantu mereka yang kurang bernasib baik.


KEMEJA T khas yang dihasilkan untuk sukarelawan Sampah Masyarakat.



SHYAM


Pada tahun 2005, Shyam yang mengunjungi Batu Caves, Selangor pada hari kedua sambutan Thaipusam disajikan dengan pemandangan sampah yang menggunung di sekitarnya. Shyam turut mencuri dengar keluhan pekerja-pekerja syarikat pembersihan, Alam Flora yang merungut sesama sendiri ketika melakukan kerja-kerja pembersihan.

Pada tahun berikutnya, sambutan perayaan Thaipusam turut menyajikan keadaan yang sama dan hakikatnya masalah itu juga boleh dilihat semasa berakhirnya sambutan Tahun Baru, Hari Kemerdekaan, Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri, Gong Xi Fa Chai atau ketika mengunjungi konsert mega atau perlawanan sukan di stadium.

Hasil daripada perbincangan, perundingan dan perkongsian idea pengasasnya, Shyam dan kawan-kawannya kemudian menubuhkan kumpulan sukarelawan Sampah Masyarakat pada Disember 2008. Walaupun belum didaftarkan lagi, ahli-ahli kumpulan Sampah Masyarakat aktif mengadakan 'aktiviti' memerangi pembuangan sampah di merata-rata tempat.


MEREKA mendukung aspirasi komuniti bebas sampah sarap.


Aktiviti pertama yang julung kali mendapat hebahan berita dan liputan meluas media adalah program mengutip sampah di Batu Caves sejurus selepas sambutan Thaipusam 2009 baru-baru ini. Kerja-kerja menghimpunkan bekalan logistik, sokongan pihak berkuasa dan sukarelawan disediakan kira-kira dua bulan sebelum tarikh sebenar perayaan tersebut.

Laman sesawang sosial yang popular, Facebook dijadikan sebagai medium terpantas untuk menyebarkan pengumuman bagi menarik penyertaan segenap lapisan masyarakat daripada pelbagai agama, latar belakang dan umur. Majlis Perbandaran Selayang (MPS) turut melahirkan rasa gembira terhadap gagasan fikiran warga muda ini lalu mengadakan sidang media bagi menyebarkan publisiti.

Pada hari berkenaan, 9 April 2009, iaitu sehari selepas sambutan Thaipusam, seramai 50 orang sukarelawan berkumpul di tapak projek di Batu Caves untuk melaporkan diri. Salah seorang daripadanya ialah Ellynita Lamin, 33. Baginya, kerja-kerja kebajikan sebegini bukan lagi asing.

Ketika dunia dikejutkan dengan tragedi tsunami pada tahun 2004, Ellynita adalah antara individu terawal menawarkan pertolongan di Banda Aceh, Indonesia. Wanita bertubuh genit ini pernah menarik puluhan mayat yang telah mereput dan mengeluarkan bau busuk di tempat kejadian yang mengorbankan kira-kira 168,000 nyawa. Dia juga pernah mengembara ke Nepal dan Kemboja atas dasar kemanusiaan.

"Semasa menyertai kegiatan membersihkan Batu Caves tempoh hari, kami mengedarkan borang soal-selidik bagi mengetahui sikap masyarakat terhadap tabiat membuang sampah," katanya yang kagum mendengar jawapan seorang kanak-kanak dalam usia lima tahun terhadap soalan, 'Siapakah Sampah Masyarakat?'.

"Kanak-kanak itu menjawab, kita semua adalah sampah masyarakat kerana kitalah penyebabnya," jelas Ellynita yang benar-benar tersentuh.

Beliau yang menyandang jawatan Pengurus Kanan di sebuah syarikat di bawah naungan Kementerian Kewangan tampil dengan gaya profesional dalam persalinan blaus potongan leher polo dan skirt serta kasut but tinggi.


TAK kira masa dan tempat, kesungguhan membersihkan sampah adalah satu sifat yang terpuji.


Jason Ng Ming Xian, 28, seorang Pengurus Akaun Jualan di sektor solusi perbankan, sanggup bangun tidur seawal pukul 6 pagi dan tiba di lokasi 45 minit kemudian. Dia yang ditugaskan membersihkan Zon 1 atau kawasan pintu gerbang Batu Caves, bimbang pemandangan yang kurang enak itu akan memberi pandangan negatif kepada pelancong. Jason memberitahu, dia kerap bersenam di sekitar kawasan itu pada masa terluang.

Bagi menyaksikan keikhlasan sumbangan yang dilakukan oleh sukarelawan Sampah Masyarakat, penulis turun padang dengan membuat liputan program tersebut bersempena dengan sambutan Hari Wesak yang berlangsung pada hujung minggu lalu di Kuil Maha Vihara Buddha, Brickfields, Kuala Lumpur.

Kelibat sepupu Shyam, Hari Haran Varma Arul Mozhi Varma, 17, yang tidak berpeluang menyertai kerja-kerja pembersihan di Batu Caves, tercapai kali ini apabila dia mengerah keringat di bawah panas terik matahari bersama kira-kira 30 orang sukarelawan.

Mereka memulakan kerja-kerja pembersihan sejam lebih awal daripada jadual iaitu pada pukul 9 pagi. Biarpun ramai daripada mereka terdiri daripada muka-muka yang dikenali, namun ada juga 'peserta baru' yang sibuk menyapu dan mengutip sampah di luar perkarangan kuil.

Sambil mengenakan kemeja T putih yang tertera ungkapan 'Senang aje brader', 'It's easy bro' dan maksud yang sama dalam bahasa Tamil serta Cina, pemuda-pemudi itu berjaya menyiapkan 'tugasan' sehingga pukul 4 petang.

Reverend Siridhamma, seorang sami di kuil tersebut melahirkan rasa kesyukuran. "Biarpun berlainan kaum dan agama, mereka bersatu untuk satu matlamat murni iaitu menjaga kebersihan 'rumah' iaitu Malaysia," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: