Thursday, May 21, 2009

Oo La La semarakkan TV9


PESERTA yang bakal bersaing di samping ahli keluarga mereka termasuk selebriti seperti Juliza Adlizan, Aris Ariwatan, Andy Flop Poppy, Eddie Hamid dan Neves dari Pretty Ugly. Turut kelihatan Ketua Pengurusan Penjenamaan Kumpulan, Komunikasi Korporat dan Pembangunan Perniagaan TV9, Noor Amy Ismail (depan dua dari kanan) dan pengacara, Sazzy Falak (depan kanan).

Program realiti berbentuk kekeluargaan 10 episod mula bersiaran Sabtu ini

SUDAH menjadi tren stesen TV tempatan beberapa tahun kebelakangan ini berlumba-lumba menerbitkan program realiti yang terarah kepada dunia seni. Program seperti Bintang RTM, Akademi Fantasia (AF), One In A Million, Malaysian Idol dan pelbagai lagi nama, terus menyemarakkan kaca TV di negara kita.

Stesen TV9 yang terkenal dengan tagline Di Hatiku, turut tidak mahu ketinggalan memastikan penerbitan program sebegitu menjadi resipi menarik tontonan ramai. Akademi Nasyid, Akademi Al-Quran dan Bintang Idola antara program yang pernah melekat di stesen TV itu. Kini, bakal tampil pula program diberi nama Oo La La yang berorientasikan kekeluargaan.

Program 10 episod terbitan Azman Abdul Ghaffar yang akan mula bersiaran pada 23 Mei ini akan dihoskan selebriti jelita, Sazzy Falak. Disiarkan selama sejam setengah, ia dinilai berdasarkan skala 60 peratus undian SMS dan selebihnya, juri profesional yang terdiri daripada komposer Azmeer dan penyanyi, Atilia.

Adnan Abu Hassan dilantik sebagai pengetua (penasihat) memantau dan memerhatikan prestasi 10 peserta yang terpilih pada musim ini. Edrie Hashim yang baru saja melunaskan tanggungjawabnya sebagai pengkritik tetap AF7 diamanahkan sebagai pengarah muzik.

Satu sidang media memperkenalkan 10 peserta dilakukan pada 19 Mei lalu di Red Box, The Gardens, Mid Valley. Sepuluh peserta di kalangan remaja sudah disenarai pendek dan mereka akan dibantu ahli keluarga masing-masing yang terdiri sama ada daripada ibu, bapa, kakak, ibu saudara dan sebagainya.

Lima daripada ahli keluarga yang dimaksudkan itu terdiri daripada penyanyi, guru vokal dan komposer tempatan. Mereka yang dimaksudkan ialah Andy Flop Poppy, Juliza Adlizan, Eddie Hamid, Aris Ariwatan dan Neves Pretty Ugly. Selebihnya adalah orang biasa.

Menurut Adnan Abu Hassan yang ditemui Hip, pertandingan ini berbeza dengan pertandingan nyanyian lain kerana ia lebih terarah kepada kekeluargaan. Peserta saja dinilai dan ahli keluarga hanya membantu melancarkan proses nyanyian saja.

“Pertandingan ini secara tidak langsung menjadi langkah awal menggalakkan golongan muda yang bercita-cita untuk membabitkan diri dalam dunia seni. Lalu peranan ibu bapa atau ahli keluarga turut dipaparkan sebagai penggalak. Program ini akan melihat prestasi peserta dan bukan ahli keluarga yang terbabit,” kata komposer terkenal itu.

Sementara itu, Azmeer berkata, untuk program ini penonton akan melihat bagaimana kolaborasi ahli keluarga dan peserta. Tambahnya, peserta akan dinilai daripada pelbagai aspek antaranya vokal, interaksi, persembahan, kreativiti dan sebagainya.

“Sekurang-kurangnya program ini mampu mengukuhkan lagi ikatan kekeluargaan. Terapi muzik dan hiburan jika dikaji boleh mendisiplinkan diri dan dalam sains juga ia mampu mengurangkan tekanan. Program ini juga menjadi perhatian belia yang mungkin mahu serius mengejar cita-cita dalam bidang seni,” kata Azmeer.

Info Oo La La

  • Setiap peserta akan diberi tugasan menyanyi lagu solo dan turut diselit lagu duet.

  • Tidak mempunyai diari khas atau jurnal program seperti pertandingan realiti lain.

  • Uji bakat peserta dilakukan selama empat minggu di sekitar Kuala Lumpur.

  • Guru vokal, Juliza Adlizan memantau dan mendidik bukan satu sebaliknya dua anak saudaranya, Ajreena dan Shakina.

  • Penyingkiran hanya akan berlaku pada episod kedua dan kesembilan.

  • Disiarkan setiap Sabtu jam 9.30 hingga 11 malam.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: