Thursday, May 21, 2009

Era kekal nombor satu


SEGMEN Sinar Pagi yang dikendalikan oleh Salih, Raja Azura dan Krill meraih dua juta pendengar.

SinarFM melakar sejarah duduki tempat kedua jumlah pendengar keseluruhan

RADIO Era dan SinarFM berada di kedudukan pertama dan kedua secara keseluruhan dalam senarai stesen radio pilihan rakyat Malaysia berdasarkan keputusan rasmi kajian Ukuran Pendengar Radio, Liputan 1, 2009.

Kajian dibuat oleh Nielsen Media Research itu juga menunjukkan keunggulan rangkaian radio di bawah pengurusan AMP Radio Networks iaitu Era, MYFM, hitz.fm, MIXfm, LiteFM, SinarFM, XFM dan THR (THR Raaga dan THR Gegar) sebagai peneraju industri radio Malaysia.

Keseluruhannya, kajian ini yang dilakukan Mac lalu, mendapati majoriti penduduk Semenanjung Malaysia berumur 10 tahun ke atas (91 peratus) menggunakan radio sebagai sumber maklumat dan hiburan. Daripada 14.9 juta pendengar radio, 75 peratus atau lebih 11 juta memilih stesen kendalian AMP, menguatkan lagi penguasaan AMP sebagai pengendali radio yang memiliki khalayak pendengar terbesar.

Di kalangan 43 stesen radio yang terbabit dalam kajian, stesen-stesen AMP mengukuhkan kedudukan dalam kelompok 20 stesen teratas. Lima stesen AMP tergolong dalam senarai 10 stesen radio paling popular dengan Era adalah stesen pilihan utama pendengar, SinarFM naik ke tempat kedua, THR (THR Raaga & THR Gegar) di tempat keempat, MY FM di tangga kelima, manakala hitz.fm di tempat ketujuh.

Pengarah Eksekutif AMP Radio Networks, Datuk Borhanuddin Osman berkata, setiap stesen di AMP bersungguh-sungguh untuk membaiki kandungan program, memanfaatkan teknologi penyiaran dan interaktif terkini serta menghasilkan kempen yang paling menarik.

NANA yang mengendalikan slot Petang Di Era yang menjadi segmen petang nombor satu.

“Harapan AMP adalah untuk maju lagi dalam era radio mudah alih, digital dan global,” katanya.

“Kejayaan demi kejayaan yang diperoleh ialah hasil sokongan pendengar dan dedikasi setiap warga AMP. Dari masa ke masa, kami mendapatkan maklum balas pendengar tentang apa yang mereka mahukan dari segi muzik, hiburan dan kandungan lain.

“Saya mempunyai pasukan yang kuat, mereka bukan sahaja meneliti informasi yang terima bahkan juga mahir dan kreatif untuk mewujudkan bunyi yang hebat menerusi corong radio,” tambah beliau lagi.

Era kuasai slot sebelah petang

KAJIAN Nielsen mengangkat Era sebagai stesen radio nombor satu di Malaysia, dengan jumlah pendengar keseluruhan mencecah 4 juta. Slot Petang ERA kendalian Nana (1-4 petang) dan Adi & Burn (4 petang - 8 malam) muncul sebagai program nombor satu untuk slot masing-masing.

Era mempunyai kekuatan kelompok pendengar eksklusif, yang setia mendengar ERA pada bila-bila masa, iaitu seramai 572,000 orang.

Pengurus Rancangan Era, Nazri Noran berkata, beliau tidak menaruh harapan terlalu tinggi untuk kajian kali ini apatah lagi dengan pembaharuan yang dilakukan.

Katanya, segmen unik yang diketengahkan seperti Drama Sebabak dan acara amal Orang Iklan ERA berjaya menarik perhatian pendengar.

“Kami sedang sibuk merantau ke 11 lokasi di seluruh Semenanjung Malaysia dalam siri Jelajah 11 Era, sempena ulang tahun stesen ini yang ke-11. Barisan penyampai yang kita ada sekarang mungkin baru, namun mereka tekad meneruskan legasi jenama Era yang diamanahkan kepada mereka. ERA berbesar hati kerana masih berada di hati 4 juta rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Sinar melakar sejarah apabila meletakkan diri kedudukan kedua dalam senarai stesen radio paling popular. Berjaya mengumpul 484,000 lagi pendengar, stesen Muzik Retro Terbaik ini sekarang memiliki khalayak pendengar keseluruhan berjumlah 3.82 juta orang, iaitu angka paling tinggi pernah dicatatkannya setakat ini.

Dalam tempoh hanya satu tahun, iaitu dari April 2008 sehingga Mac 2009, Sinar menambah bilangan pendengar sebanyak lebih 1.2 juta, menjadikannya stesen radio paling cemerlang sepanjang jangka masa tersebut. Perkembangan ini menunjukkan aliran pendengar yang menggemari kandungan muzik yang lebih matang, terutama lagu-lagu daripada era retro yang gemilang.

Segmen Sinar Pagi kendalian Krill, Raja Azura dan Salih Yaccob kini meraih dua juta pengikut, bertambah hampir 384,000 orang berbanding pada kajian sebelum ini. Ia adalah rancangan ‘sarapan’ kedua popular di Malaysia, dibezakan dengan hanya 67,000 pendengar berbanding program yang berada di tangga teratas.

Malah, segmen Hujung Minggu Sinar menarik sebilangan besar pendengar radio terutama pada waktu pagi dan malam. Kelompok pendengar Sinar paling besar pada Sabtu dan Ahad iaitu seramai 2.7 juta pendengar. Kalau dahulu pendengar eksklusif Sinar hanya 105,000, kali ini 649,000 memilih Sinar setiap kali mereka mendengar radio - peningkatan pendengar eksklusif paling ketara antara kesemua stesen radio.

Pengurus Rancangan SINAR, Rostam Said mengakui pencapaian ini agak mengejutkan.

“Suasana penyiaran radio di negara ini semakin meriah dengan tumbuhnya stesen baru yang mewarnai lagi industri. Kerana itulah peningkatan jumlah pendengar yang sebegini besar tidak kami jangka. Faktor utama kejayaan ini tentunya adalah barisan penyampai yang mantap dan muzik yang hebat,” katanya.

Prestasi XFM semakin baik

DALAM pada itu, stesen radio khas untuk golongan XFM juga semakin berkembang, kini dengan 475,000 pendengar. Dari kedudukan di tangga 20, XFM membaiki prestasinya dan berada di tempat ke-17 dalam senarai selepas kajian kali ini.

Jumlah pendengar XFM meningkat 18 peratus ke 475,000 seminggu. Peningkatan dilihat di semua slot masa, dan Zon Planet X (ZPX) yang ke udara setiap malam dari Isnin hingga Jumaat, adalah segmen paling diminati di XFM dengan 241,000 pendengar seminggu. XFM juga terbukti meraih sokongan daripada khalayak sasarannya iaitu pendengar Melayu berumur 15 hingga 24 tahun yang menggandakan masa yang mereka luangkan untuk mendengar XFM sehingga lapan jam seminggu berbanding hanya empat jam berdasarkan kajian lepas. Pendengar eksklusif XFM juga bertambah 100 peratus dan mencecah 33,000 orang kini.

Sebagai stesen yang memainkan sepenuhnya muzik Malaysia, XFM akan terus menyediakan platform kepada pemuzik indie tempatan untuk mengetengahkan karya mereka. Terkini, XFM bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan dalam pelaksanaan Program Radio Belia yang memberi ruang dan peluang untuk golongan muda bersuara.

Pengurus Program XFM, Adly Syairi Ramly berkata, tanggungjawab itu diteruskan, terutama sebagai medium yang menggerakkan revolusi bunyi baru muzik Malaysia. XFM menuju ke arah masa hadapan yang lebih cerah buat muzik dan belia negara,” katanya.

Satu lagi radio di bawah AMP Networks yang menggunakan bahasa Melayu sebagai perantaranya, THR juga turut menunjukkan peningkatan yang menggalakkan.

Pertambahan 300,000 berbanding semasa kajian lepas menjadikan THR kini mempunyai 3.18 juta pendengar dan mengekalkan kedudukannya di tempat keempat antara kesemua stesen. Dengan pertambahan 170,000 pendengar, THR Gegar memperbaiki lagi prestasinya sebagai stesen radio nombor satu di Kelantan, Terengganu dan Pahang. Bukan itu sahaja, pendengar eksklusif THR Gegar juga meningkat 72 peratus dari 194,000 pada kajian lepas kepada 334,000 kini.

Slot paling popular di THR Gegar ialah Gegar Petang bersama Andy Hakim yang berjaya menarik seramai 872,000 pengikut setiap minggu, manakala slot Ceria Pagi yang dihoskan Nasa dan Suzana adalah program pagi popular di Pantai Timur dengan 720,000 pendengar.

Fakta Nombor

43 - Jumlah stesen radio yang terbabit dalam kajian

4 juta - Jumlah keseluruhan pendengar radio Era

3.82 juta - Jumlah keseluruhan pendengar SinarFM

3.18 juta - Jumlah keseluruhan pendengar THR

475,000 - Jumlah keseluruhan pendengar XFM

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: