![]() GANDINGAN mentor dan protege daripada kumpulan B. |
Produser Mentor, Muhamad Sufian Isa anggap kemunculan Nas Ahmad, pergaduhan mentor sekadar bahan hiburan
SEJAK menemui penonton empat minggu lalu, ramai yang memberikan reaksi kurang senang terhadap program Mentor 3. Bukan mempertikaikan peserta program berkenaan atau pun mentornya tetapi kebanyakan mereka agak lemas dan rimas menyaksikan segmen di belakang pentas yang dikendalikan wartawan Melodi yang terkenal dengan trademark terjah iaitu Nas Ahmad.
Menyaksikan adegan Nas bertanyakan soalan sensasi kepada protege dan mentor membuatkan ramai yang tertanya-tanya apakah sebenarnya yang ingin ditonjolkan program terbitan Muhamad Sufian Isa ini. Apakah sebenarnya tarikan Mentor musim ini? Jual gosip atau bakat?
Begitu juga dengan apa yang ditunjukkan minggu lepas di mana tiga mentor yang bertanding iaitu Mas Idayu, Awie dan Adibah Noor sudah bikin kecoh di belakang pentas. Bukan sekali dua tetapi setiap kali lensa kamera dihalakan kepada mereka, ada saja usikan atau pertengkaran mulut berlaku membabitkan mereka bertiga.
Jika sekali dua mungkin penonton boleh menganggap sebagai bahan hiburan, tetapi jika terlalu kerap disiarkan, rasanya agak keterlaluan dan kurang sesuai aksi sebegitu ditunjukkan di depan protege mereka kerana seolah-olah cuba menunjukkan teladan yang tidak baik kepada mereka.
Bagaimanapun, sewaktu ditemui pada sidang media sejurus selepas konsert pertama kumpulan B berakhir, Sufian menafikan segmen belakang pentas yang mereka paparkan itu adalah satu provokasi serta merimaskan penonton.
![]() |
| POPULARITI Nas Ahmad (tengah) digunakan untuk segmen belakang pentas. |
“Apa yang kami paparkan di belakang pentas adalah sebagai elemen hiburan serta menyuntik elemen kelainan dalam program realiti ini. Biasanya kalau menyebut program realiti terutama nyanyian, kita sudah dapat bayangkan bagaimana perjalanan program itu.
“Jadi apabila kami selitkan aksi sebegitu, sekurang-kurangnya ia akan menghiburkan penonton. Lagipun sudah menjadi kelaziman, aksi di belakang pentas adalah sesuatu yang ingin diketahui penonton. Jadi jika itu yang dikehendaki mereka, itulah yang akan kami sajikan,” ujar Sufian.
Katanya, populariti yang dimiliki oleh Nas Ahmad juga menjadi faktor mengapa dia dipilih untuk mengendalikan segmen itu.
“Ketika ini sudah menjadi polisi syarikat supaya mengetengahkan produk kami sendiri dan disebabkan itulah kami memilih pengacara dari TV3 sendiri. Macam Ally walaupun ada yang kata dia sudah terlalu overrated tapi kerana kredibilitinya serta dia produk kami, maka sebab itu dia dipilih untuk menjadi pengacara.
![]() |
| TIGA mentor mengakui aksi kecoh mereka sekadar menghilangkan tekanan dan kebosanan sewaktu menunggu masa untuk membuat persembahan. |
“Manakala Nas Ahmad, apabila kami letakkan di situ, penonton sudah dapat dapat mengagak apakah tujuannya. Jadi ini memudahkan kami kerana Nas sendiri memang berpengalaman untuk melakukan tugas seperti ini,” katanya.
Mengulas aksi ejek-mengejek dan perang mulut antara Awie, Mas Idayu dan Adibah yang berlaku setiap kali protege masing-masing selesai membuat persembahan, Sufian berkata apa yang berlaku adalah secara spontan disebabkan sikap sebenar protege berkenaan.
“Mereka bertiga ini memang gila-gila. Pada awalnya kami tidak berniat untuk menunjukkan apa yang berlaku di kaca televisyen, tetapi apabila kami melihat ia berpotensi untuk dijadikan elemen hiburan, mengapa tidak? Dan kami harap ia akan menjadi ikutan selepas ini,” katanya.
Sekadar hilangkan tekanan
SEMENTARA itu, ketiga-tiga mentor terbabit menyifatkan apa yang mereka lakukan itu sekadar untuk menghiburkan suasana dan meredakan tekanan di kalangan mereka yang bertanding.
“Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa suasana di belakang pentas pada masa itu memang tertekan. Jadi nak hilangkan tekanan itu kami buat-buatlah bergaduh. Lagipun kami memang begini sebelum ini. Sering usik mengusik antara satu sama lain,” jelas Mas Idayu sambil dipersetujui Awie dan Adibah di sebelahnya.
Untuk konsert pertama membabitkan kumpulan B menyaksikan anak didik Mas Idayu, Black menyerlah apabila mendapat undian tertinggi iaitu 72.1 hasil undian juri awam dan profesional. Black membuktikan dia adalah penyanyi serba boleh apabila berjaya menyanyikan lagu berentak Pop Etnik berjudul Manira dan lagu milik sifunya yang berentak dangdut, Selangit dengan baik.
Undian kedua tertinggi iaitu 48.9 diperoleh Keena yang membuka tirai persembahan dengan lagu Bintang Kehidupan serta lagu duet bersama mentornya menerusi lagu Seiring dan Sejalan manakala tempat ketiga dimiliki protege kepada Adibah, Thye yang berjaya mengumpul sebanyak 45 markah.
Thye malam itu menyampaikan lagu Melodrama secara solo manakala lagu duet, Lagu Gembira.
Pengkritik undangan malam itu terdiri daripada komposer terkenal, Fauzi Marzuki dan Edry Abdul Halim.



No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: