![]() |
| BERBULAN selepas bergelar juara Gang Starz 2, One Nation Emcees kini menari haluan baru untuk terus mengembangkan bakat dan nama. |
TAHUN lalu, pertandingan Gang Starz musim kedua (Gang Starz 2) menyaksikan gelaran juara menjadi milik kumpulan One Nation Emcees.
Dibarisi Shamimi Amalina Norhisham atau Mimi, Mohamed Fareezan Mohamed Murtaza (Kozae), Mohd. Norzaidi Edris (Zydee) dan Nur Hasan Baias (Jojoe), One Nation Emcees dilihat punyai peluang besar untuk mengembangkan nama mereka di persada muzik tanah air.
Bukan sahaja berbekalkan vokal yang mantap, One Nation Emcees sudah diketahui sebagai kumpulan yang kreatif dan punyai aset dalam aspek persembahan bertenaga.
Sungguhpun begitu, selepas berbulan membawa gelaran juara Gang Starz 2, nama kumpulan yang ditunjangi Mimi, Kozae, Zydee serta Jojoe ini seakan kurang menyerlah.
Malah, dengan tumpuan muzik tempatan yang lebih terarah kepada band indie, nama One Nation Emcees dilihat hanyut dalam arus deras.
Apa masalah yang melanda kumpulan ini sehingga aura juara yang digenggam seperti tidak memihak kepada mereka?
Sebagai mencari jawapannya, One Nation Emcees yang ditemui pada sesi fotografi bersama Hits di studio Utusan baru-baru ini menjelaskan, bahawa mereka sudah bosan dengan kerenah sebuah agensi pengurusan artis yang bertindak menguruskan karier mereka.
Ujar Mimi mewakili kumpulannya, selepas enam bulan bersama agensi berkenaan, One Nation Emcees memikirkan untuk bergerak secara sendiri dalam menetapkan hala tuju kumpulan.
''Sepanjang enam bulan ini, macam-macam perkara berlaku yang sedikit sebanyak memberi kami pengalaman dalam perjalanan dunia seni.
''Sebaik tamat kontrak bersama agensi itu pada Februari lalu, kami ditawar untuk menyambung kontrak. Tetapi kami tidak mahu. Atas nasihat pelbagai pihak, One Nation Emcees lebih selesa bergerak sendiri.
''Selepas itu, kami menubuhkan O.N.E Nation Emcees Sdn. Bhd., yang akan menjadi tapak dalam mengembangkan bakat serta nama One Nation Emcees,'' jelasnya.
Menurut Mimi, melalui syarikat yang digerakkan secara bersama semua ahli kumpulan, One Nation Emcees sudah merancang untuk menghasilkan mini album yang bakal memuatkan antara lima ke enam buah lagu.
Buat masa terdekat ini, One Nation Emcees kata Mimi, akan muncul dengan single terlebih dahulu yang berkonsepkan hip hop.
''Kini kami sudah memiliki tiga single iaitu Raja Gelek, Bisikan Cinta dan Dendang Lagu. Dendang Lagu akan menyaksikan kolaborasi One Nation Emcees bersama Ahli Fiqir.
''Untuk mini album ini, kami banyak bekerjasama dengan Damian Mikhail VE. Raja Gelek menggabungkan dangdut dan hip hop.
''One Nation Emcees juga ada meminta lagu daripada komposer Azmeer yang banyak membantu kami ketika bersaing dalam Gang Starz, tahun lalu,'' kata Mimi.
Kepada soalan tentang rakaman lagu-lagu Inggeris, Mimi berkata : "Mengenai lagu Inggeris, kami masih belum memutuskan untuk menghasilkannya. Insya-Allah, kalau ada rezeki dan sokongan, mungkin kami akan mencubanya."
Sementara itu, Jojoe memberitahu, sebagai membalas jasa peminat dari Sabah yang telah banyak menyokong kerjaya One Nation Emcees, sebuah lagu akan dirakamkan yang menggunakan loghat negeri terbabit.
''Pernah kami mengadakan persembahan di Sabah beberapa bulan lalu dan sambutan daripada penduduk di sana sangat baik.
''Ia mendatangkan idea untuk One Nation Emcees menghasilkan sebuah lagu bagi menghargai sokongan mereka,'' katanya ringkas sambil berterima kasih kepada TV3, Produser Gang Starz, Sufian Isa serta Hotlink yang telah banyak mengundang One Nation Emcees mengadakan persembahan pentas.
Sampai bila bersama?
Dalam pada itu, Mimi saat ditanya soal kelangsungan hayat One Nation Emcees berkata, sememangnya setiap ahli berasa risau akan nasib masa depan kumpulan tersebut.
''Kumpulan penyanyi seperti kami memang sudah hendak bertahan lama. Kami bukan seperti kumpulan rock yang tidak boleh hidup tanpa satu sama lain.
''Untuk itu, kami perlu saling percaya-mempercayai antara satu sama lain. One Nation Emcees walaupun boleh bergerak solo, kami akan tetap utamakan kumpulan.
''Saya pun pernah ditawarkan untuk bergerak solo tetapi menolak,'' tambahnya.
Selain menubuhkan syarikat, One Nation Emcees turut menghasilkan laman web khusus untuk peminatnya mengetahui segala aktiviti kumpulan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: